Sunday, November 26, 2006

Akal Budi 69 - Media dan Kerajaan

Dalam sistem politi seperti di negara ini, persepsi rakyat terhadap peranan media selalunya berubah-ubah disebabkan beberapa pertimbangan. Pertama, kematangan rakyat dari segi melihat peranan kerajaan dan alam politik keseluruhannya; kedua, kematangan budaya politik keseluruhannya; dan ketiga kesediaan pengamal-pengamal media mengukuhkan kefalsafahan realiti maklumat dan ilmu dalam konteks penyebarannya kepada rakyat, dan pada masa yang sama kesediaan mereka untuk mengehadkan 'keazaman politik' mereka terhadap tuan-tuan politik (kerana konsep 'penaung-yang dinaungi') sangat mengakarumbi di alam politi ini.

Wednesday, November 22, 2006

Akal Budi 68 - Alam Sekitar, lagi?

Tahun 2005 dan suku tahun 2006 khususnya telah mencatatkan pemandangan yang agak menarik khususnya yang berkaitan dengan isu-isu persekitaran. Kegiatan-kegiatan kebakaran hutan secara terbuka yang menyumbang kepada kejadian jerebu, pembalakan haram dan tidak terkawal, kerosakan dan pemusnahan hutan, pencemaran alam secara umum termasuk khususnya sungai mendapat liputan yang agak besar di dalam negara. Perlulah diakui bahawa kesemua isu ini memerlukan usaha dan tindakan yang bukan sedikit daripada jentera pentadbiran pembangunan negara.
Dalam satu kes, pada 13 Januari 2006 lebih daripada 100 penduduk yang tinggal di Kampung Sungai Gatom, Labis, Johor dipindahkan ekoran kejadian pembuangan sisa aluminium yang menghasilkan gas ammonia. Sebelum itu, enam buah sekolah telah pun diarahkan tutup berikutan kejadian beberapa orang penduduk pengsan akibat terhidu gas berkenaan. Tindakan tidak bertanggungjawab di pihak kontraktor yang tidak memiliki lesen Jabatan Alam Sekitar itu menimbulkan persoalan mengenai aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di pihak agensi-agensi kerajaan yang bertindak selaku agen dan pengimbang pembangunan (Dilaporkan bahawa Jabatan Alam Sekitar mempunyai sistem yang dikenali sebagai Sistem Penjejakan Sisa Berjadual (E-Swiss) yang boleh memastikan sisa-sisa buangan tiba di destinasi yang sepatutnya, iaitu di tapak pelupusan yang diwartakan. Bagaimanapun, sistem itu dikatakan gagal berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan sisa-sisa itu dibuang sesuka hati termasuk di Kampung Sungai Gatom itu. Apa yang lebih menimbulkan keraguan adalah kenyataan bahawa tidak ada agensi penguatkuasa atau agensi berkaitan yang menyedari bagaimana jumlah sisa toksik yang dianggarkan berjumlah 300 tan itu boleh dibawa dari luar – iaitu dari Melaka – ke Labis untuk dilupuskan. Utusan Malaysia, “Ancaman ammonia di Sungai Gatom, Johor”, 13 Januari 2006, halaman 5).
Satu lagi isu yang kerap berulang-ulang adalah insiden kebakaran terbuka yang merupakan salah satu sebab berlakunya jerebu di negara ini. Di Sepang, Selangor khususnya terdapat tidak kurang lima kawasan yang sering dikesan berlakunya pembakaran terbuka, iaitu kawasan berhampiran Plaza Tol Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jalan Balai Raya di Kampung Hulu Chucuh, Jalan Jenderam Hilir, Kilometer 20.2 Lebuh Raya Elit (hala KLIA) dan Jalan Trak 5, Hulu Teris. Dilaporkan bahawa kejadian pembakaran terbuka tersebut dimaklumkan sendiri oleh Perdana Menteri kepada Menteri Besar Selangor. (Dilaporkan bahawa dalam kes kebakaran yang berlaku di Selangor itu, Perdana Menteri sendiri telah bertindak memaklumkan kejadian kebakaran kawasan berkenaan kepada Menteri Besar Selangor. Ini diakui sendiri oleh Menteri Besar Selangor sebagaimana dilaporkan akhbar. Lihat Utusan Malaysia, “PM prihatin laporkan kebakaran kepada Khir”, 15 Ogos 2006, halaman 7).
Harga yang terpaksa dibayar untuk pembangunan juga melibatkan isu alam sekitar dalam bentuk kejadian banjir, banjir kilat, tanah runtuh dan sebagainya yang secara tidak wajarnya dirujuk sebagai ‘bencana yang dicetuskan oleh alam’. Tahun-tahun 2005-2006 khususnya memperlihatkan berlakunya kejadian banjir yang terus menduga keupayaan dan kewibawaan mentadbir di kalangan pentadbir-pentadbir pembangunan dan ahli-ahli politik negara.
