Saturday, June 30, 2007

EMAS 716

Selamat kembali!

Friday, June 29, 2007

Positif atau Negatif?

“Apa-apa sahaja yang memperkuat sesuatu positif, pastinya akan melemahkan mana-mana negatif yang sering menyusul.”

I
Tuan Somari, jangan bimbang. Tentu ada penyelesaiannya. Kebimbangan sentiasa menyesakkan fikiran manusia sedangkan sepatutnya manusia cukup mengerti bahawa memang asal kejadian manusia itu secara fitrahnya berkeluh-kesah. Begitu juga hal itu sepatutnya tidak perlu timbul kerana setiap yang diatur Tuhan itu sebenarnya sudah ditentukan kadar dan sukatannya kerana Tuhan maha mengerti bahawa setiap dugaan dan kesusahan yang yang ditimpakan ke atas setiap umatNya pastinya tidak melebih daripada sekadar yang mampu dan upaya ditanggungnya.

II
Esok dan lusa ada permainan boling (Piala NC 2007). Mai, Shahril, Zul dan saya adalah satu-satunya sahaja pasukan fakulti yang menyertai pertandingan itu. Rasa-rasanya kali terakhir saya menyentuh bola boling adalah pada tahun 2005, di Bukit Tinggi sebaik sahaja pertandingan golf antara universiti di Johor Baru berakhir. Zul dan saya sekadar senyum kerana niat hanya untuk meramaikan dan menunjukkan penyertaan fakulti. Tiada yang positif atau negatifnya!

Terima kasih!

I
"Boleh, kenapa tidak?" saya menjawab soalan Noraida yang mengajak saya untuk menikmati kopi suatu petang awal minggu ini. Noraida sedang menyudahkan pengajian kedoktorannya. Saya mendoakan kerja-kerja dipermudah Tuhan.

II
Ketika Azida menyampaikan jemputan itu kepada saya, saya terlupa yang dia sudah pun berkhidmat di sini! Maaf Azida, saya bukan semakin muda! InsyaAllah saya akan hadir.

III
Art memberikan tarikh tentatif untuk golf sosial. Saya cuma minta dua perkara: (i) berikan saya dua stroke; dan (ii) beri saya masa untuk berlatih sehari dua di driving range! Kalau menurut loghat Utara, Art sekarang ni dah makin "cengeh!" (maknanya: 'garang')

IV
Zul bertanyakan sesuatu kelmarin, sesuatu tentang orang suka atau tidak. Saya fikir jawabannya sangat mudah; jika mengikut pandangan Sufisme, senang sahaja untuk melihat tanda-tanda Tuhan menyukai kita atau tidak - jika ramai manusia lain menyukai kita, maka Tuhan menyukai kita. Jika ramai orang yang tidak menyukai kita, maka Tuhan tidak menyukai kita! Haha! Bunyinya menggerunkan! Tapi cukup untuk membuka fikiran!

Budaya

Rehan selalunya menyentuh soal-soal kaedah yang terbaik untuk menguruskan modul kaedah penyelidikan. Own sebaliknya lebih memilih untuk memberatkan soal-soal statistik dan kuantitatif. Dr Raoufu pula, sebagaimana menurut pandangan pelajar-pelajar di sini, amat pemurah dengan nasihat dan panduan yang berguna khususnya dalam soal-soal SPSS.

Apa pun, semuanya menjurus kepada soal dan tema yang sama: semuanya harus berbudaya, bukannya secara adhoc dan suka-suka memilih sekadar memenuhi niat sementara!

Menyelidik seharusnya dibudayakan, bukannya dijadikan kegiatan bermusim sekadar membangkitkan nafsu untuk segala. Menyelidik bukan soal menambah bilangan untuk mengisi CV dan mempamerkan kehebatan bilangan projek sahaja. Jika tidak, yang ada cuma tulang dan kerangka sedangkan rohnya tiada.

Sebab itu, ada kelas-kelas dan taraf-taraf khusus yang dilabelkan oleh pelajar kepada para pensyarah dan penyelia mereka. Ada penyelia yang dipilih pelajar lebih kepada soal-soal murah hati penyelia yang memberi gambaran bahawa mereka akan lulus dengan mudah tanpa banyak soal. Sebahagiannya kerana penyelia sendiri tidak arif dalam sesuatu lapangan, manakala segi yang lain penyelia tidak mahu popularitinya jatuh di mata fakulti.

Pelajaran Nabi Allah Khidir mungkin sesuai dalam hal sebegini.

