Monday, April 09, 2007

Antara Sahsiah, Kecergasan dan Nikmat



Kesempurnaan dan kesihatan fizikal - ditambah dengan keanggunan spiritual - adalah idaman semua manusia. Nikmat sebegitu tidak tergambar oleh sekadar kata-kata, atau pada pandangan mata. Yang hak, ia bukanlah untuk diperagakan semahu hati, apatah lagi ditonjol-tonjolkan sehingga berkemungkinan berubah menjadi ria'.

”Seseorang yang benar tidak akan peduli sama ada keseluruhan nilai dirinya musnah daripada hati-hati manusia semata-mata atas niat untuk memperbaiki hatinya sendiri. Dia tidak ingin manusia melihat walau sekecil manapun kebaikan dirinya, dan dia tidak kisah sekiranya keburukan atau kekurangannya diketahui oleh orang lain, kerana sekiranya sebaliknya, ia akan dilihat meninggikan dirinya di mata orang lain, dan itu adalah terkeluar daripada sifat-sifat orang yang siddiqin.”
Harith al-Muhasibi (R.A)

Ada kisah yang menarik mengenai Gunung Everest (Nepal), gunung tertinggi di dunia, yang juga digelar ”Bumbung Dunia”. Dilaporkan dalam sejarah bahawa orang terawal yang sampai ke kemuncak Everest adalah Sherpa Tenzing Norgay, seorang Gurkha (rakyat Nepal) dan Edmund Hillary (seorang rakyat New Zealand). Kejayaan bersejarah itu direkodkan pada 29 Mei 1953. Selepas kejayaan mereka, kebanyakan gambar yang disiarkan di surat-suratkhabar di merata dunia adalah gambar Tenzing Norgay di kemuncak Everest. Namun, agak menghairankan ramai orang kerana tidak ada gambar Edmund Hillary sama sekali.

Apabila ditanya, Hillary sekadar mengaitkan hal itu dengan ketidakupayaan Norgay untuk menggunakan kamera dengan betul. Hillary sekadar mengatakan:

”Sepanjang pengetahuan saya, Tenzing tidak pernah mengambil gambar, lagi pun puncak Everest bukanlah tempat yang sesuai untuk saya mengajar Tenzing cara mengendalikan kamera.”

Akhirnya, mereka berdua saling menuding jari, menunjukkan antara satu sama lain apabila ditanya siapa sebenarnya yang sampai ke kemuncak terlebih dahulu, sambil kedua-duanya dillaporkan berkata,

”Penaklukan akhir gunung tersebut adalah usaha bersama yang tulen antara kami berdua.”


Sahsiah, sama ada luaran atau rupa diri, mahupun dari segi dalaman, adalah saling melengkapi. Allah itu cantik dan Dia menyukai sesuatu yang cantik. Bukan sahaja sahsiah penting kepada pandangan mata, malah ia juga sangat besar maknanya kepada kejiwaan. Mata yang melihat, dan telinga yang mendengar menjadi saluran kepada hati untuk memikir. Dan bagi orang yang berfikir, terlalu banyak bezanya antara melihat dan mendengar.

”Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebut (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya”
Al-Qur’an (93:11)