Banjir-banjir besar yang berlaku di Utara tanahair pada penghujung 2005 serta banjir besar yang dikatakan luar biasa berlaku di Shah Alam (yang diisytiharkan sebagai Negeri Maju yang pertama di Malaysia) pada 26 Februari 2006 memberi isyarat kepada jentera pentadbiran pembangunan akan kekurangan yang menonjol dari segi keupayaan agensi-agensi pusat, penguasa tempatan dan kerajaan negeri dalam mentadbir pembangunan secara holistik dan menyakinkan. Dalam insiden di Shah Alam, ketidaksediaan PBT khususnya dalam menghadapi keadaan cemas seperti yang telah berlaku itu dengan sendirinya menggambarkan masa depan yang membimbangkan sekiranya apa yang sepatutnya tidak dilaksanakan sesegera mungkin, tidak diambil tindakan. Kenyataan rasmi kerajaan yang menyebut bahawa tidak akan berlaku lagi banjir di Lembah Kelang menjelangnya tahun 2020 dipandang dengan penuh harapan meninggi oleh rakyat (Kerajaan dilaporkan memberi jaminan bahawa Lembah Klang akan bebas daripada kejadian banjir menjelang tahun 2020 apabila projek utama penebatan banjir disiapkan. Projek-projek yang dimaksudkan itu termasuklah Projek Kolam Tadahan Banjir Batu dan Projek Penebatan Banjir Lembah Klang. Lihat New Straits Times, “No more floods in the Klang Valley by 2020”, April 26, 2006, p.13).
Selain beberapa isu yang ditimbulkan berkaitan kegagalan agensi kerajaan mentadbir pembangunan dengan cara yang sepatutnya, beberapa langkah serta perkembangan yang boleh dijadikan contoh pentadbiran pembangunan yang baik juga dapat dilihat berlaku dalam persekitaran negara. Antaranya termasuklah langkah positif di pihak kerajaan-kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan mapan dibudayakan. Sebagai contoh, kerajaan Terengganu misalnya berjaya memastikan pokok-pokok yang bernilai tinggi sentiasa terlindung dan dipelihara, seperti sebanyak 53 batang pokok daripada spesis Dipterocarpus sarawakensis atau ‘Keruing Sarawak’ yang sebelum ini dikatakan tidak terdapat di Semenanjung Malaysia melainkan tumbuh di Sarawak sahaja (New Straits Times, “protecting the prized tress”, February 20, 2006, p.17).
Begitu juga dengan keputusan kerajaan untuk sama ada menarik balik atau mengkaji semula perancangan untuk memajukan beberapa tapak yang dianggap oleh penduduk tempatan sebagai aset warisan terutamanya kawasan-kawasan hijau di pinggir-pinggir bandar. Antara kawasan-kawasan terlibat adalah sebahagian Bukit Gasing dan Bukit Kiara yang akan diwartakan oleh pihak kerajaan (Kementerian Wilayah Persekutuan) sebagai kawasan hijau di Lembah Klang.
Sebelum itu, terdapat ura-ura bahawa beberapa kawasan hijau di Lembah Klang berkemungkinan akan dibangunkan untuk tujuan-tujuan komersil dan perumahan. Antara kawasan-kawasan yang dibimbangi oleh penduduk tempatan akan musnah dibangunkan untuk pelbagai projek tersebut termasuklah Bukit Persekutuan, Bukit Tunku, serta sebahagian kawasan Taman Tasik (lihat liputan Sunday Star, “Green lungs in danger?”, September 11, 2005, p.3).
Tahun 2006 bermula dengan kemunculan sedikit perkembangan menarik apabila Malaysia dikelompokkan di kalangan sepuluh negara teratas dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar 2006. Berdasarkan indeks tersebut, dari sudut kategori polisis, rumusan dibuat bahawa negara ini mempunyai kelebihan dari segi sumber air namun berada di tahap lemah dari segi tenaga mapan, dan kepelbagaian bio dan habitat (Dzulkifli Abdul Razak, “Climbing up the greens rankings”, New Sunday Times, February 5, 2006, p.6)
Justeru isu persekitaran menjadi tumpuan dalam semua bentuk pembangunan dan kemajuan, peranan pentadbiran pembangunan dengan itu terletak sebahagiannya kepada keupayaan untuk memastikan isu tersebut ditadbir dengan paling cekap, berkesan dan berkesinambungan.