Thursday, June 28, 2007

Selamat Berbengkel!

Satu
Berjumpa dengan beberapa rakan sekerja yang berada di sini sejak dua hari lepas. Lama juga tidak berjumpa, terutamanya Zawiah, yang datang dari Kedah. Dengar-dengar khabarnya ada beberapa isu yang masih tergantung. Tidak mengapa. Itu sesuatu yang biasa.

Dua
Sewaktu majlis makan malam kelmarin, setelah sempat berbual-bual dengan *-------* dan *-------* barulah saya tahu rupa-rupanya ada banyak isu dan cerita tidak enak yang disampaikan oleh seseorang bukan sahaja mengenai diri saya sendiri malah mengenai orang lain juga! Pada saat ini saya mengingat semula bagaimana kata-kata hikmah Junjungan Besar yang antara lain meyebut, "Menyampaikan sesuatu yang didengar kepada pihak lain ,walaupun benar, dengan sendirinya sudah menjadi fitnah."

Kadang-kala, dan ada kemungkinannya yang besar, orang yang diperkata dan dihinakan itu ternyata jauh lebih baik daripada dirinya sendiri. Manusia memang bersifat lupa dan sentiasa berkeluh kesah!

Tiga
Ada banyak perkara baik. Namun yang terlebih buruknya adalah mengungkap kebaikan sendiri! Ampun!

Wednesday, June 27, 2007

Tahniah Azila & Ezar!




Azila menyampaikan berita gembira semalam di telefon. Tahniah Azila! Tahniah Ezar! Boleh makan nasi minyak di Mambau!

Tuesday, June 26, 2007

Fatamorgana

Saya mendapat beberapa renungan seusai perbualan antara saya dan Wazir kelmarin.

1. Banyak yang terkeliru antara keutamaan yang hakiki dengan pilihan yang tidak pasti. Sudahnya, kebanyakannya menjurus kepada diri sendiri sahaja.

2. Ada kecenderungan di kalangan orang ramai untuk memikirkan apa yang cantik dan elok di luar sama cantik dan moleknya dengan apa yang ada di dalam. lalu, apa yang diucapkan lebih cepat menangkap perhatian orang untuk berasa simpati, suka, hiba dan sebagainya. Mereka yang oportunis menggunakan kelebihan itu untuk meninggikan riak dan takabbur, kadang kalanya tanpa mereka sedari. Jenis ini sangat perlu dibimbangi kerana bukan sahaja mereka tidak tahu malah mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka sememangnya tidak tahu!

3. Hari ini, kebaikan perlu dicanang-canangkan untuk perhatian ramai. Lalu, derma dan sumbangan dihebah-hebahkan; kepandaian dan kecerdikan digembar-gemburkan; kebaikan dan hemah diri dipertontonkan secara lakonan dan peragaan; dan kesimpulannya, semua acara dan peristiwa dikait-kaitkan dengan diri peribadi atas agenda yang diketahui hanya diri sendiri.

Wazir bersetuju bahawa ini semua sesuai dibentuk menjadi plot-plot yang sangat menarik untuk novel bertemakan nilai-nilai kemanusiaan.

Monday, June 25, 2007

Persekolahan, antara pendidikan dan pelajaran




Ketika menghadiri sesi perjumpaan dan perbincangan dengan guru sekolahnya kelmarin, Zuhair menggasak dengan bertanya bertubi-tubi mengenai apa yang dibincangkan dengan guru kelas. Guru kelas menyentuh beberapa hal yang menarik perhatian. Antara lain, mengenai potensi pelajar di bawah jagaannya serta aspek-aspek khusus yang selama ini diperhatikan guru-guru ketika murid-murid menghabiskan masa di sekolah. Kesimpulannya, memang sangat besar bezanya antara pendidikan dan pelajaran! Saya akan menyimpan pandangan dan ramalan guru mengenai Zuhair di blog persendirian mereka!

Ikan Bakar



Malam kelmarin menikmati tilapia merah dibakar yang dihidangkan bersama-sama sambal kicap dan air asam. Restorennya terletak di Hulu Langat, di dalam rimba yang agak tebal. Alamat? Kemudian! Saya tertinggal kad perniagaannya di dalam kereta.

Friday, June 22, 2007

Antara Peluang, Kesempatan & Kebetulan

Don, Terima kasih.

