(Rahimi, Eka & Elia - terima kasih!)
Terlangsung bercakap mengenai soal-soal peninggian mutu pada lewat minggu lepas, saya teringat kembali - dan setelah merujuk silang kepada catatan di buku nota - apa yang disyarahkan oleh Dr. Anthony (City University) atas judul 'Public sector reforms in Asian countries: Global influence & national dynamics' pada 7 Disember 2006 lalu. Antara lain, katanya, selalunya yang berbeza adalah pada paradigme atau kerangka pemikiran, bukannya fakta atau ilmu yang universal. Malah, katanya lagi, sering juga orang terkeliru antara soal-soal dasar atau pokok dengan hal-hal sampingan yang lebih berupa kosmetik semata-mata. Lalu beliau analogikan hal itu dengan peribahasa tua Cina bahawa 'seekor kuda putih bukanlah kuda!' Atau dengan kata lain, kuda putih adalah kuda putih, bukannya seekor kuda semata-mata!
Ini seperti yang sering berlaku dalam kehidupan sehari-harian. Katakan anda sedang berada di meja sebuah restoren. Anda memesan minuman coke. Beberapa minit kemudian, pelayan restoren datang membawa pepsi. Anda kemudiannya tetap mahukan coke. Pelayan itu pun lalu membalas dengan mengatakan bahawa coke dengan pepsi tidak mempunyai perbezaan yang besar dari segi rupa dan rasa. Malah, di kalangan rakan anda pada waktu itu pun menyetujui kenyataan si pelayan tadi.
Kepada diri anda sendiri, hal itu tentulah penting kerana anda yakin, coke ialah coke manakala pepsi tetap juga pepsi; buah oren tetap juga buah oren, manakan adil untuk disamakan dengan buah epal!
Jadi, kembali kepada soal asal tadi, apa yang anda fikir dan percayakan itu benar dan tepat kepada diri anda semata-mata, walau dalam apa keadaan sekali pun. Namun ia belum tentu benar dan tepat serta boleh dipersetujui oleh orang lain, meskipun kelihatannya universal di mata sesiapa pun. Di sinilah letaknya kekuatan pemikiran kritis anda.
Selamat berteori.