Ketika berada di pejabat Tingkat 22 DBP dua hari lepas, Malim memaklumkan kepada saya mengenai rancangan pendokumentasian rencana-rencana khusus dan umum yang akan diterbitkan dalam masa tiga bulan dari sekarang. Satu daripada isu-isu yang diperbual termasuklah soal personaliti dan pendekatan pengarang ('pengarang', bukannya penulis; penulis tidak semestinya 'mengarang' lebih-lebih lagi jika yang ditulis itu atas kiraan emosi dan sesuka hati semata-mata) yang sentiasa cuba memprojekkan imej sebagai 'tahu semua' atau 'sentiasa pandai'. Imej dan reputasi yang cuba ditunjukkan lebih daripada sekadar kepandanian tok-tok kiyai yang hebat renungan & firasat makrifat mereka serta mampu pula menyingkap hijab yang menutup segala.
Ini termasuklah antaranya pendekatan klise yang memaparkan kisah seseorang yang baru berhentu merokok. Sebaik berjaya dilakukannya - berhenti menumpang, meminta, membeli dan menghisap rokok - maka kepada mana-mana perokok lain yang dilihatnya secara terserempak atau sememangnya berada dalam lingkungan pandangannya, dilemparkan dengan pandangan hina dan keji kerana kebiasaan merokok itu. Setakat mana yang terdorong, dia akan memperlihat ketidaksenangannya mengenai kebiasaan merokok itu, seolah-olah dia suci dan bersih daripada amalan tersebut (tanpa cuba mengingati semula betapa masih pekat dan melekatnya baki-baki palitan candu pada salur-salur darah di dalam tubuh tuanya).
Sikap dan sifat 'tahu semua' itu memperlihat kedunguannya mengenai ketidakupayaan secara total mana-mana manusia untuk menggerakkan mana-mana deria pada dirinya tanpa terlebih dahulu melihat kepada kalbu yang ada disimpan di dalam kerangka dadanya. Dan selamanyalah dia akan kekal begitu, pandai antara kedunguan. Kata ilmuwan tulen - yang sering mengaku diri mereka tidak tahu dan tidak pandai - orang seumpama itu - yang 'tahu semua' - sangat perlu dijauhi, seperti anda sedang berhadapan dengan harimau!