Seperti sudah disentuh sebelum ini, individualisme memang sudah menular agak lama. Ini cara Amerika, budaya Amerika. Semua ungkapan dan konsep yang berakarkan individualisme diberi 'bungkusan' baru, dilabel dengan tanda negara Amerika - misalnya, Hak Asasi Manusia; Globalisasi; Pendemokrasian Pendidikan; Penanda arasan; Pematuhan Indeks Kemanusiaan; Pengembangan peluang-peluang perdagangan dan perkhidmatan(sebahagian daripada globalisasi); Pembebasan Bangsa (seperti isu Iraq); dan Mengamankan Dunia (seperti isu Iran dan Korea Utara).
Individualisme adalah kepercayaan bahawa individu mesti dijadikan pusat tumpuan kepada apa-apa konsepsi berkaitan masyarakat dan politik. Antara lain, ia merupakan idea yang menekankan bahawa manusia mesti dibiarkan membuat pilihan, dan melakukan, apa-apa sahaja menurut cara dan kemahuan mereka. Masyarakat dan kerajaan diwujudkan bukan untuk mengawal, tetapi untuk memudahkan individu mendapat lebih banyak peluang untuk apa-apa sahaja. Dalam hal ini, demokrasi dikatakan menunjangkan individualisme. Dan ia sangat berlawanan dengan konsepsi Islami yang memberi perhatian sama berat kepada kedua-dua individu dan kumpulan (masyarakat).
Atas alasan itu, individualisme sering diberi rupa yang sangat murni dan holistik. Individu dikatakan tidak bersalah - malah dipuji dan dihargai serta dikagumi - jika dia terutamanya berupaya memperagakan diri sendiri. Itu adalah sebagai cerminan untuk menunjukkan misalnya, dia ahli politik beretika murni dan beriltizam serta berjiwa rakyat; badan-badan atau institusi yang terpaksa sering mengumumkan dan memaklumkan bahawa mereka sangat mengambil berat mengenai kesejahteraan umum; sarjana yang menonjolkan reputasi bahawa dirinya tergolong dalam kumpulan orang yang berilmu dan mempamerkan nilai-nilai murni seperti sentiasa baik, berhati mulia, disayangi Tuhan, sangat dihormati oleh orang lain. Dalam keadaan sebenar, semua itu terpaksa diperolehi oleh mereka menerusi 'pujukan-rayu-paksa' samada menggunakan kuasa tertentu (politik dan status sosial), kata-kata klise (sentiasa altruistik), ataupun penonjolan pemikiran yang diberi topeng holisme (seperti menggunakan ucapan, tulisan dan grafik).
Jika dalam iklim politik, amalan seperti itu dikaitkan dengan propaganda murahan. Dalam suasana kemasyarakatan pula, keadaan seperti itu dianggap sebagai hedonisme yang menyuburkan benih-benih riak dan takabbur. Dalam kajian kemasyarakatan, golongan seperti itu biasanya berada dalam kelompok 'inteligensia' iaitu cerdik pandai atau yang menganggap diri mereka pakar bidang yang dibuktikan melalui kelulusan kertas sedangkan ilmu bantu hanyalah 'nol' semata-mata.