Sunday, December 30, 2007

Politik

Dalam politik, di peringkat mana sekali pun, semua orang sentiasa betul kerana tidak ada apa-apa yang salah mengenai memberi pandangan dan membuat keputusan. Sekiranya pandangan itu menyanggahi pandangan sebahagian besar orang ramai, maka ia dianggap satu kelainan yang kerana ia hanyalah satu pandangan semata-mata. Apabila sesuatu pandangan itu dilihat bersetuju dan berkongsi dengan pandangan ramai, maka ia dianggap sesuatu yang biasa, yang tidak perlu dihairankan sama sekali.
Politik adalah seni serba mungkin. Seni serba mungkin melibatkan percaturan. Ia mengenai kaedah yang digunakan untuk menyampaikan isyarat-isyarat strategik. Isyarat-isyarat itu mungkin difahami oleh sesetengah orang dan barangkali juga gagal ditafsirkan dengan tepat oleh sebahagian orang yang lain. Ia bergantung, antara lainnya, kepada beberapa unsur: siapa yang menyampaikan isyarat; bagaimana dia menyampaikan isyarat; di mana dia menyampaikan isyarat; dan pada masa bilakah isyarat itu disampaikan.
Akhbar hari ini menyiarkan isyarat yang disampaikan oleh Setiausaha Agung UMNO mengenai kepemimpinan Perlis Indera Kayangan. Sebelum ini pelakon politik yang sama ini turut menyentuh mengenai kepemimpinan Perlis dari sudut pembangunan sumber manusia: dan dia turut menyelitkan tujahan peribadi kepada kepemimpinan tertinggi negeri betapa Menteri Besar sendiri menggaji agak ramai pembantu rumah asing di kediaman beliau. Kali ini, tanpa berselindung, beliau berpandangan Menteri Besar Perlis mesti diganti kerana menurutnya Menteri besar itu gagal menyatupadukan parti UMNO di negeri sekecil Perlis itu.
Permainan isyarat adalah permainan berstrategis. Ia bergantung kepada siapa yang bijak membaca isyarat. Dan pada ketika-ketika tertentu, ia bergantung juga kepada siapa yang memekakkan telinga kepada pelbagai isyarat. Ia serba mungkin.

Tuesday, December 25, 2007

GOLF - Lebih dan kurangnya?

Selalunya saya berasa tidak selesa untuk bercerita mengenai golf; yang kadang-kalanya orang menyebutnya secara sinis sebagai akronim kepada 'Golongan Orang Lemah Fikiran' atau "Golongan Orang Lupa Famili. Kepada golfers, jangan ambil hati. Tidak ada apa-apa yang akan luak walau apa pun yang diperkata orang mengenai sesuatu selagi diri sendiri tidak mengiyakannya.

Saya tidak selesa bercakap mengenai golf kerana saya menganggapnya sesuatu yang peribadi. Bagaimanapun, saya akan sentuh juga sedikit sebanyak kerana beberapa emel yang saya terima bertanyakan mengenai golf (setelah membaca bab mengenai golf dalam menara). Kesimpulan saya mengenai golf - atau apa juga jenis sukan - amat mudah: kita terlibat kerana (1) minat bersukan; (2) status dan simbol bersosial; (3) faktor kesihatan (sukar mencari sukan lain yang kelihatannya agak santai dan mudah); (4) desakan rakan dan malu-alah kepada bos atau rakan bisnes; (5) sekadar suka-suka dan kebetulan hati terbuka untuk mencuba.
Golf tidak melibatkan persaingan dengan lawan atau sesiapa pun kerana golf adalah permainan yang melibatkan perjuangan dengan diri sendiri: kita menjaga skor atau mata kita sendiri; kita perlu memarahi diri sendiri atas kesilapan sendiri; kita mengawal diri sendiri supaya dapat bertenang dan menumpukan perhatian; dan kita sentiasa cuba memandaikan diri kita dengan segala aspek kemahiran golf.
Namun, manusia tetap akan kekal sebagai manusia, ada nafsu insaniahnya dan ada juga nafsu haiwannya. Apabila nafsu haiwan lebih menguasai, golf akan menjadi medan pertarungan klise dan absurd yang menunjukkan siapa pandai dia akan kelihatan hebat walaupun sebenarnya tidak ada istilah 'pandai' dan 'sempurna' dalam permainan golf. Tidak ada seorang pun pemain golf yang dianggap sudah mencapai titik penyudah kepada kepandaian dan kepakaran, walaupun Tiger Woods, nama yang sinonim dengan golf.
Bab mengenai Alamanda itu penceritaan biasa sahaja, tidak dilebihkan di mana-mana. Full stop.

Monday, December 24, 2007

Maaf, bukan di sini

Salam semua,

saya memohon maaf kerana tidak selesa membincangkan hal-hal yang berkaitan menara di sini. Harap semua itu disalurkan dan diteruskan sebagaimana adanya, melalui emel sahaja, buat masa ini.

Saya perlu mengambil masa yang lebih kerana kebelakangan ini - dalam percutian - saya pos semua entri secara mobile, menggunakan fon bimbit.

Sunday, December 23, 2007

Alam & Politi Melayu

Membaca pemikiran Prof. Zainal Kling di akhbar hari ini meletakkan perspektif siasah negara ini pada kedudukan yang benar; realistik. Di alam Melayu ini, apa-apa sahaja - isu kecil atau besar - yang mencetuskan kegelisahan orang Melayu akan memberi kesan secara langsung kepada negara ini. Ramai yang melupakan - sengaja mahu pun tidak sengaja - sejarah silam negara ini yang mengharapkan kepada keharmonian dan keselesaan alam Melayu dengan melihat kepada kedudukan dan keselamatan orang-orang Melayu terlebih dahulu. Kepada bukan Melayu, hal ini kurang disenangi manakala kepada orang-orang Melayu, disenangi atau tidak, bukanlah isunya. Apabila persetujuan untuk merdeka diperolehi hasil daripada siri perundingan yang melibatkan orang Melayu serta wakil bukan Melayu dengan pihak Inggeris di London, kedudukan dan status alam Melayu menjadi teras kepada penubuhan Tanah Melayu yang merdeka dan berkerajaan sendiri. Mungkin ramai antara mereka yang terlupa akan kisah-kisah silam yang berlatarbelakangkan Larut (Taiping), tragedi Rasah, Lukut dan Sg Ujung (Negeri Sembilan/Melaka) Kuala Lumpur dan banyak lagi (atau mungkin kerana kisah-kisah itu hanya melibatkan pembesar-pembesar Melayu dan etnik Cina sahaja, maka mereka mengambil pendirian dan pelajaran yang sangat bermanfaat untuk kesejahteraan masa hadapan masing-masing manakala Hindraf pula belum masak dengan pengalaman buruk yang tidak menguntungkan itu, lalu cuba-cuba bermain api untuk meraih sedikit sedikit kenikmatan yang belum pun mereka nampak segi-segi buruknya?)
Formula 'memberi dan menerima' yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin terdahulu yang terdiri daripada perwakilan semua etnik utama di Tanah Melayu ini mungkin sengaja cuba dilupakan untuk memberi laluan kepada 'persetujuan' bentuk baru oleh pihak-pihak yang lupa diri itu. Mereka lupa betapa semua kesenangan dan keselesaan yang mereka kecapi itu sebenarnya akan dimusnahkan dengan mudah oleh sikap tamak dan rakus kepada sedikit nikmat tambahan yang mereka gila-gilakan.
Sekarang, hanya keazaman politik yang kuat sahaja yang berupaya menyedarkan mereka. Soalnya, ramaikah yang berkeazaman sekuat yang diharapkan itu?

Saturday, December 22, 2007

Pengorbanan












Pengorbanan tidak semestinya datang dalam bentuk yang melibatkan nyawa, sebagaimana lembu ini dikorbankan oleh kami sewaktu sambutan aidiladha di Alor Pongsu pada 20 Disember lalu. Simbolik kepada tumbangnya lembu ini, disela-sela laungan takbir, menandai kesyukuran dan kerendahan diri manusia-manusia - kerdil dan hamba - kepada Pencipta. Habuannya - dalam bentuk daging dan tulang-temulangnya - diagih-agihkan untuk dikecapi seramai mungkin. Pengorbanan menjadikan manusia menginsafi betapa besar mana sekali pun nama dan segagah mana tubuh fizikal akan dipudari oleh kelemahan manusia sendiri yang selama ini disembunyikan di balik keakuan. Tatkala tubuh meresah oleh sapaan pelbagai penyakit - ringan dan berat, apabila jiwa dan rasa menggelombang oleh ketakutan daripada kemungkinan mati secara beransur-ansur atau pun tiba-tiba, pengorbanan dengan sendirinya menyingkap kesombongan dan ketakburan manusia yang selama ini tidak disedari sama sekali. Kealpaan menjadikan manusia lena, kebesaran dan kemasyhuran menutup minda insaniah yang melupai ehsan dan hemah.
Lalu, "Nikmat yang mana satukah daripada TuhanMu yang engkau dustakan?"

Tuesday, December 18, 2007

Jauh

Sewaktu Rani menelefon awal-awal pagi tadi, saya sedang memandu. Tentunya dia faham kenapa saya tidak menjawab. Kini saya sedang menikmati harum kopi vanilla di salah satu perhentian di lebuhraya Utara-Selatan. Mungkin saya akan luangkan masa untuk singgah di 'sana' nanti dan barangkali berpeluang berbual-bual dan berbincang mengenai hal yang dikatakannya itu semalam.
Akhbar menyiarkan berita mengenai keprihatinan kerajaan terhadap 31 orang tertuduh yang didakwa cuba membunuh anggota keselamatan sewaktu perhimpunan HINDRAF baru-baru ini. Lalu dakwaan ditarik balik dan mereka pun dilepaskan. Kerajaan yang penyayang. Mungkin Hindraf akan sebak dengan keprihatinan kerajaan itu. Alam Melayu memang baik dan bersifat mengampun dengan mudah. Tanya Swettenham, Winstedt atau Shellabeaar. Tetapi jangan sesekali menanyakan hal yang sama kepada Munshi Abdullah.
Saya perlu menghabiskan kopi beraroma ini dan meneruskan perjalanan. Lembu sedang menunggu di kampung halaman.