Ada bezanya antara ketiga-tiga itu walaupun pada sesuatu masa ia kelihatannya tidak banyak perbezaan. Sepintas fikir, saya melihat ketiga-tiga itu dari sudut berikut, cuma menurut pandangan peribadi saya sahaja.

Peluang >>> sebaik berada di hadapan mata, apa-apa sahaja yang dilihat baik dan molek dijadikan sasaran kerana semacam ada [erasaan bahawa sekiranya tidak diendahkan, akan menjadi satu kerugian. Misalan terbaik di sini adalah peluang untuk melabur dengan membeli saham dalam sesuatu skim pelaburan yang dikatakan berupaya menghasilkan pulangan tinggi kelak. Jika tidak melabur sedangkan ada modal, dilihat sebagai suatu perbuatan melepaskan peluang.

Kesempatan >>> sebaik berada di hadapan mata, masa yang ada cuma berbaki amat sedikit sahaja menyebabkan tindakan segera perlu dilakukan. Ini melibatkan proses membuat keputusan yang sangat cepat, seperti sekilas pandangan atau secepat kilat. Contoh terbaik adalah striker yang dapat membaca pergerakan bola dan menggunakan kesempatan terbaik untuk berada di tempat yang betul, pada masa yang tepat dan dalam posisi yang cukup bersedia untuk membocorkan gawang.

Kebetulan >>> segalanya seolah-olah seperti takdir yang tidak berupaya dilakukan oleh sesiapa pun untuk menjadikan sesuatu acara berlangsung tanpa ada sebarang elemen perancangan misalnya. Semuanya berlaku di luar sedar dan kemahuan walaupun yang berlaku itu amat menyukakan hati! Segalanya nampak betul!

A place never too far

Ros, Amir & Chad >>> foto "Pria punya selera" itu adalah bekas abu rokok (ash-ray) di sebuah restoren di Jakarta Pusat. Tatkala asyik menikmati minuman teh 'o' limau suam di situ rupa-rupanya saya sedang menghadap bekas tersebut yang tertera tulisan itu. Lalu cepat-cepat saya mengambil gambar.

Tidak pula saya sangka ia menarik perhatian awak juga!

Itu Guru

"Jika hari ini seorang
Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang
Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang
Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang
Ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang
Peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang
Penulis terkemuka,
Sejarahnya dimulakan
Oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya,
Mengajar tulis-baca.

(Sajak karya, Datuk Usman Awang)


Nota: Saya cuma ingin menjadi guru sebiasa itu. Tidak lebih.

Thursday, June 21, 2007

Quality versus Adab

Sewaktu berbincang dengan San pada suatu mesyuarat pagi semalam di HEP , soal 'Q' (kenapalah gerakan kualiti di negara ini memilih untuk menggunakan 'Q' yang sangat asing pada lidah Melayu!)atau 'Kualiti' ditimbulkan. Bertahun-tahun digerakkan, entah berapa besar belanja sudah dikeluarkan, acara-acara kualiti masih terus sekadar menjadi pesta-pestaan. Pembudayaannya terlihat hanya pada simbol dan pengacaraan sahaja. Khairul kemudian bertanya, "Kualiti atau adab yang perlu didahulukan?"

Terserah.

Pengertian ‘adab’ secara lebih bermakna dijelaskan sebagai

"Disipilin tubuh jasmani, minda dan roh; disiplin yang meletakkan keupayaan dan potensi fizikal, intelektual dan kerohanian pada kedudukan yang sebenarnya berdasarkan darjat dan tahap-tahapnya yang sewajarnya."

Adab menggambarkan sifat-sifat adil, kebijaksanaan dan hikmah. Sekaligus, adab menjadikan manusia sentiasa mengutamakan keadilan yang dicetuskan melalui hikmah dan kebijaksanaan. Ia melibatkan pengakuan dan amalan yang terpamer secara langsung.

Sebagai contoh, baca, Syed Muhammad Naquib Al-Attas, (1991:23). The concept of education in Islam. A framework for Islamic philosophy of education. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilisation.

Wednesday, June 20, 2007

Di sekitar acara golf jemputan PALAPES di Kota Permai.

Bersama Capt Zaid (UPM); Zam & Chad

Bersama Kamal, Dekan FSG (bekas Provos Melaka)
Bersama PM Rashidah Mohamad, isteri TNC Akademik UiTM sewaktu luncheon di Ballroom.

