
Ya, sukan ini nampak mudah. Dengan sepasang sarung tangan (sayangnya semasa dulu kami tidak pernah kenal sarung tangan), anggota-anggota badan tertentu, termasuk tangan dan kaki bebas digunakan untuk menumpaskan lawan. Antara anggota yang terpenting adalah siku, lutut dan keting (maaf, orang Sarawak! Tiada maksud mencarut atau apa pun!). Di kalangan komuniti orang Utara, (tulang) keting adalah bahagian hadapan kaki antara buku lali dan lutut.

Perut juga sangat perlu dikuatkan untuk menepis hentakan lutut lawan. Oleh itu, senaman 'bangun-duduk' atau 'sit-up' dilakukan beratus-ratus kali dan diselang-seli dengan 'push-up' untuk menguatkan bahagian tangan, bahu dan dada. Perut juga perlu dipukul bertalu-talu menggunakan objek yang keras, seperti kayu umpamanya, untuk mengeraskannya. Lebih menakutkan, bahagian belakang leher juga perlu disenamkan dengan ganas untuk menguatkannya supaya tidak mudah lentur bila ditarik lawan!
Hari ini, saya membawa Zuhair & Zahier menyaksikan dengan mata mereka sendiri bagaimana perlawanan itu - yang bukan lakonan! - diadakan. Sebaik melihat percikan darah yang bertompok-tompok di atas arena, barulah mereka sedar bahawa mempertaruh kekuatan fizikal semata-mata bukanlah keputusan yang mudah dan bijak bagi sesiapa pun! Setidak-tidaknya hari ini mereka pastinya telah mendapat pelajaran betapa kekuatan fizikal tidak mencukupi untuk menundukkan lawan kerana manusia biasa akan keletihan sebaik sahaja melepaskan dua tiga sepakan padu ke tubuh lawan!
Nostalgia!