Friday, June 08, 2007
Menara
Kelmarin, Marwati (DBP) menelefon untuk memaklumkan perkembangan terkini manuskrip Menara yang sudah pun dihantar ke Dawama untuk urusan percetakan. Terima kasih.
"Ada banyak menara di dunia. Eiffel, Pisa, London, KL, Petronas. Semuanya mempunyai sifat dan simbol atau lambang yang tersendiri. Lambang adalah kepelbagaian tanda. Bukan tunggal. Eiffel mungkin lambang kecintaan dan kasih sayang. Ia pasti hebat untuk kekasih. Namun Eiffel belum tentu menjadi apa-apa kepada si penderita cinta. Kepada pelukis berjiwa, Pisa mungkin mewakili perasaan sentimental yang menggamit rindu perenungnya. Namun belum pasti Pisa boleh memberi apa-apa makna kepada si buta yang tidak berdosa.
Walau apa pun, benar sungguhlah kepercayaan orang bahawa setiap menara tetap melambangi sesuatu. Menara London melambangi istana kota kehebatan kerajaan Norman yang pernah dijadikan rumah pasung negara. Menara Kuala Lumpur lambang sebuah bandaraya unik yang mewakili pelbagai kaum manakala Menara Berkembar Petronas adalah penanda negara Malaysia.
Bagaimana pun, lain menara lain pula lambangnya. Setiap menara tersebut tidak berkongsi lambang dan perasaan yang serupa. Eiffel tidak upaya memiliki rasa dan cinta Pisa. Pisa tidak upaya memiliki ruh dan semangat karamah raja-raja seperti Menara London. Menara London pula tidak upaya menawan kelainan KL tentang diaspora bandaraya. Begitu juga, meski mereka mengongsi alam dan udara yang sama, KL tidak upaya mendongak gahnya Petronas.
Namun ada satu sifat yang semua menara di muka bumi ini memilikinya. Setiap menara memiliki pemerhati. Pemerhati menghidupkan sifat luar mana-mana menara. Sebagai pemerhati, menara menjadi binaan yang dibangunkan oleh manusia, untuk tontonan manusia, dan digunakan oleh manusia sendiri. Menara adalah lambang. Lambang diberikan maknanya oleh manusia. Bagaimana pun, semua menara mempunyai perlambangan yang berbeza-beza kerana sebahagian manusia yang memerhatinya sekadar menjadi penonton, sedangkan sebahagian yang lain pula memilih untuk menjadi perenung. Menonton hanyalah pada mata. Merenung adalah pada makna. Lalu tinggallah menara sebagai hanya sekadar binaan semata-mata apabila yang datang memerhati hanyalah menonton, mungkin atas alasan suka-suka, atau kerana seni estetikanya, ataupun mungkin juga kerana ritual dan agamanya. Dengan kata lainnya, kerana terpaksa."
* Petikan daripada Menara. Khabarnya akan dilambakkan sebelum Idilfitri.
** Roza, Kak Ros, Intan n geng baru merasa piza hari ini rupanya! Ketawa besar sebab duit hadiah dah habis lama dah!