Laporan media pagi ini meliputi hal wanita Myanmar yang terlibat dengan kehilangan Yin beberapa minggu lepas. Khabarnya wanita itu menolak pemberian ganjaran sebagai mengembalikan Yin kepada ibubapanya. Sewaktu Yin dikembalikan - meskipun dalam keadaan fizikal yang tidak begitu molek, terutamanya dalam keadaan berkepala gondol - berbagai-bagai pertanyaan diajukan orang. Bermacam-macam andaian kemudiannya disusun satu persatu untuk mencari jawaban kepada kehilangan Yin.
Akhirnya, isu besar yang asal - berusaha dan bertawakal untuk mendapatkan kembali Yin - hilang lenyap lalu digantikan dengan persoalan "Kenapa Yin disimpan selama kira-kira 15 hari sebelum dia dipulangkan kepada ibubapanya?"
Integriti wanita Myanmar itu - yang miskin dan serba daif - kemudiannya dipersoal dan tercalar dalam keadaan yang menghinakan dan memilukannya, langsung membawa kepada pendiriannya untuk menolak sebarang bentuk ganjaran sebagai memulangkan Yin.
Dalam keadaan sebegitu, kelihatan benar rapuhnya kepercayaan dan niat manusia tatkala hajat kesampaian. Ketika bekeperluan, berbagai-bagai janji dan ikrar ditabur dan diselang-seli dengan kesyukuran kepada Tuhan. Sebaik sahaja niat kesampaian, janji dan ikrar terpaksa di'kajisemula' sebagai cara atau tanda untuk 'membenarkan' sesuatu yang lain. Ini soal memberatkan antara salah satu nafsu -nafsu besar manusia.
Namun begitu, keinsafan seharusnya dilafazkan sebaik membaca laporan bahawa ahli perniagaan yang telah berikrar itu tidak berganjak niatnya untuk terus menghadiahkan ganjaran itu kepada orang yang membawa pulang Yin.
Jika wanita itu bersalah kerana orang percaya dia memang berniat untuk menyimpan Yin selama-lamanya - malah berniat mahu menghambakan Yin - dia sudah pun membatalkan niat itu. Di sisi Tuhan, dia sudah memperoleh tidak kurang satu mata ganjaran. Bagi mereka yang berniat baik, misalnya mahu menyedekahkan atau menghadiahkan sesuatu kepada wanita itu, dan mereka kemudiannya membatalkan niat tersebut dengan pelbagai alasan lalu mencalarkan hati dan integriti wanita itu sekeluarga, tidak terfikirkah mereka balasan yang akan diterima kelak?
Soal budi tidak pernah terhenti. Asalkan hati berasa puas - meskipun mereka tidak akan pernah puas kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai sebarang jawaban yang pasti - lalu jadilah hal-hal seperti yang dilalui wanita itu.
Manusia memang sentiasa berada dalam keadaan resah gelisah kerana itu adalah fitrah. Bagaimana pun,tidak semua orang mampu menangani kegelisahan itu dengan cara dan rasa yang boleh menampakkan ketinggian akal dan budi. Antara lain, alasannya adalah kerana mereka lebih gemar bercakap dan kurang menghargai 'diam'.