Friday, June 22, 2007

Antara Peluang, Kesempatan & Kebetulan

Don, Terima kasih.

Ada bezanya antara ketiga-tiga itu walaupun pada sesuatu masa ia kelihatannya tidak banyak perbezaan. Sepintas fikir, saya melihat ketiga-tiga itu dari sudut berikut, cuma menurut pandangan peribadi saya sahaja.

Peluang >>> sebaik berada di hadapan mata, apa-apa sahaja yang dilihat baik dan molek dijadikan sasaran kerana semacam ada [erasaan bahawa sekiranya tidak diendahkan, akan menjadi satu kerugian. Misalan terbaik di sini adalah peluang untuk melabur dengan membeli saham dalam sesuatu skim pelaburan yang dikatakan berupaya menghasilkan pulangan tinggi kelak. Jika tidak melabur sedangkan ada modal, dilihat sebagai suatu perbuatan melepaskan peluang.

Kesempatan >>> sebaik berada di hadapan mata, masa yang ada cuma berbaki amat sedikit sahaja menyebabkan tindakan segera perlu dilakukan. Ini melibatkan proses membuat keputusan yang sangat cepat, seperti sekilas pandangan atau secepat kilat. Contoh terbaik adalah striker yang dapat membaca pergerakan bola dan menggunakan kesempatan terbaik untuk berada di tempat yang betul, pada masa yang tepat dan dalam posisi yang cukup bersedia untuk membocorkan gawang.

Kebetulan >>> segalanya seolah-olah seperti takdir yang tidak berupaya dilakukan oleh sesiapa pun untuk menjadikan sesuatu acara berlangsung tanpa ada sebarang elemen perancangan misalnya. Semuanya berlaku di luar sedar dan kemahuan walaupun yang berlaku itu amat menyukakan hati! Segalanya nampak betul!