Monday, December 17, 2007

Rangkuman

1
KLIB - Kuala Lumpur International Batik Convention & Exhibition 2007 sudah berakhir. Ada beberapa catatan penting: (i) Orang luar - maksudnya warganegara asing - lebih berminat mendalami segala-galanya mengenai batik sedangkan orang tempatan terhad kepada segolongan kecil sahaja, itu pun yang berkepentingan misalnya industrialis dan pereka fesyen; (ii) Batik semakin terbuka kepada interpretasi yang kelihatannya memberi impak kepada pengantarabangsaan, ertinya, batik kini diinterpretasi oleh sesiapa sahaja dan boleh bertukar dominasinya oleh sesiapa pun, dan tentu sahaja bukan milik Indonesia, atau orang-orang pantai timur semata-mata. Batik adalah corak, rekabentuk; (iii) Bertemu Heidi, gadis yang juga jurnalis berusia 23 tahun berketurunan Jerman, warganegara Kanada, bertugas di India. Setelah menghabiskan masa selama kira-kira 3 hari bersama beliau, perbualan kami - terutamanya dalam perjalanan jauh dari Shah Alam, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan kemudian dia berlepas ke Pulau Pinang - menunjukkan kemungkinan beliau masih berusaha mengumpul banyak maklumat mengenai segala aspek negara Malaysia ini.
2
Program bualan di Astro Awani - di sela-sela KLIB - bersama Datuk Nik menemukan kami dengan beberapa personaliti yang berkaitan dengan topik bualan, kebanyakannya yang kritis mengenai ECER. Kamarul Baharin - perantara - agak bijaksana meneutral situasi.
3
Minggu pertama Disember. Sebaik sahaja melangkah masuk ke kamar hotel (Trader's) yang disediakan oleh penganjur untuk 5 hari, ada kek hari lahir di meja (baiknya hati pengurusan hotel?). Bertemu rakan-rakan penulis di KLCC. Antara topik yang dibincangkan termasuklah 'Bila penulis tidak mengarang'. Maksudnya? Banyak penulis yang hanya menulis, tetapi tidak mengarang. Maksudnya lagi? Ertinya, ada semacam aliran yang merimaskan dalam gelombang penulisan dan pengarangan tempatan bila penulis hanya menulis mengenai kebaikan diri sendiri, tanpa silu, tanpa rasa salah. Budaya keindividuan ini kian ramai pengikutnya kerana pengaruh hedonisme, cintakan dunia berlebih-lebihan dan gilakan kemasyhuran yang sangat nipis batasnya.
4
Selamat Hari Raya Idiladha. Ada pengorbanan yang perlu dikorbankan.

Saturday, November 24, 2007

Proton

Dim, isu Proton isu ialah isu nasional. Pandangan saya hanya mengambil kira kepentingan nasional. Itu sahaja fokusnya. Bagaimanapun, saya berterima kasih dan mengambil kira pandangan peribadi sdr.

Peranan Akhbar

Ray,
di negara ini, terdapat tidak kurang 31 akhbar arus perdana yang dijual di pasaran. Hampir kesemua akhbar di negara ini berorientasikan etnik. Bergantung kepada perspektif (atau teori) mana yang digunakan, seperti media massa lain, akhbar sebenarnya memainkan beberapa peranan politik.
Peranan tersebut antara lainnya termasuklah:

(1)melaporkan dan mewakili pandangan popular pihak-pihak berkuasa; (2) memaklumkan kepada masyarakat keputusan dan tindakan kerajaan serta mendidik pengundi; dan (3) memainkan peranan sebagai ‘pelindung’ kepentingan rakyat, termasuklah membela hak-hak orang awam melalui pendedahan isu dan berita untuk tatapan pihak berkuasa dan orang ramai. Dengan ini di fikiran, konsep-konsep kebebasan misalnya dari segi mendapatkan maklumat, menyoal dan melaporkan berita sentiasa releven dalam dunia media massa.

Topeng-Topeng

Lewat perbualan dengan Rosa pada malam tadi, saya cuba menyimpulkan apa sebenarnya yang menjadi isu utama dalam hubungan antara sesama manusia dalam konteks sekitaran sosial mereka. Sewaktu dia cuba mencari-cari jawaban kepada apa yang dikatakannya sebagai 'silangkata', saya pula berusaha meneka-neka apa yang bermain-main di fikirannya. Akhirnya saya merumuskan bahawa setiap individu mempunyai satu, dua atau beberapa topeng yang tujuan khusus setiap satunya, hanya individu itu sendiri yang tahu makna dan kegunaannya. Ia mengingatkan saya kepada sebuah puisi yang saya tulis tahun lepas, Topeng.
TOPENG
I
ternyata dia hebat
bila pada pagi itu
di persidangan bahasa, air matanya tumpah
tatkala dia menjulang kata berhikmah
‘hilang bahasa, lenyaplah bangsa’.
tengaharinya
dia menggugurkan air mata anak yang setia-redha
bila berkata
"you tahu, ini semua sampah
cuma layak di media popular"

III
di fikirannya
kata tetap juga kata selagi faham makna
seperti orang lain yang terus percaya bahawa di balik topeng
siapa-siapa pun boleh menjadi sesiapa selagi faham akan bicara bahasa dan maknanya.
namun soal dan jawab seakan-akan pencarian yang tidak akrab dengan penemuan
kerana pada fikiran topeng
jawaban-jawaban yang direka pada setiap kali disoal
semuanya sudah memadai dan tidak penting ditanya berulang kali
asal saja senang di hatinya atau mereka
kerana
tatkala senang dia tidak memikir bagaimana rasa susah mereka
dan tatkala susah mereka juga tidak pula begitu memikir mengenai kesenangan ia
maka siapa-siapa tidaklah perlu menghargai apa-apa atau sesiapa.
dia yakin
bahawa dia tekun mengajar tentang melihat, memikir dan kemudian percaya
tentang sesuatu yang semuanya mencetus di hati
lantaran otak tidak lebih sekadar mengisi tempurung kepala
sedang mata pula tidak sudah-sudah mempersenda semahu keduanya
sekali pejam ada, sekali kelip ghaib.
ya, otak adalah saraf-saraf halus paling ajaib, setidak-tidaknya itulah kata saintis
atau kata orang-orang pandai yang mampu belajar di universiti
yang jadi inteligensia walaupun mereka itu belum tentunya berani kerana benar.
kerana apa?
mereka tahu topeng boleh sahaja menjadi siapa-siapa
asal biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.

IV
di mana-mana
pada bila-bila masa
cermin sentiasa menjadi apa-apa dan siapa-siapa
yang orang paling hormat.
sesiapa tidak perlu bertanya lantaran ia adalah penunjuk isyarat segala
ia teman perahsia paling tenang lagi setia
membujur lalu melintang patah cermin tidak gusar
dihempas ia pecah
diseranah ia pegun
hitam tahan tempa, putih tahan sesah
dia umpama tukang yang mustahil membuang kayu.
kata cermin
kebenaran umpama pedang Pencipta
apa sahaja yang dihiris
pasti melukakan.
atas sifatnya yang hadir di mana-mana
dia menyimpan pelbagai fikir manusia
seperti kelir yang menduga pendek akal tok dalang
atau gendang yang sesekali bertingkah mencabar sumbang langkah hulubalang
kuat burung kerana sayap, kuat ketam kerana sepit
dia malah kekal unggul
bijak menyinggung sedar
kerana jauhari jua mengenal manikam

V
cermin tidak mudah lupa
bukan asalnya daripada jenis leka
sebijak topeng yang pepat di luar rencong di dalam
di depan cermin ia kelu kehabisan bisa
lalu
topeng lena di dalam lupa
bahawa angin tak dapat ditangkap dan asap tak mungkin digenggam.
di hadapan cermin
hilang kilat topeng di celah kilau.

shah alam
20 februari 2006

Thursday, November 22, 2007

Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur 28 Nov-2 Dis 2007

(Pelajar) berminat untuk menyumbang dan menyertai secara aktif dalam Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur?

Konvensyen itu – dihos oleh Yayasan Budi Penyayang / KEKWA – akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur mulai 28 Nov hingga 2 Disember.

Makanan/penginapan disediakan manakala sedikit elaun harian diperuntukkan. Ini bukanlah mengenai wang semata-mata; ini merupakan peluang mendapatkan pengalaman serta merasai suasana konvensyen antarabangsa yang jarang kali kita berpeluang memperolehnya setiap hari!

Jika berminat, sila hubungi saya selewat-lewatnya pukul 5 petang hari ini (22 November). Tinggal lagi 5 tempat sahaja untuk diisi.

Berkomunikasi

Saya terima banyak maklumbalas dan keluhan khususnya daripada staf dan pelajar mengenai sekatan yang dibuat oleh pihak pentadbiran universiti ke atas liputan Internet menggunakan pelayan (server) universiti. Antaranya termasuklah sekatan terhadap laman-laman yang dikategori di bawah 'social relationships' dan sebagainya. Antara banyak laman tersebut, termasuklah laman-laman serta blog-blog yang mempunyai banyak kandungan maklumat dan pengetahuan mengenai hal ehwal semasa.
Jika di dunia swasta, perkara itu merupakan suatu kebiasaan. Ia mekanisme untuk mengawal perilaku pekerja sewaktu bekerja. Dalam sektor kerajaan, ini perkara yang baru hendak dibiasakan, juga sebagai mekanisme untuk memastikan kakitangan tidak melayari laman-laman yang dianggap tidak berkaitan. Oleh kerana hampir-hampir mustahil untuk menyaring setiap laman, maka dibahagi-bahagikan laman-laman berdasarkan kategori tertentu. Oleh itu, sesetengah laman yang tidak berbahaya pun turut disekat daripada capaian menggunakan pelayan jabatan.
Tidak perlu bimbang. Ia hanya melibatkan pelayan jabatan/dalaman. Tiada isu. Ini bukan perkara yang berkaitan dengan teknologi atau sistem. Ini isu yang bersangkutan dengan manusia - perumus dan pelaksana polisi.
Moral: Masakan maklumat boleh disekat-sekat. Sekeras-keras junta tentera Myanmar, tidak terdaya mereka menyekat sebaran maklumat daripada mengalir ke luar. Yang boleh disekat, cuma alat penyampai maklumat. Oleh itu, mekanisme kawalan yang cekap sentiasa diperlukan jika maklumat ingin disaring dengan berkesan.