Tuesday, November 21, 2006

Akal Budi 67 - Etika Perhimpunan Agung

Banyak pendapat sudah dikemukakan sebagai maklumbalas kepada kenyataan TPM mengenai kemungkinan untuk tidak menyiarkan lagi siaran langsung Perhimpunan Agung UMNO pada masa depan. Dr Chandra Muzaffar misalnya berpandangan bahawa samada media elektronik menyiarkan secara langsung atau tidak sesi perbahasan/ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO adalah soal kedua. Yang diutamakan adalah pada persoalan samada berlaku atau tidak ucapan-ucapan yang tidak beretika dan terkeluar daripada objektif perbahasan. Etika tidak hidup hanya dalam lingkungan yang tertutup. Ia sebahagian daripada keseluruhan sistem yang beroperasi dalam masyarakat. Sekiranya berlaku sedemikian, maka etika itu hanyalah sekadar ditadbir dan diamalkan secara berpilih-pilih mengikut kelompok tertentu dan khusus.

Monday, November 20, 2006

Akal Budi 66 - Wajah-Wajah Ceria

Wajah-wajah ceria FSPPP. Eid 1427.

Akal Budi 65 - Mengenai Bangsa & Bahasa

Saya sudah baca buku 'Mengapa Kami Bantah' selenggaraan Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Saya mengucapkan terima kasih sebanyak-banyaknya atas kiriman buku itu pada minggu lepas, dan diterima secara percuma pula walaupun saya memohon untuk membayar kos buku dan pengirimannya terus ke rumah saya!
Barulah saya lebih faham apa sebenarnya yang menjadi isu sebenar berkaitan bangsa dan bahasa. Akal biasa saya tidak tercapai hal-hal yang dibangkitkan dalam buku itu, pertama kerana saya telah berpengalaman buruk akibat daripada pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan dalam proses pendidikan sejak tahun 1970 dahulu (yang menukar aliran daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu); dan kedua, kerana kebanyakan sumber daripada pentadbir dasar-dasar awam dan media massa - terutama akhbar-akhbar perdana - tidak membangkitkan soal-soal seperti yang diungkapkan oleh buku itu berkenaan fakta-fakta penting dalam sejarah negara berkenaan bangsa dan bahasa.

Friday, November 17, 2006

Akal Budi 64 - Menyanggah Arus Perdana

Kenyataan salah seorang exco tertinggi Pemuda UMNO berkenaan ucapan dasar Presiden yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan menjadikan perhimpunan agung UMNO kali ini lebih panas, meskipun situasi seperti itu tidaklah sesuatu yag menghairankan ahli-ahli UMNO dan semua pemerhati di dalam mahupun di luar dewan perhimpunan.
Dalam sains kepolitikan, perilaku seperti itu dianggap sebagai wacana-wacana politik (political discourse) yang mewarnai arus pemikiran perdana sesebuah parti politik. Wacana seperti itu bagaimanapun tidaklah dianggap rasmi kerana Ketua Pemuda sudahpun menyatakan dengan jelas bahawa pandangan exco tersebut - yang merupakan anak kepada Presiden terdahulu - tidak mewakili lidah Pemuda. Sebaliknya ada kemungkinan - sebagaimana dibayangkan oleh Ketua Pemuda - kedudukan exco tertinggi itu akan dinilai semula atas alasan exco tersebut menyanggah kepemimpinan parti. Sesiapapun akan setuju bahawa menyatakan sesuatu yang dilihat tidak sealiran dengan ketua atau Presiden, akan dianggap sebagai penderhaka, konsep 'kawalan politik' yang sangat tradisional dan mengakar dalam sistem politi alam Melayu.

Monday, November 13, 2006

Akal Budi 63 - Polisi Awam

Memetik kata-kata Perdana Menteri bahawa beliau memerlukan lebih daripada satu penggal untuk membangunkan negara, dalam pengajian dasar awam mana-mana kerajaan, biasanya kenyataan seperti itu dirujuk sebagai pendekatan incrementalism, yang bermaksud kerajaan akan menggunakan pendekatan secara bertahap-tahap atau berperingkat-peringkat untuk melaksanakan program-program pembangunan. Biasanya, dasar dan pendekatan seperti itu digunakan dengan memikirkan 'kesinambungan' daripada dasar-dasar serta pendekatan-pendekatan yang digunakan sejak pemerintahan kerajaan yang lalu atau sebelumnya, dan bukannya terpisah-pisah sebagai sesuatu yang benar-benar baru pada setiap kali penambahan dilakukan. Ia lebih melibatkan penyesuaian dan penambahan sedikit sebanyak dari segi pendekatan dan komponen sokongan.
Momentum, atau rentak pelaksanaan dasar itu mestilah sentiasa dipantau kerana selalunya isu yang berbangkit bukanlah pada kandungan program-program pembangunan, sebaliknya lebih kepada melibatkan soal pelaksanaan serta pendekatan program. Sekiranya pendekatan program pembangunan tidak digarisi dengan cermat sebaik-awal permulaannya, maka program pembangunan akan diheret menjadi komitmen yang akan membebankan kerajaan meskipun kandungan program dianggap paling baik secara teoritis atau luarannya.

Friday, November 10, 2006

Akal Budi 62 - Sesudah 50 tahun

Melewati usia 50 tahun adalah langkahan penting dan dianggap capaian terbesar mana-mana manusia sekalipun. Manusia secara umumnya, atau secara teoritisnya, dianggap berada di dalam lingkungan 'zon mati' selepas melangkaui tahap 40 tahun. Usia selebihnya selepas itu dianggap sebagai 'bonus' atau mungkin 'talian hayat' untuk menyusun keutamaan seterusnya dalam kehidupan. Dalam sistem perkhidmatan sektor awam, 5o tahun merupakan usia pilihan untuk meneruskan perkhidmatan dalam skim kerajaan. Dalam kebanyakan permainan sukan, usia 50 tahun menandai perubahan status daripada 'biasa' kepada 'veteren'.
UiTM sudah melewati garisan 50 tahun itu, tempoh masa yang terlalu matang untuk menzahirkan penampilan luaran.
Ada masanya sejarah sesuatu institusi itu terlalu banyak dan berliku-liku sehinggakan sukar bagi para pencatatnya menyerapkan keseluruhan sentimen dan emosi ke dalam penulisan sejarahnya. Agak sulit untuk mengerjakan semuanya secara holistik. Lalu, antara pilihan-pilihan yang ada adalah dengan mengambil tindakan sekerat-sekerat, selektif. Tentu ada - kerana ada terlalu banyak episod - peristiwa yang dicatatkan dan yang tidak dicatatkan, sama ada disedari ataupun terlepas pandang.
Semua itu dikenal sebagai memori korporat, corporate memory. Para pencatatnya perlu amanah, beriltizam tinggi dan berintegriti dalam memastikan setiap catatan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kelak. Namun, kewaspadaan amatlah perlu. Dalam realiti korporat, penyisihan maklumat dan sejarah berlaku dari semasa ke semasa. Antara sebab utama adalah kesalahan dan kesilapan manusia. Itu perkara yang sering terjadi dalam di dalam sistem pentadbiran dan pengurusan Malaysia, seperti kata Tony Frenandez, apabila diwawancarai the Wall Street Journal,
"The management culture here (Malaysia) is very top-down. There's less creativity and fewer people who are willing to speak out. They're more implementers than doers. There's less freedom of speech, and that impacts the business world. Even when they know things are not right, they won't speak out. They just do what they're told to do."
Nota:
Rahimi, saya tidak berpeluang hadir makan malam gala. Meja yang rakan-rakan fakulti biayai untuk menghadirinya telah ditarik balik dua tiga hari sebelum majlis itu lantaran lebihan tempahan (over-subscribed). Yang ada cuma meja tambahan yang diletakkan terlalu jauh daripada tempat acara, menyebabkan ketua jabatan membuat keputusan bijak tidak mahu menyinggung perasaan rakan-rakan akademia.
Tuhan terus merahmati institusi keramat ini, InsyaAllah.

