Saya terima e-mel daripada seseorang. Pengirim itu mengingatkan saya mengenai beberapa perkara, antaranya soal 'kacau-bilau' dan 'huru-hara' yang masih belum nampak kesudahannya. Dia juga mengingatkan saya - dan saya pasti dia mengenali saya, cuma dia agak berhati-hati untuk memberikan kepada saya sebarang tanda yang boleh mencetuskan kepastian saya bahawa saya juga mengenalinya - akan beberapa puisi yang ditulis bertahun-tahun lampau, misalnya "Nazak" (Mingguan Malaysia, Disember 1986); "Bapak" (tidak pasti tarikh) dan "Rimba simbolisme" (1992). Sayangnya puisi yang saya cukup ingat, Bapak, sudah tiada dalam simpanan saya. Seingat saya puisi itu tersiar sama ada di Dewan Masyarakat, atau Al-Islam, mungkin. Ia berkaitan dengan 'kacau-bilau' sewaktu Almarhum Tunku Abdul Rahman diheret dalam kemelut sia-sia politik semasa waktu itu.
Sebahagian besar simpanan karangan saya musnah sewaktu banjir yang melanda kawasan perumahan saya pada 26 Februari 2006 lalu. Namun saya perolehi yang sebuah ini, tersiar di Dewan Sastera keluaran Februari 1992, halaman 23, dahulu. Mungkin isunya releven dengan keadaan sekarang ini. Saya perturun di sini, sekadar menjadi bahan bacaan.
Rimba Simbolisme
dengus siapa yang kedengaran
sesat dalam rimba simbolisme
harus barangkali mencari-cari makna
daerah-daerah fikir dan minda
menuju jalan pulang
jangan sembarangan berteriak
meminta tolong
usaha olehmu memintal lelah mengait akal
uraikan pantang keturunan
matikan segala rahsia purba
hidup kan perlu diteruskan juga
bangsa apa lagi seperti kita
yang harus bersusah hati kerana tetangga
ya, mereka sampai bila-bila tetap sama
masih juga dengan hidup berahsia-rahsia
sedang kita tetap juga berpayah-payah
menguis-nguis makna simbolisme
tentang dosa, pahala, setia dan durhaka
semuanya dikendong sejak dahulu kala
dan bila tiba di penghujungnya
kita sama-sama bertanya:
"kenapa kita berbeza, sedang kita adalah sama?"
demikian rimba simbolisme menyesatkan kita
dengan segala makna yang masih tetap rahsia
masihkah juga kita perlu bepura-pura
tetap bahagia dan setia demi mempertahan makna?
(nasrudin mohammed, shah alam, disember 1991 )