Saturday, November 17, 2007

Mentadbir Negara 1

Mat Zain mengirim sms mengenai Teori RAHMAN ekoran peristiwa demonstrasi dan penyerahan petisyen kepada SPB YDPA minggu lepas. Tiada komen yang sesuai untuk diletakkan di sini. Tambahan pula maklumat media kelmarin menyebut SPB YDPA menafikan perkenan baginda mengenai demonstrasi itu. Suhakam juga ikut menyokong tindakan polis dan menyifatkan demonstrasi itu melanggar undang-undang. Anggaplah hal itu sebagai sudah 'tiada isu'.
Habis-habis tidak pun, mungkin hadis Nabi SAW (drp Abu Hurairah r.a) ada relevennya di sini:
"Kalau amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran." Ia bertanya: "Bagaimana orang tidak memegang teguh teguh amanah itu, ya Rasulullah?" Beliau menjawab: "Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancuran."

Tahniah, Nabilah!

Nabilah, Tahniah!

Buku

Dakolin, ya, saya ada senaskah buku asal Federation of Malaya Year Book 1961. Terbitan Malay Mail Publication. Harga asal pun masih ada lagi: $2.50. Antara buku kesayangan saya!

Monday, November 12, 2007

Mengubah

Malaysia mengambil masa tidak kurang 30 tahun untuk mengubah daripada 'koloni pohon getah' kepada sebuah negara pembuat semikonduktor terbesar dunia. Malangnya, Malaysia terpaksa menerima hakikat bahawa negara itu boleh diubah lanskap ekonomi dan politiknya dalam masa tidak sampai satu tahun, apabila menyaksikan krisis kewangan dan ekonomi mempermain kedudukan dan ketahanan negara tersebut. Sesuatu yang pahit namun terpaksa jua ditelan.

Puncanya? Hanya kerana kejatuhan nilai wang Thailand pada pertengahan 1997.

Moral ceritanya?

Pertama, mahu atau tidak, Malaysia terpaksa berbaik sangka dengan jiran, terdekat ataupun yang paling jauh.

Kedua, Malaysia tiada pilihan, sebaliknya terpaksa memastikan UMNO bersih, tulus dan berkomitmen tinggi.

Ketiga, laburkan wang sebanyak mungkin kepada rakyat, dalam bentuk yang rakyat kecapi dan nikmati secara langsung; bukannya dalam bentuk yang rakyat tidak nampak atau rasa pun faedah pelaburan itu.

Friday, November 09, 2007

Bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik & Sains

Isu ini berpanjangan. Terkini (sehingga entri ini diterbitkan), UMNO dan Pemuda UMNO Johor membantah penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains & Matematik.

Apa yang kelihatan, dan apa pula yang tidak kelihatan?

Ada banyak perkara yang berkaitan dengan ’tidak kelihatan’. Sekiranya umum membaca buku ”Mengapa Kami bantah”, mungkin sebahagian daripada beberapa isu berkaitan boleh difahami dengan baik.

Apa yang terlindung di balik isu penggunaan bahasa ini untuk mengajar subjek-subjek berkenaan sebenarnya ada hubungannya dengan ’tidak kelihatan’ sama ada dilapisi sesuatu atau ’melapisi’ sesuatu.

Apa pun, yang penting adalah siapa yang melihat dan menanggap isu tersebut. Umumnya ada tiga bentuk: (1) mereka yang ditabiri oleh ’kegelapan’; (2) mereka yang ditabiri oleh ’sinar dan cahaya’; dan (3) mereka yang ditabiri oleh kedua-duanya, yakni kegelapan dan cahaya.

Yang mana satu kita?

Wednesday, November 07, 2007

Autobiografi

Saya setuju dengan pandangan Zulhilmi (UUM). Buku-buku autobigrafi memang semakin banyak dan laku pula di pasaran. Namun hanya beberapa judul sahaja yang dianggapnya berkualiti. Berkualiti dilihat daripada beberapa segi – sudut pengkisahan yang tidak berpaksikan ’aku’ semata-mata; tema dan plot cerita yang ’inwards’ atau meneroka peribadi sendiri semata-mata; isu-isu yang ditonjolkan meliputi elemen universal dan holistik.

Banyak contoh terbaik yang saya fikir boleh disebut di sini, antaranya: Hayat Muhammad SAW (Haekal); Road to Mecca (Muhammad Asad) dan View from the summit (Sir Edmund Hillary).

Monday, November 05, 2007

Bila Tempua Bersarang Rendah

Rani bertanya, "Kenapa hanya USM yang dipilih sebagai terbaik oleh lembaga akreditasi?"

Saya hanya terfikir satu jawaban sahaja, "kerana yang terbaik itu selalu sahaja dengan sendirinya dilihat baik. Dan ia tidak perlu pula memperaga kebaikannya di mana-mana. Kualiti adalah kebaikan yang dibawa ke mana-mana. Ia sentiasa mengikut. Sedangkan orang yang mengikutnya pula adalah yang terbawa-bawa oleh haruman kualiti itu yang tidak memerlukan angin untuk mendesiskannya."

Kotter mengatakan, "memang sukar, tetapi itulah hakikatnya."

Sayang, kenapalah tempua bersarang rendah?

Friday, November 02, 2007

Pantai Timur

Pagi ini (Jumaat, 2 November) berbual panjang dengan Raja Maria (RTM) di pejabat. Isu? Mengenai Kelantan, Terengganu & Pahang. Mulanya menguruskan temubual untuk ECER (Galeri Perdana, Selasa, 8.30 malam); namun kemudiannya langsung meleret-leret ke isu-isu lain (Maria Mek Kelate!).
Apa isu-isu pantai timur?
Banyak: (1) Kadar kemiskinan - Terengganu <15%>, kelantan <10%>, Pahang <5%> (ironis, walaupun rakyat Kelantan sebenarnya ramai yang kaya-raya!); (2) tarikan tempatan (pantai, taman negara, ekopelancongan, pertanian, penternakan); (3) pendidikan (ada kurang lebih 197 institusi latihan dan pendidikan yang tidak dioptimumkan penggunaannya di wilayah pantai timur; (4) pelaburan asing langsung & penglibatan swasta (apa tarikan untuk mereka ke sana?)
Nota: Satu tarikan utama saya ke Kelantan: "Murtabak Royal"! Dulu berharga RM15 sekeping; sekarang saya tidak pasti!

Thursday, November 01, 2007

Maaf

Bloggers,
Saya minta maaf kerana tidak bersedia untuk mengadakan chat box di sini. Chat box di blog yang lain itu memang digunakan untuk tujuan kumpulan yang khusus, terutamanya pelajar2 saya, sedangkan blog ini dan reflections adalah berbentuk awam. Saya bimbang jika chat box diadakan di kedua-dua blog itu, ia akan menjadi platform untuk kisah-kisah peribadi dan puji-pujian (meskipun complimentary!) yang merupakan di luar daripada tujuan dan fokus blog. Sehingga saya benar-benar bersedia, cadangan itu biarlah saya tangguhkan terlebih dahulu. Sementara ini, biarlah kita terus gunakan mailbox/emel seperti seadanya. Terima kasih.

Bahagia!

Lin di Melaka,

tahniah & selamat menempuh gerbang pernikahan! Finally! Terima kasih kerana mengundang, InsyaAllah, akan hadir!

Politik dan Pelakon Politik

Paparan media mengenai sanggahan Dato' Radzi Sheikh Ahmad terhadap kenyataan Menteri Besar Perlis mengenai keperluan tenaga asing di negeri Perlis tentu sahaja menimbulkan pertanyaan.
Pertama, MB Perlis bercakap mengenai pendirian dan 'polisi' Kerajaan Negeri yang mengimpikan penggunaan secara optimum tenaga kerja tempatan; Dato' Radzi pula bercakap mengenai 'rumahtangga' MB Perlis (termasuk mengenai bilangan pembantu rumah di kediaman MB Perlis!).
Kedua, MB Perlis bercakap mengenai perancangan berunsurkan futuristik dalam soal perancangan gunatenaga tempatan dalam konteks Pembangunan Ekonomi Koridor Utara; Dato' Radzi pula bercakap mengenai soal sumber tenaga kerja asing yang diperlukan untuk negeri Perlis.
Ketiga, kelihatannya seperti realiti 'tiga-peringkat' kerajaan (Pusat; Negeri; Tempatan) tidak dimurnikan oleh semangat dan falsafah yang setara?
Dari sudut pentadbiran dan pengurusan kerajaan, karenah politics & political actors sentiasa dinanti-nantikan oleh pelaksana polisi (policy executors).

Borders

Saya kagum bagaimana toko-toko buku yang besar-besar - seperti borders & mph - boleh menjual buku-buku antarabangsa terkini (2007) pada harga yang sangat rendah; malah jauh lebih rendah daripada buku-buku tempatan yang temanya 'mencapah ke dalam' dan tipis pula kemurnian sentuhan maklumat dan pengetahuan pandang dunia. Ketika bersantai-santai di ruang baca salah sebuah toko-toko tersebut, saya disapa oleh lelaki ini, yang memperkenal dirinya sebagai Satuan Singh (mulanya saya fikir dia seorang mat salleh berdasarkan personaliti luarannya serta loghat British yang dituturkannya sewaktu menyapa saya). Dia memulakan perbualan dengan mengisar-ngisar minatnya terhadap kegiatan pembacaan sambil pada masa yang sama cuba-cuba untuk mengetahui minat saya pula. Kemudiannya, barulah saya sedar bahawa dia berada di situ sekadar untuk menyemak harga-harga buku supaya dapat dibandingkan dengan toko-toko yang lain pula. Namun, saya tidak pula dapat pastikan sama ada dia ejen pengedar buku atau apa pun. Yang pasti, dia berada di situ bukan cuma untuk bersuka-suka.