Monday, June 18, 2007

Fokus

Ada beberapa perkara yang diutamakan beberapa minggu ini hingga pertengahan bulan Julai kelak. Jadi perhatian lebih perlu ditumpukan ke situ, antaranya:

1. Program Gegar U;
2. Kempen Budi Bahasa;
3. Kuliah EMAS;
4. Seminar dan persidangan.

Selasa ini (esok) berkemungkinan besar menyertai pertandingan golf jemputan Palapes di Kota Permai. Jika berlaku, ini pusingan pertama bermain golf setelah tidak bermain walau sepusingan langsung sekalipun hampir-hampir sepanjang tahun 2007 ini.

Sunday, June 17, 2007

Hari Bapa

Rupa-rupanya ada sambutan Hari Bapa sekarang ini! Siapa yang tentukan tarikhnya? Tidak mengapalah. Terima kasih atas ucapan semua, khusus Azlina (Sg Petani), Gy (Kelang) & Rosdiana (nun jauh di Sabah!).

Thursday, June 14, 2007

Legasi Tun Razak

Kemaskini 17 Jun 2007, 1215 tgh.




Sebelah kanan saya: Datuk Suhaimi; Datuk Prof Dr Ahmad Zainuddin (Kursi Peradaban Melayu, IPMUSI) & Shaharuddin Badaruddin.




Esok dan lusa akan berlangsung seminar Legasi Tun Razak di Bukit Kiara. Kita jumpa di sana saja. Tidak pasti sama ada terdapat kemudahan wifi di sana. Jika tiada, terpaksa pos entri lambat. Makluman.

Ampun!

Tatkala membelek-belek sebuah majalah keluarga terbaru, saya tiba pada halaman khas di bahagian tengah memaparkan rencana serta foto-foto tokoh agama serta ulama (?) yang dikenali ramai. Ketika sebahagian daripada rencana mengisahkan mengenai nilai-nilai baik dan murni menurut tuntutan agama, tiba-tiba salah satu foto yang disiarkan menunjukkan beliau sedang bergambar di sisi kereta mewah yang sangat besar dengan caption "...di samping kereta kesayangannya."

Ketua Editor sememangnya salah. Dia terlebih salahnya!

Individualisme & klise

Seperti sudah disentuh sebelum ini, individualisme memang sudah menular agak lama. Ini cara Amerika, budaya Amerika. Semua ungkapan dan konsep yang berakarkan individualisme diberi 'bungkusan' baru, dilabel dengan tanda negara Amerika - misalnya, Hak Asasi Manusia; Globalisasi; Pendemokrasian Pendidikan; Penanda arasan; Pematuhan Indeks Kemanusiaan; Pengembangan peluang-peluang perdagangan dan perkhidmatan(sebahagian daripada globalisasi); Pembebasan Bangsa (seperti isu Iraq); dan Mengamankan Dunia (seperti isu Iran dan Korea Utara).

Individualisme adalah kepercayaan bahawa individu mesti dijadikan pusat tumpuan kepada apa-apa konsepsi berkaitan masyarakat dan politik. Antara lain, ia merupakan idea yang menekankan bahawa manusia mesti dibiarkan membuat pilihan, dan melakukan, apa-apa sahaja menurut cara dan kemahuan mereka. Masyarakat dan kerajaan diwujudkan bukan untuk mengawal, tetapi untuk memudahkan individu mendapat lebih banyak peluang untuk apa-apa sahaja. Dalam hal ini, demokrasi dikatakan menunjangkan individualisme. Dan ia sangat berlawanan dengan konsepsi Islami yang memberi perhatian sama berat kepada kedua-dua individu dan kumpulan (masyarakat).

Atas alasan itu, individualisme sering diberi rupa yang sangat murni dan holistik. Individu dikatakan tidak bersalah - malah dipuji dan dihargai serta dikagumi - jika dia terutamanya berupaya memperagakan diri sendiri. Itu adalah sebagai cerminan untuk menunjukkan misalnya, dia ahli politik beretika murni dan beriltizam serta berjiwa rakyat; badan-badan atau institusi yang terpaksa sering mengumumkan dan memaklumkan bahawa mereka sangat mengambil berat mengenai kesejahteraan umum; sarjana yang menonjolkan reputasi bahawa dirinya tergolong dalam kumpulan orang yang berilmu dan mempamerkan nilai-nilai murni seperti sentiasa baik, berhati mulia, disayangi Tuhan, sangat dihormati oleh orang lain. Dalam keadaan sebenar, semua itu terpaksa diperolehi oleh mereka menerusi 'pujukan-rayu-paksa' samada menggunakan kuasa tertentu (politik dan status sosial), kata-kata klise (sentiasa altruistik), ataupun penonjolan pemikiran yang diberi topeng holisme (seperti menggunakan ucapan, tulisan dan grafik).