Akal Budi 61 - Bangsa & Bahasa

Isu bangsa & bahasa tidak akan pupus-pupus - terutamanya selama bangsa masih ada - kerana kedua-duanya bersifat kesalingan. Tidak terasa semangat dan rohnya sekiranya hanya ada yang satu tanpa yang satu lagi. Sekiranya bangsa Melayu di bumi Malaysia pupus, kemungkinan bahasa Melayu itu hidup tetap ada, selama masih ada mana-mana masyarakat yang menuturkannya; di China ada, di Afrika Selatan ada, di Indonesia sentiasa ada (walaupun dikenal sebagai bahasa Indonesia), di sebelah Selatan Thailand juga ada, dan sedikit sebanyak ada dituturkan di mana-mana secara diasporadik.


Jadi, apabila Kongres Bahasa VII yang diadakan baru-baru ini di DBP mencetuskan sedikit sentimen yang tertentu - misalnya mengenai pengajaran Sains & Matematik menggunakan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah - tentulah ia bersangkutan soal-soal perjuangan melangsungkan hidup Melayu dan meninggikan martabat bangsa Melayu. Banyak pihak yang percaya ini bukan soal perkauman. Ini soal perjuangan yang mana-mana kumpulan manusia di mana-mana tempat sekalipun pasti lindungi dan pertahankan. Ia juga lebih daripada sekadar soal keutamaan dan peningkatan status masyarakat dan negara maju. Di kalangan orang yang bukan industrialis dan oportunis yang hedonistik, global bukanlah suatu sistem. Global adalah soal falsafah dan pendekatan. Dasar-dasar awam yang ditadbir oleh kerajaan tentu sahaja terbuka kepada kekurangan dan lepas pandang di mana-mana. Oleh itu, mana-mana dasar awam terbuka kepada pentafsiran dan penyesuaian semula tanpa mengira masa dan keadaan, selama mana pengubahsuaian itu diperlukan.


Kembali kepada hal bahasa tadi, memanglah jelas bahawa sosiobudaya dan sosiopolitik bahasa memang selalu memerlukan pengubahsuaian untuk kesejahteraan manusia. Bukan sahaja ia perlu untuk orang atau rakyat Malaysia (dan bukannya bangsa Malaysia, kerana tidak ada bangsa Malaysia setakat ini yang direkodkan di muka bumi), malah ia perlu untuk orang-orang luar yang berfikiran dan berfalsafah global menziarahi pemikiran setiap bangsa dan etnik di Malaysia.

Wednesday, November 08, 2006

Akal Budi 60 - Siapa Melayu?

Cuba lihat - sekadar contoh - satu takrifan yang dibuat oleh Ismail Noor (2003) mengenai Melayu. Mungkin selepas ini takrifan mengenai bangsa-bangsa lain dipaparkan di sini, sebagai modal berfikir mengenai 'bangsa Malaysia'. Sengaja saya tidak terjemahkan untuk mengekalkan perasaan dan emosi yang dicetuskan daripada ayat asal pengarang itu.
“The Malay is a practising Muslim, residing in Malaysia, whose roots go back to his ancestors of the Old Malcca Empire and of those who were sons of the soil in the other parts of the Malay archipelago, strecthing as far back in history as 3000BC. The Malay is endowed with a cultural heritage that has made him known throughout as the “gentleman of the world”. The Malay lives in a sanguine environment that is free from the vagaries of the weather and the harshness of natural calamities. The grace that God Almighty has bestowed upon the Malay has moulded him into a person who follows the path of temperence, making him a gentle and considerate person. His attributes and personality are clearly reflected even in the fine art of Malay cultural dance, whihc is expressed in slow and graceful movements depicting his affinity with the peaceful surroundings. The Malay is also a wonderful and gracious host to his guests, and this has been depicted in the writings of not a few Westerners, at times putting him at a disadvantageous position when dealing with pthers. But over time, he has also learned to manage his boundaries, be they physical or psychological, well. The modern Malay is suave, savvy, enterprising and values-driven. The globalised world will be his next battleground.”