Tuesday, October 30, 2007

December








Saya, December, mengikut kiraan tarikhnya, digambarkan begini:
* Loyal and generous
* Patriotic
* Active in games and interactions
* Impatient and hasty
* Ambitious
* Influential in organizations
* Fun to be with
* Loves to socialize
* Loves praises
* Loves attention
* Loves to be loved
* Honest and trustworthy
* Not pretending
* Short tempered
* Changing personality
* Not egoistic
* Takes high pride in oneself
* Hates restrictions
* Loves to joke
* Good sense of humor
* Logic

Selamat Hari Lahir

Zahier, 1 November; perkiraan tarikh kelahirannya menunjukkan begini:
* Has a lot of ideas
* Difficult to fathom
* Thinks forward
* Unique and brilliant
* Extraordinary ideas
* Sharp thinking
* Fine and strong clairvoyance
* Can become good doctors
* Careful and cautious
* Dynamic in personality
* Secretive
* Inquisitive
* Knows how to dig secrets
* Always thinking
* Less talkative but amiable
* Brave and generous
* Patient
* Stubborn and hard-hearted
* If there is a will, there is a way
* Determined
* Never give up
* Hardly become angry unless provoked
* Motivates oneself
* Does not appreciates praises
* High-spirited
* Well-built and tough
* Deep love

Selamat Hari Lahir

Nabilah, 19 Oktober mengikut kiraan tarikh lahir, spekulasinya begini:
* Loves to chat
* Loves those who loves him
* Loves to takes things at the centre
* Attractive and suave
* Inner and physical beauty
* Does not lie or pretend
* Sympathetic
* Treats friends importantly
* Always making friends
* Easily hur! t but recovers easily
* Bad tempered
* Selfish
* Seldom helps unless asked
* Daydreamer
* Very opinionated
* Does not care of what others think
* Emotional
* Decisive
* Strong clairvoyance
* Loves to travel, the arts and literature
* Soft-spoken, loving and caring * Romantic
* Touchy and easily jealous
* Spendthrift and easily influenced
* Easily lose confidence

Monday, October 29, 2007

English

Kenyataan PM serta Menteri Pelajaran berkenaan isu Bahasa Inggeris serta dua matapelajaran teras sudah lama dijangka oleh orang ramai. Tahap pencapaian murid - khususnya menguasai Bahasa Inggeris - belum seperti yang diharapkan. Oleh itu, mereka terus dibenarkan untuk menjawab dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Pengantar di sekolah masing-masing.
Menteri Pelajaran sendiri sudah menyatakan dengan jelas bahawa janji kerajaan untuk mengambil kira kebimbangan parti-parti komponen - khususnya MCA dan ahli-ahli politik komuniti Cina - telah pun dipenuhi sebagaimana digambarkan oleh keputusan kerajaan berkenaan isu tersebut. Ini, menurut beliau, adalah unsur kesepakatan dan timbang rasa yang dibudayakan oleh Barisan Nasional.
Pada masa yang sama, Khairi Jamaluddin mengingatkan mengenai betapa perlunya perwakilan UMNO mengambil kira soal-soal sensitiviti kaum apabila berbahasa dan berucap pada perhimpunan tidak lama lagi. Meskipun Agenda Melayu dianggap penting dan utama, namun perkiraan sensitiviti itu seharusnya turut dipentingkan.
Nota:
Mungkin wajar dibaca kembali laporan mengenai penggunaan bahasa Inggeris - "mengapa kami bantah" - dalam pendidikan sebagaimana ditulis oleh kumpulan akademik prihatin yang diselenggara oleh Prof Emeritus Abdullah Hassan pada tahun lepas, sekadar menyegarkan ingatan dan menancapkan semula paksi pendirian.

Makanan Asasi

Selain beras, makanan yang dianggap sebagai asasi/ruji di kalangan rakyat negara ini termasuklah yang diperbuat daripada tepung gandum. Harga tepung gandum semakin tinggi. Di negara 'kebajikan' seperti UK. barangan makanan asasi berasaskan tepung gandum khususnya serta susu sentiasa dipastikan berada di tahap terkawal dan rendah supaya mampu dibeli oleh setiap individu. Tidaklah menghairankan sekiranya seorang pengguna membawa 1 Pound Sterling (dinilai secara kasar sebagai 1 Ringgit Malaysia) ke pasar-pasar raya mana sekali pun, dia boleh membawa pulang sekurang-kurangnya sebungkus roti (tidak semestinya 'Gardenia'), sekotak susu, dam beberapa butir telur ayam ke rumah.
Dengan nilai 1 Ringgit, seorang pengguna di Shah Alam misalnya, akan membawa pulang dua bungkus roti berkrim (Gardenia). Itu sahaja. Dia memerlukan tidak kurang RM7.10 untuk membeli sebungkus roti berjenama, sekotak susu UHT dan sesangkar telur (sedozen) yang berkolesterol.
Jengok-jengoklah keluarga-keluarga di mana-mana sekalipun, yang pendapatan dibawa pulang mereka dalam anggaran kasar RM200-300 sebulan (ada banyak keluarga sedemikian di mana-mana). Memang tidak akan dapat dilihat walau sekotak susu UHT atau telur pada setiap masa di dapur-dapur mereka.
Tambahan: Semua berdebar-debar menunggu tarif elektrik yang baru yang dijangka diumumkan kelak!
Mesej:
1
Salahkan unsur-unsur lain sekiranya pencapaian akademik anak-anak tidak secemerlang yang diharapkan.
2
Salahkan unsur-unsur lain sekiranya kesihatan dan fizikal anak-anak tidak semantap bangsa lain terutamanya apabila tidak cemerlang bersukan.
3
Salahkan diri sendiri yang hanya memilih untuk memakan makanan yang 'menyelerakan'.

Tuesday, October 23, 2007

Tuan Guru Nik Aziz

Mesej daripada Mat Zain (Kota Kinabalu) malam tadi memang menarik. Disebutkannya mengenai kebijaksanaan berhemah Tuan Guru Nik Aziz berkaitan isu angkasawan Malaysia. Dalam bahasa Inggeris, saya akan mengatakan, "I couldn't agree more".
Dan saya setuju, beliau adalah contoh atau model ahli politik tulen yang tidak perlu berbuat apa-apa untuk meraih undi atau sokongan populariti.
Bandingkan dengan sedikit indeks berikut mengenai meraih populariti dalam politik kepartian:
1
Menderma/bersadaqah yang 'mewajibkan' penglibatan media
2
'Menonyeng' atau 'menempel' bos-bos serta tuan-tuan politik semata-mata untuk menghantar isyarat bahawa mereka adalah orang-orang bos.
3
Mengungkap isu-isu yang dijangka berpotensi mengundang kontroversi supaya mereka dapat mencetuskan krisis kepemimpinan. Dalam bidang kepemimpinan, hal ini dikaitkan dengan kepemimpinan situasi. Maknanya, pada setiap kali ada krisis, sudah pasti akan tertonjol seorang-dua pemimpin yang diangkat sebagai 'wira'.
4
Menjaja kebaikan dan kelebihan peribadi supaya dunia mengetahui dia adalah wira dan popular di dalam dunianya. Banyak contoh sebegini, antaranya: mencipta pelbagai slogan/simbol /ungkapan yang mudah melekat di memori pihak-pihak sasaran seperti 'marhaenisme' (Sukarno); 'madani' (Anwar Ibrahim; 'putera berjiwa rakyat' (Norodhom Sihanouk); serta biografi bukan informatif awam yang tidak memiliki nilai maklumat dan pengetahuan untuk kemanfaatan teladan dan ikutan baik yang menjurus kepada keperibadian tunggal (individualistik).
Cukup empat ini sahaja dulu.

Monday, October 22, 2007

Selamat Ulang Tahun Kelahiran!

Selamat hari lahir, Nabilah. Selamat hari lahir, Zahier!

Makna Holistik Pembangunan

Dalam disiplin pengajian pembangunan, satu daripada hal yang sangat penting dan diutamakan adalah kemanfaatan jangka penjang. Mudahnya begini: Pembangunan secara holistik mesti mengambil kira komitmen dan tindakan padu yang murni ejen-ejen pembangunan.
Analogi Satu
Apabila industri kereta nasional dimulakan tindakan awal dahulu, seawal 1985, satu daripada aspek terpenting yang tidak 'ditangkap' oleh ejen-ejen pembangunan (di pihak pemikir dan pembuat polisi kerajaan) adalah soal hakmilik dalam pembangunan enjin kereta nasional. Tun Dr Mahathir selaku PM telah melakukan segala yang terdaya oleh beliau, khususnya dalam 'menjual' idea dan strategi untuk pembangunan kereta nasional. Maka di bahu para ejen pembangunanlah - iaitu pihak perangka polisi dan pelaksana polisi kerajaan - memikirkan soal-soal hakmilik dan kepunyaan Malaysia sendiri mengenai enjin kereta nasional. Malangnya hal ini terlepas begitu sahaja sehingga hari ini. Sedangkan enjin adalah komponen terpenting yang menghidupkan kereta. Bagaimana sekarang?
Analogi Kedua
Bidang keangkasawanan (ini label keInggerisan/Russia) atau bidang kosmo (ini pula label Amerika Syarikat) adalah bidang yang benar-benar baru dan terkini kepada Malaysia. Kejayaan Malaysia mendapatkan keistimewaan menghantar angkasawan pertama ke bulan adalah kejayaan bersejarah. Ini adalah produk akhir dan kita adalah pengguna akhir (end user). Kita berharap, dengan memikirkan soal pentadbiran pembangunan secara holistik di minda, berupayakah pentadbir-pentadbir pembangunan kita - khususnya Kementerian Datuk Dr Jamaluddin Jarjis melakukan sesuatu untuk menjadikan bidang ini 'kepunyaan dan hakmilik' kita secara eksklusif supaya kita tidak meneruskan 'tradisi' menjadi pengguna akhir dan sebagai penumpang semata-mata sebagaimana Amerika Syarikat melukakan hati rakyat Malaysia dengan mengatakan angkasawan kita itu sebagai 'pelancong angkasa' semata-mata!
Ya, sekadar memikir dan tertulis!
Saya akan mengulas mengenai ECER (East Coast Economic Region) yang meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing beberapa hari lagi.

Saturday, October 20, 2007

Tidak free!