Jika dalam iklim politik, amalan seperti itu dikaitkan dengan propaganda murahan. Dalam suasana kemasyarakatan pula, keadaan seperti itu dianggap sebagai hedonisme yang menyuburkan benih-benih riak dan takabbur. Dalam kajian kemasyarakatan, golongan seperti itu biasanya berada dalam kelompok 'inteligensia' iaitu cerdik pandai atau yang menganggap diri mereka pakar bidang yang dibuktikan melalui kelulusan kertas sedangkan ilmu bantu hanyalah 'nol' semata-mata.

Tuesday, June 12, 2007

Perspektif

Saya terima petikan ucapan ini daripada Zaemah dua tiga hari lepas. Ucapan itu ditulis dan disampaikan oleh pemenang hadiah Pulitzer, Anna Quindlen sewaktu dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat di sebuah universiti di Amerika Syarikat. Saya tidak terjemah ucapan itu ke Bahasa Melayu (saya tidak menyokong Bahasa Malaysia kerana itu hanya penting dalam perspektif politik sahaja!) kerana saya bimbang emosi dan psikologi ucapan itu mungkin terjejas.

"I'm a novelist. My work is human nature. Real life is all I know. Don't ever confuse the two, your life and your work. You will walk out of here this afternoon with only one thing that no one else has. There will be hundreds of people out there with your same degree: there will be thousands of people doing what you want to do for a living. But you will be the only person alive who has sole custody of your life. Your particular life. Your entire life. Not just your life at a desk or your life on a bus or in a car or at the computer. Not just the life of your mind, but the life of your heart. Not just your bank accounts but also your soul.

People don't talk about the soul very much anymore. It's so much easier to write a resume than to craft a spirit. But a resume is cold comfort on a winter's night, or when you're sad, or broke, or lonely, or when you've received your test results and they're not so good.

Here is my resume: I am a good mother to three children. I have tried never to let my work stand in the way of being a good parent. I no longer consider myself the centre of the universe. I show up. I listen. I try to laugh. I am a good friend to my husband. I have tried to make marriage vows mean what they say. I am a good friend to my friends and them to me. Without them, there would be nothing to say to you today, because I would be a cardboard cut out. But I call them on the phone and I meet them for lunch. I would be rotten, at best mediocre, at my job if those other things were not true.

You cannot be really first rate at your work if your work is all you are. So here's what I wanted to tell you today: Get a life. A real life, not a manic pursuit of the next promotion, the bigger pay cheque, the larger house. Do you think you'd care so very much about those things if you blew an aneurysm one afternoon or found a lump in your breast?

Get a life in which you notice the smell of salt water pushing itself on a breeze at the seaside, a life in which you stop and watch how a red-tailed hawk circles over the water, or the way a baby scowls with concentration when she tries to pick up a sweet with her thumb and first finger.

Get a life in which you are not alone. Find people you love, and who love you. And remember that love is not leisure, it is work. Pick up the phone. Send an email. Write a letter. Get a life in which you are generous. And realize that life is the best thing ever, and that you have no business taking it for granted. Care so deeply about its goodness that you want to spread it around. Take money you would have spent on beer and give it to charity. Work in a soup kitchen. Be a big brother or sister. All of you want to do well. But if you do not do good too, then doing well will never be enough.

It is so easy to waste our lives, our days, our hours, and our minutes. It is so easy to take for granted the colour of our kids' eyes, the way the melody in a symphony rises and falls and disappears and rises again. It is so easy to exist instead of to live.

I learned to live many years ago. I learned to love the journey, not the destination. I learned that it is not a dress rehearsal, and that today is the only guarantee you get. I learned to look at all the good in the world and try to give some of it back because I believed in it, completely and utterly. And I tried to do that, in part, by telling others what I had learned. By telling them this: Consider the lilies of the field. Look at the fuzz on a baby's ear. Read in the back yard with the sun on your face.

Learn to be happy. And think of life as a terminal illness, because if you do, you will live it with joy and passion as it ought to be lived".

Sunday, June 10, 2007

Tomoi Siam

Ketika zaman kanak-kanak - peringkat usia sekolah rendah - satu daripada permainan harian kami adalah bertomoi, atau lebih dikenali sebagai 'muay thai', iaitu 'Tinju Siam'.

