Sunday, June 03, 2007

Diam itu lebih baik

Lyn, saya fikir tidak banyak faedah yang diperolehi untuk bercakap mengenai hal ini berulang-ulang kali. Cuma, sebagaimana pernah disentuh sebelum ini, hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Kita tahu ada yang gemar mendapat perhatian orang dan suka pula dipuji melangit. Kita serahkan kepada mereka sendiri. Namun ada seperkara yang barangkali baik untuk dijadikan modal berfikir. Selalunya ramai yang keliru antara 'intelektual' (yang berilmu) dengan yang 'berpengetahuan' (atau inteligensia). Dr Nordin Kardi menyentuh hal ini dalam suratkhabar semalam.

Inteligensia adalah orang yang dianggap pakar dan tahu dalam bidang masing-masing. Namun jarang sekali kita kerap berjumpa inteligensia yang sekjaligus berupa intelektual misalnya Pak Ungku Aziz atau mungkin Tun Dr Mahathir Mohamad. Mereka adalah terkecuali daripada inteligensi yang tipikal.

Intelektualisme lebih merupakan budaya. Inteligensia lebih kepada kepandaian teknikaldan sering sisalahtafsir sebagai mereka yang 'berilmu'. Berilmu tidak terletak kepada sijil dan kertas!

Berbalik kepada isu yang Lyn kemukakan, saya rasa hal seumpama ini sudah nyata lagi terang. Mereka yang dari golongan inteligensia dan membuta tuli adalah pemandangan biasa pada bila-bila zaman. Ciri-cirinya banyak dan menjadi umum - antaranya, gemar publisiti, khayal dengan pujian melangit, asyik dan riak dengan pencapaian, sikap 'tahu dan pandai dalam semua perkara' terdorong untuk membiasakan diri memaklumkan orang-orang lain mengenai kelebihan, kebaikan dan budi yang ditaburkan bukan sahaja oleh diri sendiri malah oleh kaum kerabat dan keluarga sendiri, berkira-kira dalam menabur budi, memilih-milih dalam membuat tindakan berdasarkan kepentingan peribadi, dan rakus dalam serba-serbi.

Dalam hal ini, Junjungan Besar menyebut bahawa "Sesiapa yang mencari ilmu kewahyuan untuk bersoal-jawab dengan orang yang bebal, menyanggah ulama, atau mendapatkan perhatian orang lain kepada dirinya, akan mendapat tempatnya di neraka."