“Apa-apa sahaja yang memperkuat sesuatu positif, pastinya akan melemahkan mana-mana negatif yang sering menyusul.”
I
Tuan Somari, jangan bimbang. Tentu ada penyelesaiannya. Kebimbangan sentiasa menyesakkan fikiran manusia sedangkan sepatutnya manusia cukup mengerti bahawa memang asal kejadian manusia itu secara fitrahnya berkeluh-kesah. Begitu juga hal itu sepatutnya tidak perlu timbul kerana setiap yang diatur Tuhan itu sebenarnya sudah ditentukan kadar dan sukatannya kerana Tuhan maha mengerti bahawa setiap dugaan dan kesusahan yang yang ditimpakan ke atas setiap umatNya pastinya tidak melebih daripada sekadar yang mampu dan upaya ditanggungnya.
II
Esok dan lusa ada permainan boling (Piala NC 2007). Mai, Shahril, Zul dan saya adalah satu-satunya sahaja pasukan fakulti yang menyertai pertandingan itu. Rasa-rasanya kali terakhir saya menyentuh bola boling adalah pada tahun 2005, di Bukit Tinggi sebaik sahaja pertandingan golf antara universiti di Johor Baru berakhir. Zul dan saya sekadar senyum kerana niat hanya untuk meramaikan dan menunjukkan penyertaan fakulti. Tiada yang positif atau negatifnya!