Selamat hari raya idilfitr semua.

Dhana, saya tidak berkelapangan antara 22 - 29hb Oktober ini. Saya terlibat dengan liputan 'ECER' (Petronas & RTM). Selepas itu ok! Maaf.

Monday, October 08, 2007

Penghujung Musim

Wan, Rok & Shima, saya bercuti mulai hari ini, Isnin 8 Oktober 2007. Mulanya saya diperingat oleh Zalela, staf yang menguruskan soal-soal cuti jabatan, mengenai cuti untuk sambutan perayaan idulfitr. Kemudian, Jasmin (Dr) pula memaklumkan kepada saya yang cuti saya - kerana mengendalikan kuliah dan seminar siswazah (Sarjana & PhD) pada hujung-hujung minggu - sepanjang dua semester tidak pernah dituntut. Makanya, cuti saya semakin bertambah dan tidak sempat untuk dihabiskan. Tidak apa. Biarkanlah.
Hari ini, saya perlu berada di pejabat - entah berapa lama - kerana kasihankan pelajar-pelajar tesis saya yang terlambat menguruskan penyerahan tesis mereka untuk diperiksa (viva voce). Tarikh pertemuan sudah ditetapkan minggu lepas, tetapi atas banyak sebab, mereka tidak dapat memenuhi janji tersebut. Jadi, terpaksa disantakkan ke hari ini juga. Tengahari tadi juga ada jemputan majlis khatam al-Qur'an di fakulti. Banyak juga bunga telur dan ole-ole yang saya bawa pulang! Berkesempatan juga berjumpa sahabat lama, Ust Mohamad Nor Mamat yang memimpin majlis tadi.
Idilfitr kali ini berlainan sedikit. Ada dua rakyat negara ini - seagama pula - dijadualkan berlepas ke cakerawala. Biarlah Amerika Syarikat mahu melabelkan mereka sebagai pelancong angkasa atau apa-apa pun, yang penting mereka ke ruang cakerawala. Ini mengingatkan saya kepada sebuah analogi yang saya sudah baca agak lama dahulu:
"Berfikir jauhlah kamu dan bermimpilah sehingga ke bintang. Melonjaklah, dan sekiranya kamu cuma berupaya melonjakkan diri ke bulan dan tidak upaya mencecah bintang, itu boleh dikira sudah cukup baik. Setidak-tidaknya kamu sudah pun meninggalkan tanah bumi, daripada tidak bergerak-gerak langsung."
Saya menerima kad ucapan hari raya agak banyak. Namun saya tidak dapat membalas semuanya sebelum ketibaan hari raya ini. Saya mohon maaf. Alasan utama saya adalah kerana saya bercuti agak awal. Kad raya kebanyakannya tiba di pejabat, jadi saya tidak sempat untuk menerima semuanya dan membalas sebelum hari raya nanti.
Saya tentu bersalah dan ada membuat kesilapan di sana sini kepada sesiapa. Saya minta maaf. Kalau saya tahu kesalahan dan kesilapan itu secara nyata, sudah tentu saya akan memohon maaf secara langsung kepada sesiapa pun orang itu. Sebaliknya, jika ianya berlaku di luar sedar, saya memohon maaf di sini sahaja.
Saya akan berhari raya di utara, antara Taiping dan Pulau Pinang. Kebiasaannya saya akan over-landing di Kedah. Itu pun bergantung kepada beberapa perkara pada saat-saat akhir nanti.
Rasa-rasanya idulfitr kali ini semakin banyak maknanya. Salam untuk semua.

Friday, October 05, 2007

Maaf adalah perkataan paling sukar

Maaf menjadi perkataan paling sukar
apabila penerimanya tidak diketahui

menjadi perkataan paling sukar
apabila pemberinya menyembunyi

menjadi perkataan paling sukar
apabila kedua-duanya saling menggeruni

menjadi perkataan paling sukar
apabila
tidak ada barang satu pun yang diyakini
perlu dimaafi

maaf menjadi perkataan paling sukar
tatkala sesiapa pun tidak pasti
siapa sebenarnya
yang benar
sebenar-benarnya


(Oktober 4, 2007,
sacc mall - damansara - shah alam)

Thursday, October 04, 2007

Perlukah semuanya bersebab?

A seorang sahabat lama. Kami berkerja di tempat yang sama. Usia kami kurang lebih sama. Dalam banyak hal, pandangan kami mengenai isu-isu pekerjaan dan isu semasa nasional, juga tidaklah terlalu berbeza dengan banyaknya. Sewaktu berbuka puasa baru-baru ini, A menyuarakan pandangannya mengenai isu-su:
1
"Kenapakah universiti tidak seperti universiti?" Apabila ditanya apa maksud sebenarnya, dia sekadar menjawab, "Universiti sepatutnya belajar mengenai 'alam' dan 'dunia' sebanyak-banyaknya sebab nama universiti pun sebenarnya ada kaitan dengan 'universe'. "Jadi," dia menyambung, "patutnya kena ajar dan belajar mengenai falsafah dunia, sains dan segala-galanya selengkap-lengkapnya."
2
"Kenapakah baru sekarang orang sibuk bertanya tentang 'imsak', fadilat puasa, terawih dan banyak perkara lain pasal puasa dan macam-macam, sedangkan itu sepatutnya dah selesai sewaktu di persekolahan atau semasa mengaji agama sewaktu kecil? Ini tidak, baru sekarang sibuk nak bertelagah sama ada waktu imsak maknanya kita perlu berhenti makan dan jangan ditunggu sehingga azan dilaungkan. Lepas itu, habis semua mufti atau ulama yang kelihatannya agak 'liberal' disalahkan dan dikecam."
Komen:
Saya tidak mahu komen mengenai kedua-dua hal yang disuarakannya. Pertama, semasa saya di universiti dahulu, saya sudah melalui perkara yang ditanyakannya itu. Kami belajar hal-hal kefalsafahan dengan cukup banyak tanpa jemu. Ungku Aziz mengajar mengenai falsafah, khususnya falsafah sains. Ozman Bakar mengajar mengenai falsafah juga. malah boleh dikatakan kebanyakan pensyarah kami fasih dalam soal-soal kefalsafahan walaupun bidang pengkhususan mereka sangat jelas halanya. Prof Diraja Ungku Aziz di bidang ekonomi; Prof Zainal Kling di bidang sosiologi dan antropologi; Prof Osman Bakar di bidang sains; Prof Khairuddin di bidang sains dan komputer; Prof Khoo Kay Kim di bidang sejarah; Prof Shahril di bidang sejarah; Prof Asmah dan Prof Safiah di bidang bahasa & Linguistik; dan ramai lagi. Hampir semuanya fasih berfalsafah secara holistik dan berupaya menggarap persoalan kemanusiaan dengan cukup bersahaja dan santai.
Tanpa niat memperkecil sesiapa pun, saya belum berjumpa walau seorang pun yang petah berfalsafah, berkemahiran dan berpengetahuan mengenai falsafah sebegitu, di sini, di tempat kita mengajar dan belajar ini. Maaf. Lalu, maafkanlah pelajar dan graduan kerana mereka tidak bersalah sedikit pun.
Kedua, saya rasa kita tidak perlu mencari sebab dan alasan untuk semua perkara dalam kehidupan. Kadang-kadang hal-hal yang dilihat sebagai masalah itulah yang merupakan sebab dan alasan bagi semua perkara. Cuma kita sahaja yang terlupa memerhatikan hal yang paling kecil kerana ia sentiasa dianggap kecil dan tidak berperanan besar. Nota: saya terus bersahur walaupun imsak...

Tuesday, October 02, 2007

Rehat sekejap

Damian, Kaka & Rah,
Maaf, saya sengaja malas-malas mengemaskini. Sedang mengusahakan satu-dua projek di sini dan di sana. Pada masa sama, sedang membantu beberapa sahabat dengan urusan rasmi mereka. Jumpa lagi sehari dua nanti, InsyaAllah. Mesej saya jika perlu.

Tuesday, September 25, 2007

Selepas 20 tahun

Bertemu, berkumpul dan berborak-borak sesama rakan-rakan kolej setelah kali terakhir bertemu 20 dulu tentu sahaja pengalaman yang sangat baru dan menarik.

Latar
Tempat: Hotel Sheraton, Subang Jaya
Masa: sabtu, 22 September 2007, berbuka puasa
Siapa: Kamaruddin (Gemuk a.k.a White Horse) Md Nor; Zack; Dan; Man Belang; Meor; Mini; Leha; Syed Tahir; Wood.

Kisah
Kamaruddin: Pengarah sebuah syarikat milik Jepun di Shah Alam. Kamaruddin dikenal juga sebagai Din Gemuk ataupun White Horse kerana sewaktu di First College Universiti Malaya dahulu (1983-86) ibunya sentiasa memastikan bekalan rokok cikai, White Horse, tidak putus-putus untuknya. Dan rakan-rakan sekolej yang rata-rata sengkek, ikut menumpang...walaupun white horse adalah rokok yang sangat tidak nyaman rasanya.
Mini: Aktif sewaktu di kolej - semua aktiviti dia terlibat, semua Jawatankuasa dia ahlinya. sekarang Pengurus Kanan Pemasaran Jenama di sebuah syarikat penerbitan besar. Rakan-rakan mencari dia sekarang ini untuk mendapatkan bekalan majalah-majalah terkini.
Syed Tahir: Aktif sebagai AJK Kolej. Rajin berpersatuan. Ada pengaruh rock dalam dirinya walaupun penampilannya kekal seumpama 'orang surau'. Kini pentadbir kanan di sebuah universiti antarabangsa di Malaysia.
Man Belang: Aktif rugbi. Digelar Man Belang kerana tidak pernah lekang dengan baju rugbi belangnya sewaktu di kolej. Kini berjiran dekat dengan saya di pejabat...
Meor: Namanya pun memang sah dari Perak. 'Orang surau' tulen sewaktu di kolej kerana memang tidak pernah tinggalkan waktu solat di surau kolej. Kini pegawai dalam perkhidmatan kastam di Selangor.
Dan: Aktif takraw. 'Mat Hensem' dari Perlis yang juga 'orang surau' tulen kerana sentiasa ke surau pada waktunya. Sangat pendiam sewaktu di kolej. Yang hairannya sewaktu di kolej tidak pernah nampak ada girlfriend walaupun hensemnya mengalahkan artis. Kini pegawai di MARA.
Wood: Engineer. Sudah terlupa kenapa kami memanggil beliau kayu atau wood. Kini pegawai kanan di perbadanan perumahan yang besar.
Zack: senior yang gila-gila. Kini orang besar di syarikat kereta berpengaruh di dalam negara.