Akal Budi 59 - Indeks Persepsi Rasuah

Selepas berpeluang menonton dan mendengar sendiri sebahagian segmen persidangan Parlimen, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa soal jawab yang disiarkan itu lebih banyak menonjolkan kelemahan dan kelebihan ahli-ahli politik dalam berpolitik. Pertama, soalan yang dikemukakan oleh sesiapapun dijawab dengan memberi keutamaan kepada kesalahan atau kesilapan masa lalu. Sebagaimana dipertonton semalam, salah seorang menteri, dalam memberi reaksi kepada suatu soalan, menyalahkan kepemimpinan yang lampau sebagai penyebab kepada perilaku rasuah. Ini ekoran daripada peningkatan kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah antarabangsa.
(Terdapat beberapa mekanisme yang digunakan untuk mengukur daya saing dan persepsi mengenai rasuah. Antaranya yang diterimapakai secara agak menyeluruh oleh kebanyakan negara adalah World Competitiveness Ranking dan Corruption Perception Index (CPI) yang ditadbir oleh Transparency International. Selain itu, terdapat juga mekanisme ukuran tertentu yang digunakan misalnya oleh Bank Dunia untuk menaraf (rank) negara-negara berdasarkan sejauh manakah mudahnya mendapatkan lesen perniagaan. Data ini dipaparkan menerusi laporan World Bank’s Doing Business in 2006.)
Kepada penonton-penonton yang biasa, yang mungkin pemikiran kritikal mengenai politik dan rasuah bukan sesuatu yang dimahiri, cara pembentangan dan soal jawab seperti yang dipaparkan itu mungkin tidak dapat difahami dengan menyeluruh dan adil.
Jika penjelasan menteri dibuat seperti yang telah dilakukan itu semalam, maka segala hal mengenai rasuah tidak boleh diuruskan mengikut tahun semasa. Oleh itu, melalui contoh kecil seperti itu, peranan dan tanggungjawab ahli dan parti politik - iaitu menyediakan pendidikan kepada rakyat - tidak nampak relevennya. Mungkin atas sebab itu, ada yang tidak bersetuju dengan cadangan supaya media elektronik menyiarkan siaran langsung perbahasan Parlimen, seperti yang dilakukan di United Kingdom misalnya.

Tuesday, November 07, 2006

Akal Budi 58 - Bangsa Malaysia II & Ras (Race)

Ekoran kenyataan berintelek Datuk Abdul Ghani Osman (Menteri Besar Johor) semalam (6 November 2006), banyak reaksi diperlihat oleh beberapa ahli politik. Setelah membaca kesemuanya, jelaslah bahawa yang menjadi isu besar dalam polemik Bangsa Malaysia adalah pada istilah "bangsa". Dalam banyak-banyak pendapat yang dikemukakan itu, pandangan Datuk Dr. Chua Soi Lek (Menteri Kesihatan) mungkin agak lebih tepat apabila beliau membangkitkan soal kekeliruan istilah 'bangsa' sebagaimana yang digunakan oleh penutur-penutur bahasa Melayu. Seawal 1950an, apabila kebanyakan negara besar di dunia menggunakan istilah 'nation' untuk menggambarkan sebuah negara sebagai suatu sistem politi yang lengkap segala komponen budaya dan politik - yang berpaksikan identiti khusus - di kalangan rakyatnya, negara kita mengangkat istilah 'bangsa' sebagai 'ras'. Tambah mengelirukan, United Nations juga diterjemah sebagai "Bangsa-Bangsa Bersatu"; negeri dan negara pula langsung disekalikan sebagai 'Negara' (state).

Ras ialah spesis-spesis yang dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan besar yang berlainan biologi mereka. Tapi perbezaan itu pula tidaklah sampai mengasingkan kumpulan-kumpulan itu dari segi kepelbagaian biologi mereka sama sekali. Oleh itu, selalunya keutamaan yang ditekankan, misalnya dalam soal bangsa Malaysia ini adalah pada identiti kumpulan. Wawasan 2020 merujuk bangsa Malaysia itu lebih kepada 'orang-orang Malaysia', sama seperti apabila sesiapapun merujuk orang-orang lain sebagai, misalnya 'orang Perancis' atau 'orang Arab', ataupun malah 'orang Penan', 'orang Melanau' dan seumpamanya.

Oleh itu, bangsa Malaysia - sepertimana Timbalan Perdana Menteri katakan - tidak lebih daripada 'state of mind' - atau 'keadaan minda' yang membayangkan bahawa kita adalah 'orang yang menjadi rakyat Malaysia'. Tidak ada perkiraan kumpulan dari segi kelainan biologi apabila bercakap mengenai 'bangsa Malaysia'. Yang ada cuma, identiti setiap orang yang telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai rakyat Malaysia. Oleh itu, jika ingin tahu seseorang itu daripada kumpulan yang mana, perlulah dirujuksilang kepada perincian yang digarisi oleh Perlembagaan. Lalu jadilah seseorang itu ahli sesebuah kumpulan biologi, samada dalam kumpulan besar Bumiputera (Melayu, orang asli dan kumpulan etnik yang diiktiraf sebagai Bumiputera) atau pun 'bukan Bumiputera' (selainnya).

