Monday, June 04, 2007

Bila Tidak Pernah Cukup-Cukup

Dikisahkan pada suatu zaman, seorang raja memperkenan untuk menganugerahkan kepada seorang perwira berkuda istana dengan suatu hadiah sebagai menghargai jasa perwira tersebut. Raja tersebut menitahkan bahawa perwira itu boleh memiliki sebanyak mungkin tanah di negara tersebut, bergantung kepada sejauh dan seluas mana kawasan tanah negara itu mampu diliputi oleh larian kudanya itu.

Tanpa bertangguh-tangguh, perwira itu pun menyesah-nyesah cemetinya ke tubuh kudanya, memerintahkan kuda itu berlari sederas dan sekencang yang boleh untuk meliputi seluas mungkin kawasan. Selama perjalanan itu, perwira itu tidak mengendahkan keadaan tubuhnya sama ada letih, lapar mahupun dahaga. Sebaliknya, dia meneruskan perjalanan berkudanya untuk meliputi lebih banyak kawasan lagi. Keadaan itu berterusan sehinggalah dia tiba-tiba kepenatan dan kian nazak.

Dalam nafasnya yang tersangkut-sangkut, perwira berkuda itu menanyakan soalan kepada dirinya sendiri, “Kenapakah aku memaksa diriku secara keterlaluan untuk mendapatkan sebanyak-banyak tanah? Kini aku menunggu saat-saat kematian. Sebenarnya, aku hanya perlukan suatu kawasan tanah yang amat kecil sahaja. Itu pun hanya untuk dijadikan kuburku.”

Kisah ini adalah kisah sejagat. Kisah ini disebarkan di seluruh dunia melalui teknologi internet dengan tujuan untuk dijadikan modal berfikir. Ia mengenai perjalanan hidup manusia. Pada setiap masa, kebanyakan manusia menghabiskan tenaga dan masa mereka untuk mencari dan mengumpul kekayaan. Manusia mendesak diri mereka, ada kalanya sehingga melampaui batas dan keupayaan diri. Sebahagian daripada mereka melakukan itu semua demi untuk memperoleh kedudukan, kuasa, wang dan kemegahan. Selama berada dalam kesibukan dan keutamaan mencari kesenangan itu, banyak perkara lain terabai dan dilupakan. Kesihatan, kegemaran masa lapang dan masa terluang untuk kebahagiaan berkeluarga dan menghayati keagungan Tuhan tidak diberikan keutamaan.
Suatu hari, apabila menoleh sejenak ke belakang, kita tersedar bahawa sebenarnya kita tidaklah memerlukan sebegitu banyak harta-benda dan kesenangan. Bagaimanapun, untuk mendapatkan semula apa yang kita telah terlepas itu – peluang untuk memperoleh kesihatan yang baik, menikmati kebahagiaan rumahtangga, menghargai ketenangan fikiran, dan meredhai segala persediaan untuk akhirat – sudah pun terlalu mustahil untuk diharapkan semula. Pada saat itu, ada yang sampai menyalahkan unsur-unsur lain kerana menyebabkan mereka ‘terpaksa’ mengabaikan perkara-perkara yang asas. Dalam hal ini, mereka seolah-olah menyalahkan Tuhan dengan apa yang mereka lalui dan kesali itu. Dengan kata lain, mereka mendustakan nikmat dan kesempatan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada mereka selama ini.
Ini sudah pun diperingatkan oleh Tuhan melalui ayatNya,

“Maka nikmat yang mana satukah daripada Tuhanmu yang engkau mahu dustakan?” (Al-Qur’an, 55:13)