Ya, sukan ini nampak mudah. Dengan sepasang sarung tangan (sayangnya semasa dulu kami tidak pernah kenal sarung tangan), anggota-anggota badan tertentu, termasuk tangan dan kaki bebas digunakan untuk menumpaskan lawan. Antara anggota yang terpenting adalah siku, lutut dan keting (maaf, orang Sarawak! Tiada maksud mencarut atau apa pun!). Di kalangan komuniti orang Utara, (tulang) keting adalah bahagian hadapan kaki antara buku lali dan lutut.
Untuk menguatkan siku, maka pelbagai latihan dilakukan, antaranya termasuklah memecahkan beratus-ratus tempurung kelapa menggunakan siku. Untuk mengeraskan kepala lutut pula, dihentak-hentakkan lutut ke batang pisang atau batang kelapa yang telah dibalut dengan sesuatu, kain umpamanya.

Perut juga sangat perlu dikuatkan untuk menepis hentakan lutut lawan. Oleh itu, senaman 'bangun-duduk' atau 'sit-up' dilakukan beratus-ratus kali dan diselang-seli dengan 'push-up' untuk menguatkan bahagian tangan, bahu dan dada. Perut juga perlu dipukul bertalu-talu menggunakan objek yang keras, seperti kayu umpamanya, untuk mengeraskannya. Lebih menakutkan, bahagian belakang leher juga perlu disenamkan dengan ganas untuk menguatkannya supaya tidak mudah lentur bila ditarik lawan!

Hari ini, saya membawa Zuhair & Zahier menyaksikan dengan mata mereka sendiri bagaimana perlawanan itu - yang bukan lakonan! - diadakan. Sebaik melihat percikan darah yang bertompok-tompok di atas arena, barulah mereka sedar bahawa mempertaruh kekuatan fizikal semata-mata bukanlah keputusan yang mudah dan bijak bagi sesiapa pun! Setidak-tidaknya hari ini mereka pastinya telah mendapat pelajaran betapa kekuatan fizikal tidak mencukupi untuk menundukkan lawan kerana manusia biasa akan keletihan sebaik sahaja melepaskan dua tiga sepakan padu ke tubuh lawan!

Nostalgia!

Friday, June 08, 2007

Menara



Kelmarin, Marwati (DBP) menelefon untuk memaklumkan perkembangan terkini manuskrip Menara yang sudah pun dihantar ke Dawama untuk urusan percetakan. Terima kasih.

"Ada banyak menara di dunia. Eiffel, Pisa, London, KL, Petronas. Semuanya mempunyai sifat dan simbol atau lambang yang tersendiri. Lambang adalah kepelbagaian tanda. Bukan tunggal. Eiffel mungkin lambang kecintaan dan kasih sayang. Ia pasti hebat untuk kekasih. Namun Eiffel belum tentu menjadi apa-apa kepada si penderita cinta. Kepada pelukis berjiwa, Pisa mungkin mewakili perasaan sentimental yang menggamit rindu perenungnya. Namun belum pasti Pisa boleh memberi apa-apa makna kepada si buta yang tidak berdosa.

Walau apa pun, benar sungguhlah kepercayaan orang bahawa setiap menara tetap melambangi sesuatu. Menara London melambangi istana kota kehebatan kerajaan Norman yang pernah dijadikan rumah pasung negara. Menara Kuala Lumpur lambang sebuah bandaraya unik yang mewakili pelbagai kaum manakala Menara Berkembar Petronas adalah penanda negara Malaysia.

Bagaimana pun, lain menara lain pula lambangnya. Setiap menara tersebut tidak berkongsi lambang dan perasaan yang serupa. Eiffel tidak upaya memiliki rasa dan cinta Pisa. Pisa tidak upaya memiliki ruh dan semangat karamah raja-raja seperti Menara London. Menara London pula tidak upaya menawan kelainan KL tentang diaspora bandaraya. Begitu juga, meski mereka mengongsi alam dan udara yang sama, KL tidak upaya mendongak gahnya Petronas.