Monday, November 06, 2006

Akal Budi 57 - Bangsa Malaysia

Semalam, 5 November 2006, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Osman membuat kenyataan politik yang sangat berani dan berwibawa. Antara lain, beliau menyatakan bahawa konsep bangsa Malaysia tidak boleh diterima kerana 'bangsa Malaysia' tidak mempunyai asas 'bangsa' yang nyata dan tulen, malah bersifat 'rojak' (baca kenyataan itu). Kenyataan itu kemudian disambut dengan reaksi yang tipikal daripada Dr. Lim Kheng Yaik, Presiden Gerakan. Lim Kheng Yaik menganggap pendirian UMNO Johor pimpinan Abdul Ghani sebagai menyanggah pendirian kerajaan. Alasannya, bangsa Malaysia dikatakan sebagai konsep yang menjadi pendirian kerajaan negara ini.
Apa pun, seperti yang berlaku kepada konsep 'kebudayaan kebangsaan', apabila semua keturunan utama di negara ini bermati-matian mahu menonjolkan sifat-sifat dan budaya keturunan masing-masing, konsep 'bangsa Malaysia' sememangnya tidak memperlihat potensi yang menyakinkan untuk dijadikan sandaran oleh kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan perpaduan rakyat dan kemantapan politik. Bidang politik kenegaraan amat memahami isu ini. Hal seperti itu menjadi satu lagi sebab dan alasan kenapa budaya politik di kalangan rakyat negara ini tidak juga matang-matang. Berbekalkan pengalaman lampaunya sebagai pendidik dan ahli akademik di Universiti Malaya (yang pernah mengurus generasi muda berbilang kaum), Datuk Abdul Ghani tentunya mempunyai autoriti dan kredibiliti untuk menyampaikan pandangannya yang menyakinkan dalam isu yang sesulit konsep bangsa Malaysia itu.

Akal Budi 56 - Keluhan politik

Satu daripada beberapa sifat politik ialah membetulkan. Politik sentiasa diharapkan untuk mendengar dan meredakan keluhan. Itulah asas istilah 'politics' (atau, polis). Kata akar politik menurut Greek lama memang tidak molek. Ini dijelaskan oleh Machiavelli. Namun tradisi keilmuan Islam pula meletakkan politik sebagai 'siasah' (urusan mengatur dan mentadbir masyarakat), sesuatu yang dianggap mulia (noble) dan ada pertalian langsung berkaitan kontrak atau perjanjian kewahyuan antaraTuhan dengan manusia.
Begitulah, misalnya ketika Perdana Menteri ke empat, Tun Dr Mahathir mengeluh mengenai ketiadaan ruang untuk bersuara, politik sepatutnya berupaya meredakannya. Hal ini tentu agak tidak menyelesakan sesiapa pun sekiranya berlaku dalam negara ini, yang sedang mengeraskan usaha untuk mematangkan siasahnya. Jika tidak benar, kebenaran seharusnya diserlahkan. Jika benar, maka meletakkan sesuatu kembali ke tempat haknya, sepatutnya dipertanggungjawab kepada penguasa sementara sistem politik. Sekali lagi, political correctness menjadi aliran yang terlihat dalam keadaan seperti ini kerana sebahagian besar penawar berada di tangan penguasa sebenar media massa.

Akal Budi 55 - Saddam Hussein Al-Majid

Akhirnya, rancangan Amerika untuk merekabentuk lanskap politik dalaman negara Iraq - tamadun awal yang tinggi yang meninggalkan sejarah penting dalam kehidupan manusia terutamanya serta mengisi khayalan manusia melalui Hikayat Seribu Satu Malam-nya - mula menunjukkan kenyataan. Presiden Bush malahan berhasrat melanjutkan detik-detik hukuman gantung sampai mati ke atas Saddam semata-mata untuk memberi peluang kepada 'generasi baru' menyaksikan pemusnahan yang akan dilakukan ke atas Saddam yang Bush dan bapanya dendami sekian lama.
Spektrum politik Iraq yang diingini Bush adalah jelas: wujudkan politik Iraq yang menunduk kepada Amerika syarikat. Di kalangan puak yang bersengketa - Sunni dan Syiah - meskipun kedajalan Bush amat disedari, namun dendam kesumat sesama mereka menenggelamkan semua punca yang berupaya mengubah cermin politik Iraq daripada ketaksuban pembenaran mazhab kepada penyatuan ummat.
Mahkamah Kanggaru - yang skrip perbicaraan dan keputusan sudahpun ditentukan lebih daripada setahun yang lalu - akhirnya sudah tiba di penghujung kisah, setelah menayangkan episod-episod klise pelakon sepenjenayahan Saddam, iaitu Bush. Saddam hanyalah stand-in sahaja; pelakon pembantu yang dipaksa melakonkan watak-watak Bush.
Hikayat Seribu Satu Malam memang menghiburkan sesiapa sahaja.

Akal Budi 54 - Kebetulan politik

Seawal-awal tahun 1980an, beberapa kumpulan liberal dalam arus politik Amerika Syarikat berusaha untuk mengubah kebiasaan satu aspek dalam budaya politik negara itu dengan menumpukan perhatian kepada cakap-cakap dan kenyataan-kenyataan politik orang-orang politik. Pergerakan itu dikaitkan dengan "political correctness". Antara lain, ia bermaksud banyak aspek dalam bahasa dan percakapan perlu diperbetul oleh orang-orang politik supaya 'yang nyata diserlahkan dan yang jelas ditimbulkan.'