Dalam seminggu

1
Fidofilia menular di negara ini. Ini adalah gejala masyarakat yang sakit. Masyarakat sakit antaranya kerana institusi keluarga yang goyah. Institusi keluarga goyah antaranya disebabkan oleh hedonisme. Negara-negara Barat - khususnya Eropah dan Amerika Syarikat - menghadapi ancaman ini jauh lebih lama dahulu. Di sana, satu daripada kaedah-kaedah yang digunakan untuk menghambat fidofil ini adalah dengan memprogram anak-anak dengan cara tidak mempercayai sesiapa pun melainkan ibubapa sendiri

2
Video clip pengamal undang2 yg juga pelobi yang dikatakan terlibat dalam soal perlantikan dan kenaikan pangkat hakim disebarluaskan untuk tatapan masyarakat. Hal ini adalah universal. Ingat kes Grobelaar, bekaspenjaga gol Liverpool yang didakwa dengan kaedah yang sama? Dengan kata lain, berhati-hatilah dengan pelbagai cara espionage ini!
3
Tindakan memulau ekoran kenaikan harga barangan memerlukan sokongan tidak berbelah bagi pengguna. sanggupkah manusia membataskan nafsu makan mereka?
4
Tindakan disiplin - buang kerja - ke atas dua orang pegawai kanan polis melibatkan rasuah/memiliki harta secara tidak menasabah dan kegagalan mengisytiharkan perkahwinan kedua menjadikan PDRM cermin yang menayangkan lebih banyak perlakuan yang sama oleh orang-orang yang berlainan dui dalam lingkungan yang berbeza-beza. Besarkan lagi cermin itu supaya lebih banyak dapat ditonton.
5
Kegilaan berbuka puasa semakin menggila! Mungkin patut dibuat penarafan (ranking) supaya dapat diketahui hotel yang manakah yang paling hebat dan berani dalam mengambil kesempatan berbuka! Tahun lepas, sebuah hotel mengenakan RM79, tahun ini menjadi RM106, makanan dan kumpulan muzik tradisional-nya tetap juga sama!
6
Rupa-rupanya sewaktu menakluk Melaka dahulu, Portugis membina kota daripada nesan-nesan yang dicabut daripada kubur-kubur penduduk Islam!

Tuesday, September 18, 2007

Perkhidmatan awam akan menjadi dinamik sekiranya ada penyelarasan. Namun penyelarasan tidaklah semudah itu dipraktikkan dalam pentadbiran awam, terutamanya kerana falsafah dan sistem kerja tidak saling menyesuai.

Akhbar-akhbar melaporkan bagaimana Kementerian Pelajaran menyatakan bahawa sekolah-sekolah 'boleh memohon' untuk bercuti pada 12hb Oktober nanti. Alasannya adalah untuk memudahkan keluarga membuat persiapan perjalanan pulang ke kampung dan sebagainya sempena perayaan Idilfitri yang dijadualkan berlaku pada 13hb Oktober.

Apa maksud 'boleh memohon' itu? Kemudian, Kementerian menyatakan juga bahawa 'hanya sekolah-sekolah yang memohon sahaja dibenarkan bercuti'.

Tidakkah mudah untuk kementerian menyatakan secara de facto sahaja samada: CUTI atau TIDAK CUTI kepada semua rakyat/sekolah.
Ini bukanlah soal 'autokrasi' dan sebagainya. Ini soal autoriti dan kewibawaan kementerian. Jika tidak, dengan cara ianya dilakukan sekarang, ia tidak lebih hanya menampakkan seolah-olah bahawa kementerian cuba berlaku ikhlas, tetapi berkira-kira; cuba berfleksibiliti tetapi sebenarnya rigid'.
Bagaimana guru-guru besar akan mengamalkan profesionalisme secara kreatif dan fleksibel sekiranya badan yang lebih berautoriti - kementerian - tidak dapat menunjukkan wibawanya?

Tuesday, September 11, 2007

Raja Bola versus Raja Gunung

Ketika selesai Forum Kemerdekaan Putrajaya 5 September lepas, perbualan minum kopi bersama-sama Datuk Khalid Yunus (Raja Gunung!), Datuk Ghani Minhat (Raja Bola) dan Encik Nurrahim (BPR) memberikan banyak hiburan sambil memikir kepada kami berempat.

Datuk Ghani Minhat - lagenda bola Malaysia - malu-alah apabila kerap dipanggil 'Raja Bola' oleh kami semasa berbual-bual. Pada masa yang sama, Datuk Khalid terfikir-fikir juga apa pula gelaran yang dia boleh gunakan untuk dirinya sendiri memandangkan Datuk Ghani Minhat digelar Raja Bola.

Agak seketika, Datuk Khalid tiba-tiba bersuara, "Ah! Kita ada Raja Bola. Kenapa tidak boleh ada seorang Raja Gunung?"

Kami setuju. Maka lekatlah gelaran 'Raja Gunung' pada sepanjang perbualan. Datuk Khalid sentiasa kelakar! Datuk Ghani pula terlalu pemalu!

Nurrahim? Tiada komen! Saya bimbang dia akan menyiasat saya lebih-lebih memandangkan dia Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan BPR! Nurrahim! Nurrahim! Terpaksa pula saya menghadap Datuk Mad Said - Ketua Pengarah beliau - di padang tenis!

Saman

Tuntutan saman terhadap Kerajaan Britain oleh seorang peguam dari Malaysia, Ponnusamy Waytha Moorthy, yang difailkan di London baru-baru ini tentu sahaja menarik perhatian pentadbiran negara. Tidak mustahil ia terus menambah fobia September!
Tuntutan tersebut dibuat ketika negara sedang hangat dalam bahang sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke 50. Bukan sahaja ia melibatkan soal dasar dan keputusan bekas pentadbir negara ini – British – yang telah bersetuju menerima butiran perundingan kemerdekaan dahulu, malah ia membangkitkan semula isu yang sentiasa disederhanakan oleh sistem politi negara ini sejak sekian lama.
Rentetan tindakan saman ini beruntai-untaian. Pertama, ia ada kaitan dengan keputusan politik secara konsensus antara etnik berbilang kaum. Kedua, ia berhubungan langsung dengan soal-soal hubungan etnik kerana ia menyatakan dengan khusus bahawa rakyat keturunan India dipinggirkan. Ketiga, ia turut mengaitkan susur galur sejarah negara ini yang panjang dengan bekas pentadbir negara ini, Inggeris, yang kebanyakan orang lebih senang untuk memanggil mereka sebagai penjajah.
Apakah selepas ini seorang peguam lain – berketurunan Cina dan malah Melayu sekalipun - akan muncul untuk memfailkan saman terhadap Kerajaan British atas tuntutan yang sama: bahawa sebagai etnik (majoriti & minoriti), mereka telah ditindas dan dipinggirkan akibat daripada persetujuan British untuk membiarkan negara ini ditadbir sendiri
Semula: Apakah selepas ini, akan ada juga peguam-peguam yang mewakili etnik minoriti yang lain tampil membuat tuntutan yang sama?

Monday, September 03, 2007

Tapak Pembangunan Sg Buloh

Hari ini, akhbar tempatan (lihat, misalnya NST, mukahadapan pula!) menyiarkan rencana besar mengenai pembangunan 'tapak bersejarah' hospital sakit kusta Sg Buloh. Pada gambarfoto iringan, ditunjukkan bagaimana papantanda notis hakmilik UiTM dipaparkan dengan begitu berkesan.
Apa yang tidak kena?
1
Isu ini bukan melibatkan UiTM semata-mata (ada beberapa agensi kerajaan lain yang turut berkepentingan)
2
Isu ini bukan melibatkan soal 'tapak bersejarah' semata-mata (jika tapak sebuah bangunan berusia 70 tahun dijadikan 'tapak bersejarah' yang melibatkan pemuliharaan tanpa soal, silalah Prof dan ahli akademik bidang senibina berkenaan tinjau tapak-tapak lain yang dibangunkan sesuka hati atau tidak dihiraukan, yang terdapat di kawasan-kawasan lain terutamanya di Pulau Pinang, Perak, Johor dan Melaka)
3
Isu ini bukan melibatkan rasa sentimental semata-mata (pihak editorial media mungkin melihat isu ini bukan dari sudut pandangan mata burung, sebaliknya hanya pandangan terowong atas objektiviti penyiaran; ketepikan dahulu soal etika dan kewajaran!)

Saturday, September 01, 2007

Yang Sebenar

Randhee, kenyataan saya yang dipetik wartawan dan disiar semalam, mengenai kemerdekaan, hanya sebahagian sahaja daripada transkrip perbualan penuh. Mungkin itu tidak mencukupi untuk kita memahami sepenuhnya realiti politik negara ini dari sudut perpaduan dan kemerdekaan. Begitu juga dengan kenyataan awal saya mengenai isu pemantauan dan penguatkuasaan di pihak kerajaan. Saya percaya ada ruang lain untuk kita membincangkan hal ini dengan lebih terbuka dan langsung. Bagaimana pun, saya berterima kasih atas pandangan lanjut saudara. Saya bersetuju sebahagiannya.

Monday, August 27, 2007

Retrospektif

1
Mohammad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor, kini diheret dalam polemik sejarah penubuhan UMNO. Sanggahan, terutamanya daripada pihak sebelah Johor semakin disuarakan bertalu-talu setelah dimulakan oleh Shahrir Samad yang mempersoal motif Khir. >>> Mungkin ada baiknya dokumen-dokumen sejarah dibuka kembali oleh mereka yang berpolemik itu. Think Tank Khir Toyo - khususnya Inmind - sudah tentu mempunyai asas rujukan yang sangat kuat. Jika tidak, masakan Khir berani mengundang kontroversi seperti itu.