Namun ada satu sifat yang semua menara di muka bumi ini memilikinya. Setiap menara memiliki pemerhati. Pemerhati menghidupkan sifat luar mana-mana menara. Sebagai pemerhati, menara menjadi binaan yang dibangunkan oleh manusia, untuk tontonan manusia, dan digunakan oleh manusia sendiri. Menara adalah lambang. Lambang diberikan maknanya oleh manusia. Bagaimana pun, semua menara mempunyai perlambangan yang berbeza-beza kerana sebahagian manusia yang memerhatinya sekadar menjadi penonton, sedangkan sebahagian yang lain pula memilih untuk menjadi perenung. Menonton hanyalah pada mata. Merenung adalah pada makna. Lalu tinggallah menara sebagai hanya sekadar binaan semata-mata apabila yang datang memerhati hanyalah menonton, mungkin atas alasan suka-suka, atau kerana seni estetikanya, ataupun mungkin juga kerana ritual dan agamanya. Dengan kata lainnya, kerana terpaksa."


* Petikan daripada Menara. Khabarnya akan dilambakkan sebelum Idilfitri.

** Roza, Kak Ros, Intan n geng baru merasa piza hari ini rupanya! Ketawa besar sebab duit hadiah dah habis lama dah!

Tercabar!

Dalam kehangatan emosi yang terkawal, akhirnya dua emel dihantar ke pihak berkuasa dua hari yang lepas secara berturut-turut. Ada masanya kebiadaban perlu ditangani secara biadab juga. Sama ada mesej yang ingin disampaikan itu difahami secara jelas atau sebaliknya, terpulang kepada pihak yang satu lagi itu untuk mentafsirnya. Apa pun, melakukan sesuatu yang mencabar kesabaran seperti yang dilakukan itu menuntut beberapa perkara: (1) membalas dengan peperangan berdasarkan kudrat maksimum yang ada tanpa mengabaikan hak dan hukum; (2)menegur dengan keupayaan lisan dan bahasa yang dianugerahi Tuhan; atau (3) terus diam dan (sabar?), yang merupakan selemah-lemah tindakan dan keupayaan.

Saya memilih yang kedua.

Thursday, June 07, 2007

Kuasa yang ada, kenapa tidak dimanfaatkan?

Sudah berulang kali perkara ini dibangkitkan, namun saya tidak akan jemu-jemu menerjah benak-benak mereka yang berkuasa itu supaya lihatlah dengan mata hati. Sampai bila hanya akan menjadi pemerhati, mendengus dan kemudian menggeleng-gelengkan kepala setiap kali kita dimalukan dan dihinakan dengan perkara yang sama.

Usahlah terlalu diresahkan dengan pelbagai ketakutan yang akan didatangkan kemudian. Jika asyik dengan ketakutan, bagaimana kita akan dapat menghargai keberanian? Kuasa yang ada di tangan - biar sekelumit mana pun - bukankah baik dimanafaatkan sekarang? Jika terus membiarkan kepala dipijak dan minda diprovokasi sesuka hati oleh petualang, bukan sahaja menunjukkan kita ini sememangnya hedonis, malah mengiyakan tohmahan bahawa hidup hanya untuk makan dan bersenang-senang. Sumbangkanlah sedikit akal budi utuk kebaikan walau cuma sekali! Ingatlah dan bimbanglah akan generasi kemudian yang memerlukan isyarat bahawa hidup ini perlu diberanikan!

Tolonglah!

Ada ketikanya tidur itu lebih baik...



Tidur adalah ketergantungan atau pemberhentian sementara keadaan sedar...

Wednesday, June 06, 2007

TNC Akademik & Pengantarabangsaan

...mengucapkan tahniah kepada PM Dr Mustafa Zain atas perlantikannya sebagai TNC Akademik dan Pengantarabangsaan UiTM. Semoga dunia akademik UiTM terus maju dan berkembang dengan bermakna.

Ada masanya...

Pagi ini saya menguruskan hal umum di pejabat. Ia berkaitan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan dalam menyentuh soal-soal yang dianggap rumit dan sensitif. Ekoran kes Lina Joy. Saya fikir isu ini sudah dinoktahkan oleh ketiga-tiga hakim terlibat dan tidak perlu diperpanjang. Namun ada juga yang berminat dan berniat untuk meneruskan penghakiman di luar mahkamah perundangan. Lalu, seperti lagu M.Nasir, ada masanya...lalu saya lakukan apa yang sewajibnya dilakukan. Apa agaknya kuasa minimum yang saya ada yang wajib dilaksanakan tanpa berfikir panjang dan berkira-kira?

Art, kenapa blog tak update-update. Penat ka???

Monday, June 04, 2007

Old Schooll!



Foto lama, diterima daripada Khusairi!n TQ! Sewaktu Pesta Pulau Pinang 1986. Menanti audition dengan Jamal, dari Taiping.