Usaha seperti itulah yang kemudiannya menunjukkan bahawa sangatlah salah sekiranya memanipulasi pihak yang ditindas atau tidak berupaya melawan secara adil. Lalu, perkataan-perkataan seperti "man" digunakan untuk "humanity" (menunjukkan penguasaan lelaki ke atas wanita walaupun ia dilapisi oleh kepalsuan 'kemanusiaan'); atau "black" seperti digunakan dalam 'black book' atau 'buku hitam' yang mengandungi senarai nama orang-orang yang dikategori sebagai di bawah perhatian ketua (sebenarnya menunjukkan penguasaan kulit putih ke atas minoriti bukan kulit putih); dan sebagainya. Hari ini, lebih banyak semua perkataan itu digunakan dengan cara 'sangat beradab', seperti "racism"; "sexism"; dan beberapa contoh lain pada masa kini, termasuk dalam bahasa Melayu seperti 'khinzir' ( bukannya 'babi') atau 'warga emas' (bukannya 'orang tua') kerana bimbang ada yang tersinggung hati mereka (adakah generasi muda 'warga perak'?). Semua itu membawa makna yang berbeza-beza.

Penggunaan kata-kata dan ucapan-ucapan politik yang berlapik-lapik seumpama itulah yang terus diamalkan hari ini. Ada banyak sebab kenapa ia terus berlaku. Namun yang utama adalah desakan hedonistik - kecenderungan manusia untuk hanya menyukai dan memiliki sesuatu yang baik dan menyenangkan. Namun ketidakinginan manusia kepada sesuatu yang menjejaskan kesenangan dan keselesaan mereka menyebabkan hal-hal seperti itu tidak difikirkan sama sekali.

Betulkah politik?

Mungkin peribahasa ini - dikumpul dan ditulis oleh Sifu UNIKA-PTS, Ainon Mohd & (Prof Emeritus) Abdullah Hassan dalam buku mereka, Koleksi Terindah Peribahasa Melayu (2003:139) - bagus untuk renungan:

"Semanis-manis gula berpasir jua, sepahit-pahit jadam menjadi ubat"
(Sedap didengar tetapi palsu, tidak sedap didengar tetapi baik)

Sunday, November 05, 2006

Akal Budi 53 - Yang dijemput pulang

Malam tadi, kira-kira pukul 11.00, saya menerima panggilan telefon,menyampaikan khabar yang rakan yang sangat pendiam namun gemar berjenaka secara sinikal, Dr. Samirah Abd Rahman (Fakulti Sains Gunaan) menghembuskan nafas terakhirnya selepas koma beberapa jam akibat angin ahmar. Al-Fatihah.

Saya juga kehilangan pensyarah saya yang sangat baik hati, Prof Dr Hussain Mohamad (UM) akibat serangan jantung, dua hari lepas.

Kemudian, walaupun agak lewat membaca catatan di blognya, Sifu UNIKA-PTS, Ainon Mohamad, kehilangan ibunya.

Takziah untuk mereka. Yang tinggal, pasti akan menyusul.

“Even memory is not necessary for love. There is a land of the living and a land of the dead and the bridge is love, the only survival, the only meaning.”

(Thornton Wilder)

Friday, November 03, 2006

Akal Budi 52 - Warisan siapa?

Mengunjungi semula tempat yang kira-kira 30 tahun lampau menjadi lubuk permainan sewaktu zaman kanak-kanak membuatkan pemikiran sentiasa berputar. Satu daripada beberapa tempat itu - seperti Batu Hampar, atau Burmese Pool - di kaki Bukit Larut, atau Bukit Maxwell, Taiping, Perak - mencetuskan emosi yang agak panjang. Tidak kurang 30 tahun lampau, kawasan itu menjadi tempat yang menawarkan segalanya, daripada tempat yang menjadi tumpuan untuk hasil-hasil rimba seperti buluh lemang, atau tempat fauna dan flora seperti ulat gonggok yang sebesar lengan anak kecil, sehinggalah kepada sebagai sebuah tempat yang kedinginan airnya diriakkan oleh ikan-ikan batu seperti sebarau, dan udang-udang yang menari-nari lembut di bawah batu-batu besar. Hari ini, Batu Hampar kelihatannya sudah amat hambar. Harga pembangunan terlalu mahal. Entah fikiran siapa yang dilihat terlalu utama sehingga mewajarkan teman-taman perumahan dibina sehingga bercantum rapat dengan rimba-rimba rekreasi. Begitu juga dengan sebuah lagi sungai, dikenal dengan nama Austin, yang melekat dengan Taman Suria, yang dahulunya menjadi sejarah kerana menjadi lokasi perlombongan yang penting di hujung bandar Taiping itu. Gambaran jelasnya adalah seolah-olah bumi sejarah Ngah Ibrahim ini tidak cukup tanah untuk tujuan perumahan lagi.

Thursday, November 02, 2006

Akal Budi 51 - Menziarahi semula

Saya terima e-mel daripada seseorang. Pengirim itu mengingatkan saya mengenai beberapa perkara, antaranya soal 'kacau-bilau' dan 'huru-hara' yang masih belum nampak kesudahannya. Dia juga mengingatkan saya - dan saya pasti dia mengenali saya, cuma dia agak berhati-hati untuk memberikan kepada saya sebarang tanda yang boleh mencetuskan kepastian saya bahawa saya juga mengenalinya - akan beberapa puisi yang ditulis bertahun-tahun lampau, misalnya "Nazak" (Mingguan Malaysia, Disember 1986); "Bapak" (tidak pasti tarikh) dan "Rimba simbolisme" (1992). Sayangnya puisi yang saya cukup ingat, Bapak, sudah tiada dalam simpanan saya. Seingat saya puisi itu tersiar sama ada di Dewan Masyarakat, atau Al-Islam, mungkin. Ia berkaitan dengan 'kacau-bilau' sewaktu Almarhum Tunku Abdul Rahman diheret dalam kemelut sia-sia politik semasa waktu itu.
Sebahagian besar simpanan karangan saya musnah sewaktu banjir yang melanda kawasan perumahan saya pada 26 Februari 2006 lalu. Namun saya perolehi yang sebuah ini, tersiar di Dewan Sastera keluaran Februari 1992, halaman 23, dahulu. Mungkin isunya releven dengan keadaan sekarang ini. Saya perturun di sini, sekadar menjadi bahan bacaan.



