Mengunjungi semula tempat yang kira-kira 30 tahun lampau menjadi lubuk permainan sewaktu zaman kanak-kanak membuatkan pemikiran sentiasa berputar. Satu daripada beberapa tempat itu - seperti Batu Hampar, atau Burmese Pool - di kaki Bukit Larut, atau Bukit Maxwell, Taiping, Perak - mencetuskan emosi yang agak panjang. Tidak kurang 30 tahun lampau, kawasan itu menjadi tempat yang menawarkan segalanya, daripada tempat yang menjadi tumpuan untuk hasil-hasil rimba seperti buluh lemang, atau tempat fauna dan flora seperti ulat gonggok yang sebesar lengan anak kecil, sehinggalah kepada sebagai sebuah tempat yang kedinginan airnya diriakkan oleh ikan-ikan batu seperti sebarau, dan udang-udang yang menari-nari lembut di bawah batu-batu besar. Hari ini, Batu Hampar kelihatannya sudah amat hambar. Harga pembangunan terlalu mahal. Entah fikiran siapa yang dilihat terlalu utama sehingga mewajarkan teman-taman perumahan dibina sehingga bercantum rapat dengan rimba-rimba rekreasi. Begitu juga dengan sebuah lagi sungai, dikenal dengan nama Austin, yang melekat dengan Taman Suria, yang dahulunya menjadi sejarah kerana menjadi lokasi perlombongan yang penting di hujung bandar Taiping itu. Gambaran jelasnya adalah seolah-olah bumi sejarah Ngah Ibrahim ini tidak cukup tanah untuk tujuan perumahan lagi.