2
Iklan radio berkenaan peranan dan jasa Tan Cheng Lock kedengarannya agak pelik. Apa sebenarnya mesej yang cuba disampaikan?

3
Akhir-akhir ini, di kampus ini, kawalan keselamatan di pintu-pintu masuk utama, kelihatannya semakin diperketat. Kerap kali juga berlaku kesesakan luar biasa sehingga menghalang lalu lintas di jalan utama di luar kampus akibat daripada prosedur kawalan pintu masuk yang tidak lancar sistemnya. Sebagai contoh, semua kenderaan yang tidak berpelekat dihentikan dan diperiksa segala kad pengenalan diri pemandu tanpa mengarahkan kenderaan itu ke ruang menunggu yang sepatutnya. Akibatnya berlaku kesesakan yang amat buruk terutamanya antara lingkungan pukul 1.45 - 2.15 petang. Kadang-kala, bila berlaku keadaan seperti itu, terasa seperti kampus ini bukan sebuah universiti, kerana kelihatannya terlalu 'tertutup' akibat daripada prosedur kawalan seperti itu. >>> Imej dan impresi awal universiti di mata komuniti selalunya bermula di pintu masuk!

Tuesday, August 21, 2007


Selamat hari lahir, Nasiha!
Everyone
loves
you!

Tuesday, August 14, 2007

Produktif

Semalam hari yang agak produktif.

Satu
berborak dengan Jeniri Amir - penulis buku bestseller - selepas agak lama tidak berhubung. Rasanya kali terakhir berbual di telefon 6 atau 7 bulan lepas. Jeniri masih seperti dia: 'over-ramah; rendah diri; kelakar; baik; jujur; berterus terang; pemurah (dapatlah saya buku terbaru beliau di pasaran secara percuma!); sangat telus! Jeniri satu-satunya orang yang mampu memalukan dan menyerbasalahkan sahabat-sahabat dengan cara paling terhormat dan sopan ! Terima kasih Sifu!

Dua
berborak panjang juga dengan Mini (Rusmin), sahabat lama di Garden Cafe. Mini senior manager brand marketing di Karangkraf. Peramah dan nakal dia tetap sama: suatu ketika dulu, dia asyik membodek dan memuji saya di laman web karangkraf. Saya kata, "Janganlah.. saya pemalu!" Dia membalas, "Tak pa la. Kawan lama!" Kami menyebut-nyebut nama Kamaruddin, sahabat lama first college. Rupa-rupanya selama ini dia berada tidak jauh dari saya!

Tiga
Berborak seketika dengan Maiza. Sementara menunggu giliran dia untuk membaca berita di TV, Maiza bercerita mengenai kawan-kawan kami. Maiza sentiasa bersemangat, sentiasa bertenaga!

Aristotle (384-322 SM)

Damin,
ada banyak sebab kenapa nama Aristotle dilihat besar. Pertama, ada kepercayaan kuat di kalangan saintis dan pemikir yang menyatakan pemikiran Aristotle sangat besar pengaruhnya kepada dunia dan ketamadunan keilmuan Islam, terutamanya dalam soal mantiq (logik). Bagaimanapun, pentafsiran dan penilaian semula yang dibuat oleh ilmuwan-ilmuwan Islam ke atas pemikiran itu dikatakan lebih besar dan penting berbanding pemikiran Aristotle sendiri. Itu persepsi umumnya.

Aristotle ialah ahli falsafah Greek yang dididik oleh Plato. Beliau merupakan guru kepada Alexander the Great. Apabila Alexander menjadi raja Macedonia (336 SM), Aristotle mengasaskan Lyceum yang merupakan komuniti untuk menjalankan penyelidikan. Selepas kematian Alexander, Aristotle meninggalkan Athens atas sebab-sebab politik dan kemudiannya meninggal dunia pada tahun berikutnya. Selama hayatnya, Aristotle menulis tidak kurang 400 buah buku meliputi pelbagai cabang pengetahuan. Bagaimanapun, penulisan beliau atas tema-tema biologi, logik dan sains politik adalah antara yang sangat menonjol dan mempengaruhi pemikiran ramai orang.

Wednesday, August 01, 2007

Tindakan

Dean, ini pandangan peribadi saya semata-mata.
Kebanyakan daripada kita mempunyai lima deria: dengar; sentuh; hidu; rasa; dan lihat. Kemudian, ada satu lagi deria bawah sedar yang jarang diperkata orang, naluri, atau intuisi. Semua deria ini merupakan nikmat dan hikmah Tuhan paling berharga kepada kita. Jalan menuju gedung pengetahuan dibuka melalui penggunaan deria tersebut secara berhukum dan bersusila. Bagaimanapun, sebelum semua deria itu boleh dimanfaatkan, kita dipertanggungjawab untuk mencetuskan tindakan terlebih dahulu. Menunggu dan berharap tanpa berbuat apa-apa tidak akan menggerakkan semua indera tersebut untuk menjadi tindakan. Tanpa tindakan, tidak ada hasil.

Tindakan adalah kunci ke arah pencapaian matlamat. Ia merupakan paduan antara rumusan akal budi dan hati dengan gerakan deria-deria yang khusus. Semua gerakan itu dicetuskan oleh hati kita yang telah tetap dengan keputusan yang telah dipilih oleh kita sendiri. Dengan kata lain, tindakan merupakan gambaran atau menifestasi kita terhadap niat, keinginan, impian dan usaha kita dalam cubaan untuk memperoleh sesuatu.
Ini seumpama kisah Mikimoto, seorang pedagang mutiara berbangsa Jepun yang berjaya. Bertahun-tahun Mikimoto memikir jalan untuk mendapatkan mutiara yang berkualiti secara mudah dan praktikal. Pada suatu hari, beliau mendengar syarahan seorang profesor universiti bernama Mizukuri. Profesor tersebut percaya bahawa mutiara terhasil akibat daripada objek luar yang terperangkap di dalam tiram. Jika objek luar itu tidak membunuh tiram, maka ia akan bertukar menjadi mutiara. Selepas itu, Mikimoto menggunakan daya imaginasinya dan menggunakan kelebihan alam semulajadi ciptaan Tuhan untuk melakukan keajaiban untuknya. Dia menyatukan objek luar ke dalam tiram dan menghasilkan mutiara terbaik. Moral kisah ini adalah: Mempunyai pengetahuan semata-mata tidak mencukupi sekiranya pengetahuan itu tidak dimanfaatkan.
Ketika seseorang melihat halangan sebagai suatu batu penghalang, pastinya seseorang yang lain menggunakannya sebagai ’batu loncatan’. Memanfaatkan itulah yang dilihat sebagai ”tindakan”.

Monday, July 30, 2007

ADM501 & ADS509

Salam, semua.

Blog untuk kedua-dua kod di atas sudah diterbitkan. Sila rujuk untuk maklumat selanjutnya.

Sunday, July 29, 2007

Yang Menarik Baru-Baru Ini

I
Kedua-dua siasatan awal ke atas Ketua Polis Negara & bekas Ketua Pengarah BPR ditutup kerana menurut Peguam Negara, kedua-duanya tiada kes. >>> Pada masa yang sama, Nazri menggesa orang ramai supaya melaporkan kes-kes rasuah ke pihak BPR, bukannya di blog.

II
Menteri-Menteri Besar mencadangkan supaya mereka menjadi ahli Majlis tertinggi secara automatis. >>> Persoalan pengiktirafan dan identiti atau strategi khusus?

III
Arab saudi dan Iraq bertemu di final Piala Asia, mengenepikan Jepun dan Republik Korea. >>> Viera, jurulatih Iraq, dulunya dipecat FAM kerana persembahan buruk skuad bolasepak negara.

IV
Azlan dan Nicol menjuarai kejohanan Skuasy CIMB menewaskan pencabar-pencabar utama. >>> Tidak perlu ulasan kerana kedua-duanya adalah yang terbaik.

V
Jacque mengungguli ikon Malaysia, menumbangkan Mawi dan Dayang. >>> Keputusan juri yg tidak berani disanggah oleh sesiapa yang cerdik.

VI
Perdana Menteri menyatakan bahawa kedua-dua kenaikan gaji dan pemberian bonus adalah dua perkara yang berbeza. >>> Dekat benarkah pilihanraya umum?

Thursday, July 26, 2007

Istilah "Melayu"

Gan & Shan,

Maklumat yang saya peroleh daripada pembacaan setakat hari ini menunjukkan istilah Melayu mula diperluas pengertiannya dalam kaitannnya dengan Filipina sejak abad 17. Itu meliputi ruang Nusantara. Ada sarjana - seperti Collins dan Antonio de Marga - yakin bahawa ada kaitan antara satu suku bangsa di Filipina dengan bangsa Melayu. Malah mereka turut yakin bahawa suku bangsa Tagalog tentunya tumbuh daripada 'bangsa Melayu' kerana 'kesamaan yang dekat antara bahasaTagalog dan Melayu, kesamaan warna kulit dan bentuk badan, kesamaan pakaian yang mereka gunakan tatkala kedatangan Sepanyol, dan akhirnya kesamaan adat resam serta upacara...'

Mungkin ada maklumat-maklumat lain yang boleh menyumbang lebih banyak kepada pencarian anda berdua.

Selamat mencari.

Wednesday, July 25, 2007

Etika Orang Politik & Kepemimpinan

Dalam bidang kepemimpinan, mereka yang pernah mendalaminya pasti setidak-tidaknya tahu bahawa bukan semua yang dilihat sebagai 'Ketua' boleh memainkan peranan sebagai 'pemimpin'. Bukan semua jawatan dan kedudukan yang kelihatannya sama ada seperti panggilan-panggilan 'Pengurus', 'Ketua Bahagian/Jabatan', 'Pengerusi', Presiden', 'Imam', 'Bilal', 'Penghulu' dan 'Yang Dipertua' boleh disifatkan sebagai 'Pemimpin' sekali lipat.

Tatkala panggilan, gelaran atau nama boleh menambah kehebatan kepada rupa atau sifat luaran, kepemimpinan hanyalah dapat diserlahkan apabila rupa luaran itu dapat diterjemah dengan berkesan melalui tindakan yang hanya boleh dinilai dan diakui oleh orang-orang lain yang bersetuju untuk mengesahkan bahawa mereka adalah pengikut.

