Memberi keutamaan adalah soal membuat dan menentukan pilihan. Keutamaan adalah meletakkan sesuatu sebagai paling penting dan biasanya bersegera (urgency). Apabila daripada sekian banyak jumlah perkara diletakkan di dalam senarai keutamaan, maka keutamaan atau kepentingan perkara-perkara itu - menurut darjat dan penekanannya - akan dibuat berdasarkan beberapa perkara yang dianggap sebagai mewakili tahap kepentingan sesuatu perkara itu sendiri.
Keutamaan mungkin bersandarkan kepada hukum; ada masanya bertunjangkan keinginan; pada masa yang lain ia mungkin hanya dilihat tidak lebih daripada sekadar mementingkan perasaan dan kesenangan orang-orang lain.
Satu daripada unsur-unsur pendesak yang mencetuskan keutamaan mungkin dilihat kepada elemen kesegeraan, atau urgency. Selama mana sesuatu itu dilihat sebagai sesuatu yang perlu disegerakan, maka jadilah sesuatu itu sebagai yang paling diutamakan. Ada banyak situasi yang menjelaskan hal ini, misalnya: (1) kesukaran membuat pilihan antara kegemaran atau hobi; (2) dilema memilih antara beberapa keinginan; (3) rasa serba salah antara mendahulukan sesuatu kerja atau tanggungjawab; (4) keinginan untuk melakukan semua perkara pada suatu masa atas rasa tamak dan rakus kerana yakin berupaya mengawal kesemuanya.
Maharaja Nero membuat pilihan untuk bermain muzik tatkala seluruh negara sedang berperang dan menyaksikan kebakaran besar - jawabannya mungkin ada di mana-mana!