Saya mendapat beberapa renungan seusai perbualan antara saya dan Wazir kelmarin.
1. Banyak yang terkeliru antara keutamaan yang hakiki dengan pilihan yang tidak pasti. Sudahnya, kebanyakannya menjurus kepada diri sendiri sahaja.
2. Ada kecenderungan di kalangan orang ramai untuk memikirkan apa yang cantik dan elok di luar sama cantik dan moleknya dengan apa yang ada di dalam. lalu, apa yang diucapkan lebih cepat menangkap perhatian orang untuk berasa simpati, suka, hiba dan sebagainya. Mereka yang oportunis menggunakan kelebihan itu untuk meninggikan riak dan takabbur, kadang kalanya tanpa mereka sedari. Jenis ini sangat perlu dibimbangi kerana bukan sahaja mereka tidak tahu malah mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka sememangnya tidak tahu!
3. Hari ini, kebaikan perlu dicanang-canangkan untuk perhatian ramai. Lalu, derma dan sumbangan dihebah-hebahkan; kepandaian dan kecerdikan digembar-gemburkan; kebaikan dan hemah diri dipertontonkan secara lakonan dan peragaan; dan kesimpulannya, semua acara dan peristiwa dikait-kaitkan dengan diri peribadi atas agenda yang diketahui hanya diri sendiri.
Wazir bersetuju bahawa ini semua sesuai dibentuk menjadi plot-plot yang sangat menarik untuk novel bertemakan nilai-nilai kemanusiaan.