Satu daripada sifat luaran kepemimpinan unggul adalah keupayaan seseorang yang telah diberi kepercayaan dan tanggungjawab khusus itu untuk menawarkan jawaban dan cadangan penyelesaian kepada pertanyaan para pengikut. Tugas dan tanggungjawab pemimpin adalah untuk meredakan dan menyenangkan emosi dan perasaan pengikut, bukannya menyelesaikan kemelut perasaan pemimpin itu sendiri.

Oleh itu, apabila timbul isu-isu besar dan nasional seperti nepotisme dan rasuah, maka menjadi tugas pemimpin tertentu - atau yang berkaitan atau yang diminta pandangannya mengenai hal itu - menawarkan jawaban paling menasabah dan mampu meredakan ribut emosi pengikut serta rakyat. Jika menurut pandangan Islami, perkara-perkara yang patut ditangguh sekurang-kurangnya tiga hari adalah dalam soal-soal membuat keputusan, dan bukannya soal menawarkan cadangan penyelesaian.

Jadi, apabila melihat kepada reaksi sesetengah pemimpin politik yang hanya mengatakan 'no comment' atau 'tidak mahu komen' misalnya apabila diminta mengulas isu nepotisme dan rasuah, hanya mencerminkan kecetekan personaliti atau perwatakan serta keupayaan intelek pemimpin tersebut di mata pengikut.

Selainnya, 'no comment'!

>>> Petikan hari ini


"Tindakan yang zahirnya baik belum cukup untuk mengesahkan niat yang sama murni, malah kadang-kalanya bisa mengundang fitnah."

Tuesday, July 24, 2007

Yang Menarik Baru-Baru Ini

I
Media massa mengangkat isu MAS dan Menteri Pengangkutan. >>> Ini bukan lagi zaman feudal; zaman 'pembesar-pembesar'; entah di mana pula pentingnya isu seumpama ini diungkap-ungkapkan keterlaluan. Seorang menteri adalah penjawat awam dan dipilih untuk mewakili rakyat setempat.

II
Pengurusan skuad bolasepak negara kecoh lagi. >>> Isu manusia atau sistem?

III
Ada bunyi-bunyi pilihanraya semakin hampir, seawal September. >>> Teka-teki masih terus menjadi permainan politik dalam masyarakat negara ini. Kenapa tidak tetapkan sahaja tarikh secara jelas dan nyata, dan bukannya bermain 'poker' untuk saling menyembunyi dan mematahkan strategi?

IV
Cuepacs tidak akan mendesak kerajaan untuk memberi bonus tahunan. >>> Persefahaman yang sememangnya sangat difahami semua!

V
Kebaikan dan kemanfaatan kelapa sawit ditemui dan dihebahkan lagi, kali ini oleh UPM. >>> Semoga dapat mendiamkan hingar-bingar dari pengeluar kacang soya di USA.

VI
Sergio Garcia mengalami nasib malang seperti John De Velde dahulu dalam British Open. >>> Isu 'game plan' atau isu kekuatan mental?

VII
Isu Etika untuk ahli-ahli politik timbul lagi. >>> Mudahkah mengajar etika? Lebih-lebih lagi kepada orang politik?

Saturday, July 21, 2007

Pameran Kelab Penyayang

Hari ini (Sabtu, 21 Julai 2007) dan esok: Kelab Penyayang UiTM mengadakan pameran di Pusat Sukan UiTM. Jika berkelapangan masa, jemputlah bersiar-siar sambil menyaksikan bahan-bahan yang dipamerkan. Jumpa di sana.

Friday, July 20, 2007

Serai

Roza, terima kasih atas tips serai tu!

A drink with as little as one gram of lemon grass contains enough citral to prompt cancer cells to commit suicide in the test tube. Israeli researchers find way to make cancer cells self-destruct - Ben Gurion University At first, Benny Zabidov, an Israeli agriculturalist who grows greenhouses full of lush spices on a pastoral farm in Kfar Yedidya in the Sharon region, couldn't understand why so many cancer patients from around the country were showing up on his doorstep asking for fresh lemon grass. It turned out that their doctors had sent them.

"They had been told to drink eight glasses of hot water with fresh lemon grass steeped in it on the days that they went for their radiation and chemotherapy treatments," Zabidov told ISRAEL21c. "And this is the place you go to in Israel for fresh lemon grass."

It all began when researchers at Ben Gurion University of the Negev discovered last year that the lemon aroma in herbs like lemon grass kills cancer cells in-vitro, while leaving healthy cells unharmed. The research team was led by Dr. Rivka Ofir and Prof. Yakov Weinstein, incumbent of the Albert Katz Chair in CellDifferentiation and Malignant Diseases, from the Department of Microbiology andImmunology at BGU.

Citral is the key component that gives the lemony aroma and taste in
several herbal plants such as lemon grass (Cymbopogon citratus), melissa (Melissa officinalis) and verbena (Verbena officinalis.) According to Ofir, the study found that citral causes cancer cells to "commit suicide: using apoptosis, a mechanism called programmed cell death." A drink with as little as one gram of lemon grass contains enough citral to prompt the cancer cells to commit suicide in the test tube. The BGU investigators checked the influence of the citral on cancerous cells by adding them to both cancerous cells and normal cells that were grown in a petri dish. The quantity added in the concentrate was equivalent to the amount contained in a cup of regular tea using one gram of lemon herbs in hot water. While the citral killed the cancerous cells, the normal cells remained unharmed.

The findings were published in the scientific journal *Planta Medica*, which highlights research on alternative and herbal remedies. Afterwards, the discovery was featured in the popular Israeli press. Why does it work? Nobody knows for certain, but the BGU scientists have a theory. "In each cell in our body, there is a genetic program which causes programmed cell death. When something goes wrong, the cells divide with no control and become cancer cells. In normal cells, when the cell discovers that the control system is not operating correctly - for example, when it recognises that a cell contains faulty genetic material following cell division - it triggers cell death," explains Weinstein. "This research may explain the medical benefit of these herbs."

Palsu

Baca pemikiran Mohd Asri Zainul Abidin mengenai hadis palsu dan bulan Rejab di akhbar Utusan Malaysia hari ini (20 Julai 2007). Saya percaya ramai yang terkedu!

>>>Satu lagi gejala 'ingin tunjuk pandai' dan 'bertaklid buta', jika mengikut pandangan ulama silam (dan hari ini); yang malangnya kebanyakan cerdik pandai agama dan bukan agama hari ini tonjolkan bahawa mereka sebenarnya terlebih tahu dan terlebih pandai.

Thursday, July 19, 2007

Profil Unggul

Islamica terkini memaparkan artikel profil-profil individu Muslim di Amerika Syarikat yang dianggap berjaya menurut cara masing-masing. Baik untuk renungan.

>>>Kadang-kala ia mengingatkan saya kepada Syed Al-Bukhary.

Asal Berkomunikasi

Hizar, memang tidak semua universiti (awam) menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran. Setahu saya, UiTM dan UIA adalah dua universiti yang menggunakan bahasa tersebut di kebanyakan fakulti. Saya setuju dengan pandangan Hizar bahawa di universiti ini juga (1)tidak semua pensyarah menggunakan bahasa tersebut semasa mengajar (walaupun Hizar mengatakan 'sedangkan penerbitan mereka banyak di dalam bahasa Inggeris!'), antaranya atas alasan mereka tidak menguasai bahasa tersebut secara lisan mahu pun menulis; dan (2)tidak semua pelajar menguasai bahasa tersebut atas banyak alasan. Soal berbahasa ini tidak berkaitan langsung dengan status atau taraf pensyarah sama ada pensyarah baru, profesor mahu pun tidak kerana amalan kenaikan pangkat tidak memberikan perhatian khusus dan nyata kepada kemahiran berbahasa Inggeris berbanding dengan penerbitan yang kelihatannya sangat 'menghormati' bahasa tersebut. Oleh itu, jika Hizar mengatakan ketidakupayaan pensyarah mengendalikan kelas mereka kerana 'lemah' atau 'tidak mampu langsung' berbahasa Inggeris hanya akan memalukan pensyarah berkenaan sendiri, saya fikir merupakan suatu hal yang perseptif sahaja.

Wednesday, July 18, 2007

Yang Tidak Pernah Bersalah

Kelmarin sempat menikmati teh petang - sudah agak lewat - bersama-sama Yee, Pilus dan Ihsan. Perbualan berkisar di sekitar isu-isu nahas helikopter, FAM & bolasepak Malaysia, jolokan Mohamad Khir Toyo (MB Selangor)mengenai perkhidmatan cemerlang serta satu-dua isu mengenai hal peribadi. Ada kesepakatan dalam menyetujui pandangan kebanyakan masalah hari ini timbul terutamanya akibat daripada larutnya rasa bersalah individu di dalam hati masing-masing.

Kesimpulan awalnya, yang tidak pernah berasa salah:

Satu
Mengulang perkataan-perkataan yang didengar daripada orang lain
Dua
Menyebut-nyebut kebaikan diri sendiri
Tiga
Memuji manusia lain secara berterusan
Empat
Merendahkan orang lain
Lima
Makan berlebihan
Enam
Tidur berlebihan
Tujuh
Berasa diri sendiri lebih baik
Lapan
Tidak pernah rasa bersalah

Monday, July 16, 2007

Lapang sasar golf



















Lapang sasar golf adalah salah satu tempat yang saya gemari. Banyak alasannya:

1. Boleh menghayun bola golf sebanyak mungkin
2. Boleh memilih sebanyak mungkin sasaran asalkan dalam lingkungan yang ditetapkan
3. Boleh memikir sebanyak mungkin tanpa gangguan
4. Boleh memerhati orang lain bereaksi terhadap hayunan mereka sendiri
5. Boleh memuji diri sendiri untuk menyukakan hati
6. Boleh perasan hayunan seperti Tiger Woods kerana tiada sesiapa akan mentertawakan
7. Boleh berehat sebentar sambil menikmati minuman dan makanan, tapi jangan merokok!
8. Boleh menelefon
9. Boleh perasan handikap akan berkurang
10.Boleh memakai t-shirt tidak berkolar dan jeans!