Ada dua pandangan umum yang sering ditunjukkan pada setiap kali soal-soal integriti dan akauntabiliti dibangkitkan. Pertama, integriti & akauntabiliti digambarkan sebagai lebih banyak berkaitrapat dengan kelebihan attau kekuatan personaliti dan sahsiah individu; dan kedua, integriti & akauntabiliti lebih banyak dihubungkan dengan elemen-elemen keupayaan sistem nilai masyarakat dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang negara secara efektif.
Kes Satu
Menerima kesalahan secara terbuka; disusul dengan maaf, juga secara terbuka. Ini digambarkan oleh suatu iklan berkenaan peraturan lalulintas: si bapa menunjukkan perilaku rakus dan tidak mesra terhadap kenderaan yang dipandu lebih perlahan di hadapan lantaran tidak dapat memotong kenderaan di hadapan itu dengan segera. Tindakan itu tidak disenangi si anak dan isteri. Si anak lebih berasa dimalukan kerana kenderaan yang di hadapan itu memerlukan masa untuk mengubah haluan ke kiri; lebih malangm, si pemandu itu adalah guru sekolah yang mengenali si anak tadi. Si bapa kemudian menerima kesalahan dan memohon maaf secara terbuka kepada isteri dan anak.
Kes Dua
Menerima kesalahan tidak secara terbuka; hanya untuk tafsiran diri sendiri. Dalam suatu iklan di media elektronik, si anak menegur si bapa kerana memotong barisan kenderaan lain di lebuhraya menggunakan lorong kecemasan. Si bapa terdiam. Digambarkan si bapa tertunduk tanda menerima kesalahan, tetapi tiada reaksi memohon maaf sama ada secara terbuka atau sebaliknya. Dengan kata lain, integriti dan akauntabiliti si bapa tidak ditunjukkan secara zahir. Si anak tidak memperoleh sebarang pengajaran daripada peristiwa tersebut. Pengajaran - meskipun mungkin sementara - hanya diperoleh oleh si bapa dan si ibu. Sekurang-kurangnya ada dua tafsiran yang berbeza yang akan dibuat mereka.