Thursday, April 12, 2007

Said Zahari & Singapura

Isu menarik. "Zahari's 17 years" diharamkan di Kota Singa.

Kisah said adalah kisah menarik terutamanya kerana pertalian beliau dengan Tanah Melayu serta insiden pemogokan Utusan 46 tahun lampau. Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan arwah Datuk Usman Awang sering memperihal kisah yang dianggap bersejarah itu.

Said menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu pada tahun 1959 dan telah mengetuai pekerja-pekerja Utusan dalam tindakan mogok selama tiga bulan itu.

Beliau juga merupakan ahli politik kedua yang ditahan bagi tempoh yang lama di Singapura selepas Chia Thye Poh.

Beliau adalah salah seorang daripada seramai 117 pemimpin kesatuan dan pembangkang politik yang ditangkap di bawah Operation Coldstore dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Zahari’s 17 Years diharamkan kerana didakwa oleh Republik itu sebagai “bertentangan dengan kepentingan rakyat.”

Kata kementerian berkaitan di Republik itu lagi, “Filem ini memberi gambaran yang mengelirukan dan mengandungi fakta-fakta yang diputarbelitkan tentang penangkapan dan penahanan Said di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri,”.

Dari perspektif pemberitaan dan kewartawanan, kelihatannya agak tidak berimbang kerana isu ini tidak diberatkan oleh editor, khususnya editor-editor akhbar perdana negara ini. Terlalu sensitif benarkah isu ini berbanding dengan filem Amir Muhammad?

Tanpa memutar belit fakta, kisah Said adalah kisah sejarah negara ini juga. Negara Republik itu terus bimbang dengan sejarah, sebagaimana selama ini ia bimbang dengan sejarah awal Temasik itu. Di atas buku, sejarah mungkin boleh dipadam cetakan tintanya, namun di dalam jiwa, minda dan rasa, sejarah adalah sebahagian kehidupan yang tidak perlu ditulis dan dikarang semula.