Sunday, August 22, 2010

KESERAKANAN?

Sehingga hari ini, saya masih memikirkan apa maksud sebenar yang dikatakan 'keserakanan' atau 'collegiality' menurut kata Inggeris. Persekitaran universiti ketika ini agak giat mempromosi penggunaan istilah tersebut. Pemakaiannya dipanjangkan langsung kepada amalan-amalan penilaian prestasi untuk tujuan-tujuan rasmi seperti penyambungan kontrak perkhidmatan dan kenaikan pangkat. Saya percaya ia digunakan dengan cara amat longgar, iaitu menggunakan pandangan dan penilaian rakan sejawat untuk mengetahui kedudukan seseorang di tengah-tengah kumpulan sosial yang kecil.

Asal usul 'collegiality' sebenarnya jelas: Ia menggambarkan hubungan antara bishop dan Pope dalam tradisi Gereja Katolik Roman pada abad ke 14. Kuasa dan kewibawaan antara mereka menjadi perekat yang menjalin hubungan antara sesama mereka dalam konteks pentadbiran dan pengurusan. Dengan kata lain, hanya mereka yang betul-betul jelas dan berada dalam ikatan nilai dan kuasa yang sama sahaja yang dilihat layak untuk berada dalam lingkungan 'collegiality'.

Sekiranya dilihat dari sudut tradisi sistem politi dan politik Alam Melayu, keserakanan ini mungkin agak hampir niat penggunaannya dengan 'persahabatan'; namun tentu sekali tidak kena mengena langsung dengan konsep dan amalan 'kesetiakawanan' dan seumpamanya.

Dalam tradisi Alam Melayu, hal seumpama ini - menilai orang lain secara agak jelas dan terbuka untuk tujuan tertentu - kurang lebih sama keadaannya dengan pantang larang tradisi seperti mengkritik orang lain secara terbuka khususnya. Ia bukan satu norma atau kebiasaan. Hal ini membudaya secara seimbang dalam konteks dunia Asia, bukan dalam Alam Melayu semata-mata.

Hal ini semakin menarik, dan memerlukan masa untuk melihat perkembangan seterusnya.