Dulu, sewaktu era Negeri-Negeri Selat antara 1824-1867 - pegawai-pegawai tinggi British di Tanah Melayu selalu melaporkan mengenai perkembangan dan kemajuan negeri-negeri Melayu ke pihak atasan di London mengenai kegiatan pelanunan. Mills (1925) pernah melaporkan, kurang lebih begini:
"No feature in the history of British Malaya has so impressed the popular mind as piracy. Mention a Malay to the average person and he at once conjures up a picture of treacherous, bloody-thirsty ruffian armed with a long wavy "kris". His favourite occupation was piracy, varied occassionally by running amok; and Europeans sailed the Eastern seas at the peril of their lives."
(Terjemahan bebas, kurang lebih:
"Tiada pemandangan dalam sejarah British Malaya yang amat mengagumkan fikiran seperti yang ditunjukkan oleh pelanunan. Sebut Melayu kepada mana-mana orang biasa dan dia akan terbayangkan seorang yang berkeris yang ganas dan pembunuh. Pekerjaan yang digemarinya adalah melanun, yang diselang-selikan dengan mengamuk; dan orang-orang Eropah menyabung nyawa dengan belayar di lautan Timur.")
Kini, pelanunan dalam bentuk baru: Berlainan daripada era British Malaya. Orang Melayu tidak lagi dikenali dan ditakuti oleh kegiatan lanun mereka lagi. Jika dulu, pelanunan dilihat sebagai aktiviti yang 'sedikit terhormat, banyak ditakuti' lantaran kegiatan itu dibelakangi sokongan kuat daripada kepuakan dan pemerintah (sistem feudal memang begitu antara ciri-cirinya).
Kini lanun datang dalam banyak bentuk: pemutar belit transaksi perniagaan; pemuka-pemuka yang mengadu-domba; penjilat-penjilat yang melunasi hutang-hutang kehidupan dengan ria' dan kesombongan; penjawat-penjawat awam yang menyelindung rupa hodoh dan jahat mereka di sebalik topeng-openg budiman; pemuji-pemuji yang memajak kesantunan atas nama kesenangan dan kemewahan; serta perakus-perakus yang tidak pernah berkecukupan melaknati erti rezeki dan nikmat yang sentiasa ada walau pun berbutir.
Selamanya, pelanunan tidak lagi datang dalam rupa yang sama. Pelanunan adalah antara kerjaya tertua, sekurang-kurangnya dalam sejarah Tanah Melayu. Bezanya, Melayu - meskipun bukan lagi di tanah yang bernama Melayu ini - menjadi penyaksi kepada pelanunan yang berbilang etnik dan pelbagai kegiatan.