Kuat melambangkan suatu sifat dan keadaan. Ia dirujuk samada secara fizikal mahupun spiritual. Perdebatan mengenai yang mana lebih dipentingkan dan diutamakan memangnya tidak berkesudahan. Bergantung kepada konteks dan situasi, sifat kuat melambangkan kelebihan yang menenggelamkan sifat-sifat yang dianggap sebagai kekurangan atau kelemahan pada sesuatu masa. Sebagai contoh, seseorang sering menggunakan ungkapan ”Awak mesti tabah dan kuat menghadapi keadaan sebegini” apabila cuba menenangkan seseorang yang lain sewaktu ditimpa musibah.
Ada cerita yang amat menarik mengenai kekuatan sebagaimana dipaparkan oleh sejarah hidup Alexander the Great. Alexander the Great (356-323 SM) atau Iskandar Zulkarnian merupakan Raja Macedonia yang menakluk Empayar Parsi. Dibesarkan di bawah perhatian dan didikan Aristotle. Aristotle (384-322 SM) ialah ahli falsafah Greek yang dididik oleh Plato. Beliau merupakan guru kepada Alexander the Great. Apabila Alexander menjadi raja Macedonia (336 SM), Aristotle mengasaskan Lyceum yang merupakan komuniti untuk menjalankan penyelidikan.
Selepas kematian Alexsander, Aristotle meninggalkan Athens atas sebab-sebab politik dan kemudiannya meninggal dunia pada tahun berikutnya. Selama hayatnya, Aristotle menulis tidak kurang 400 buah buku meliputi pelbagai cabang pengetahuan. Bagaimanapun, penulisan beliau atas tema-tema biologi, logik dan sains politik adalah antara yang sangat menonjol dan mempengaruhi pemikiran ramai orang.
Alexander kemudiannya menggantikan bapanya, Philip II pada tahun 336. Pada tahun 334 Alexander disanjung sebagai anak tuhan yang bernama Ra dan kemudiannya mengasaskan Alexandria sehingga tempat tersebut menjadi pusat kepada kebudayaan bangsa Greek Alexander meneruskan penjelajahan dan usaha penaklukannya sehingga merentas Babylon dan Afghanistan dan kemudian mengahwini seorang puteri berbangsa Asia bernama Roxane.
Pada tahun 327, Alexander bersiap-siap untuk mara ke India. Bagaimanapun dilaporkan para pengikutnya enggan meneruskan perjalanan ke India. Ini memaksa Alexander untuk berpatah balik. Di Susa, Alexander mengahwini puteri Raja Darius, dari Parsi, sebagai isteri keduanya. Alexander digambarkan sebagai seorang pemimpin dan penakluk yang sangat berani serta bersifat strategis dan bijak mengatur taktik penaklukan. Personalitinya yang sedemikian mengekalkan nama Alexander sebagai salah seorang wira dalam sejarah dunia.
Hari ini misalnya, pada tembok berhampiran Coliseum di Kota Rom, peta sejarah penaklukan Alexander tergambar dengan jelas dan lengkap.
Riwayat hidup Alexander menggambarkannya sebagai penakluk agung yang ternama. Bagaimanapun, Alexander kemudiannya meninggal dunia akibat daripada demam yang berpunca daripada seekor makhluk Tuhan yang amat kecil, iaitu nyamuk. Pada saat-saat Alexander sedang tenat di perbaringan, Alexander ditanya kepada siapakah empayar besarnya itu akan diserahkan?
Alexander menjawab, ”Kepada seorang yang terkuat!”
Ada banyak pandangan yang disuarakan orang mengenai sifat kekuatan. Apa pun, yang paling penting untuk diperhatikan adalah mengenai kefalsafahan di sebalik apa yang sebenarnya dikatakan kuat itu. Satu daripada falsafah-falsafah tersebut adalah kenyataan bahawa biasanya ’kejayaan selalunya lebih manis sekiranya ada keberanian yang menumbangkan kegagalan. Maknanya, apa yang dianggap sebagai kekuatan adalah sifat berani.
Justeru kenyataan itulah maka manusia sentiasa dianjurkan supaya tidak menyembunyikan diri di tempat-tempat yang mereka fikir selamat semata-mata untuk menghilangkan rasa takut atau lemah. Sebaliknya mereka harus mencetuskan keberanian untuk berdepan dan bergelut dengan kesukaran dan kesulitan hidup pada tahap paling maksimum. Dengan itu, keazaman akan berpanjangan manakala putus asa menjadi sesuatu yang tidak menasabah sama sekali. Sementara mimpi masih berlanjutan, hidup diteruskan pada setiap saat dalam keadaan jiwa yang menyenangi dan tenang dalam melakukan apa yang terbaik dalam hidup. Dengan kata lain, apa yang dikandung oleh ”kekuatan” sebenarnya adalah sifat berani yang boleh mematahkan keraguan dan kegagalan tanpa kita berasa diri kita ditewaskan. Kuat adalah pilihan kita!