Rimba Simbolisme

dengus siapa yang kedengaran
sesat dalam rimba simbolisme
harus barangkali mencari-cari makna
daerah-daerah fikir dan minda
menuju jalan pulang

jangan sembarangan berteriak
meminta tolong
usaha olehmu memintal lelah mengait akal
uraikan pantang keturunan
matikan segala rahsia purba
hidup kan perlu diteruskan juga

bangsa apa lagi seperti kita
yang harus bersusah hati kerana tetangga
ya, mereka sampai bila-bila tetap sama
masih juga dengan hidup berahsia-rahsia
sedang kita tetap juga berpayah-payah
menguis-nguis makna simbolisme
tentang dosa, pahala, setia dan durhaka
semuanya dikendong sejak dahulu kala
dan bila tiba di penghujungnya
kita sama-sama bertanya:

"kenapa kita berbeza, sedang kita adalah sama?"

demikian rimba simbolisme menyesatkan kita
dengan segala makna yang masih tetap rahsia
masihkah juga kita perlu bepura-pura
tetap bahagia dan setia demi mempertahan makna?

(nasrudin mohammed, shah alam, disember 1991 )

Akal Budi 50 - Akademi Kepimpinan

(Kemaskini, 2 November 2006. 0940. Surat terbuka tulisan ahli akademik sebuah universiti awam ini mungkin boleh mencetuskan pemikiran awal mengenai aspek kepemimpinan yang barangkali perlu diberatkan oleh Akept.)
Semalam, kerajaan mengumumkan keputusan untuk menubuhkan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept).

Nota: "Kepimpinan", atau "Kepemimpinan"? Atau, "the art & science of leading or being at the front" atau "the art & science of leadership"? (Jika yang pertama itu, ia menumpukan kepada teknik, kemahiran dan pendekatan. Hal yang kedua itu pula menumpu kepada peribadi yang dipertanggungjawab untuk memimpin).

Meneliti kepada terma rujukan akademi itu, seperti yang dijelaskan oleh Menteri Pengajian Tinggi, teranglah bahawa akademi itu memberatkan soal-soal kemahiran. Antara lain, akademi itu akan menumpukan perhatian kepada pendidikan dan latihan sekurang-kurangnya dalam tiga aspek yang mencakupi latihan kepimpinan, pengendalian latihan pemimpin (TOT) dan penyelidikan kepimpinan.

Pada zaman silam, dalam lingkungan tradisi keilmuan, pemimpin dikenalpasti terlebih dahulu, kemudian barulah diberi peluang untuk memikul tanggungjawab. Apabila tradisi itu berubah- sebahagiannya hasil daripada pemikiran semula sarjana-sarjana Greek dan Barat terhadap peranan dan tanggungjawab pendidikan tinggi sebagai usaha untuk menenggelamkan idealisme pendidikan manusia sebagaimana dihidupkan falsafahnya oleh tradisi pendidikan Al-Azhar khususnya, dan disusul oleh revolusi sektor industri Eropah, maka hari ini spektrum pendidikan diperluas sehingga menyangkut soal-soal yang tidak pernah terfikir sebelum ini, misalnya dalam hal menarafkan institusi-institusi pendidikan tinggi.

Wednesday, November 01, 2006

Akal Budi 49 - Sosialisasi

Proses sosialisasi (bagaimana individu belajar semua hal selama berada di dalam masyarakat tertentu) memberi kesan langsung kepada pembentukan budaya politik. Sesetengah sarjana, seperti Leeds (1981) berpandangan proses sosialisasi yang terlampau searah dan tegas boleh menyebabkan individu taksub dan tidak mengambil masa untuk merenung dan memikir; sekaligus menyebabkan keseluruhan masyarakat diprogram untuk berpendirian sebegitu juga. Akibatnya, beberapa simptom, atau gejala akan dapat dilihat, ada masanya dengan begitu menonjol, namun tidak disedari dengan cepat oleh masyarakat keseluruhannya. Antara gejala-gejalanya termasuklah: (1) penerimaan dan ketaksuban status quo yang menghala ke ekstrimisme; (2) pengasingan, yakni satu situasi apabila orang ramai berasa mereka tidak berupaya dan tidak berkuasa untuk menyatakan pandangan dan menunjukkan penyertaan serta pengaruh mereka dalam politik semasa; (3) sanggah atau lawan budaya, ini berlaku apabila budaya semasa dilihat tidak membantu rakyat untuk turut berasa diri mereka sebagai sebahagian daripada komponen utama negara mereka sendiri; hal ini menyebabkan polisi-polisi awam kerajaan terjejas dari segi kefahaman dan penerimaan rakyat.