Wacana Pagi



Pagi ini sempat bersarapan dengan Dr. Nooraini (Dekan FSPPP), Dr. Posiah (Pengarah, i-Learn), Ziana (Koordinator) & Sally (Penolong Pendaftar FSPPP) di Kedai Kopi, Taman Tasik Shah Alam. Ketenangan dan keheningan suasana Taman Tasik Shah Alam memberi peluang untuk bercakap-cakap mengenai pelbagai hal semasa yang bersifat peribadi. Dr. Posiah bercerita sedikit sebanyak mengenai negara Vietnam yang baru dilawatinya semalam. Dr. Nooraini bercerita mengenai idealisme beliau berkaitan soal-soal Palestin dan kemelut umat Islam. Sally dan Ziana sekadar mendengar tanpa sedikit menokok tambah!

Bila Tidak Pernah Cukup-Cukup

Dikisahkan pada suatu zaman, seorang raja memperkenan untuk menganugerahkan kepada seorang perwira berkuda istana dengan suatu hadiah sebagai menghargai jasa perwira tersebut. Raja tersebut menitahkan bahawa perwira itu boleh memiliki sebanyak mungkin tanah di negara tersebut, bergantung kepada sejauh dan seluas mana kawasan tanah negara itu mampu diliputi oleh larian kudanya itu.

Tanpa bertangguh-tangguh, perwira itu pun menyesah-nyesah cemetinya ke tubuh kudanya, memerintahkan kuda itu berlari sederas dan sekencang yang boleh untuk meliputi seluas mungkin kawasan. Selama perjalanan itu, perwira itu tidak mengendahkan keadaan tubuhnya sama ada letih, lapar mahupun dahaga. Sebaliknya, dia meneruskan perjalanan berkudanya untuk meliputi lebih banyak kawasan lagi. Keadaan itu berterusan sehinggalah dia tiba-tiba kepenatan dan kian nazak.

Dalam nafasnya yang tersangkut-sangkut, perwira berkuda itu menanyakan soalan kepada dirinya sendiri, “Kenapakah aku memaksa diriku secara keterlaluan untuk mendapatkan sebanyak-banyak tanah? Kini aku menunggu saat-saat kematian. Sebenarnya, aku hanya perlukan suatu kawasan tanah yang amat kecil sahaja. Itu pun hanya untuk dijadikan kuburku.”

Kisah ini adalah kisah sejagat. Kisah ini disebarkan di seluruh dunia melalui teknologi internet dengan tujuan untuk dijadikan modal berfikir. Ia mengenai perjalanan hidup manusia. Pada setiap masa, kebanyakan manusia menghabiskan tenaga dan masa mereka untuk mencari dan mengumpul kekayaan. Manusia mendesak diri mereka, ada kalanya sehingga melampaui batas dan keupayaan diri. Sebahagian daripada mereka melakukan itu semua demi untuk memperoleh kedudukan, kuasa, wang dan kemegahan. Selama berada dalam kesibukan dan keutamaan mencari kesenangan itu, banyak perkara lain terabai dan dilupakan. Kesihatan, kegemaran masa lapang dan masa terluang untuk kebahagiaan berkeluarga dan menghayati keagungan Tuhan tidak diberikan keutamaan.
Suatu hari, apabila menoleh sejenak ke belakang, kita tersedar bahawa sebenarnya kita tidaklah memerlukan sebegitu banyak harta-benda dan kesenangan. Bagaimanapun, untuk mendapatkan semula apa yang kita telah terlepas itu – peluang untuk memperoleh kesihatan yang baik, menikmati kebahagiaan rumahtangga, menghargai ketenangan fikiran, dan meredhai segala persediaan untuk akhirat – sudah pun terlalu mustahil untuk diharapkan semula. Pada saat itu, ada yang sampai menyalahkan unsur-unsur lain kerana menyebabkan mereka ‘terpaksa’ mengabaikan perkara-perkara yang asas. Dalam hal ini, mereka seolah-olah menyalahkan Tuhan dengan apa yang mereka lalui dan kesali itu. Dengan kata lain, mereka mendustakan nikmat dan kesempatan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada mereka selama ini.
Ini sudah pun diperingatkan oleh Tuhan melalui ayatNya,

“Maka nikmat yang mana satukah daripada Tuhanmu yang engkau mahu dustakan?” (Al-Qur’an, 55:13)

Sunday, June 03, 2007

Diam itu lebih baik

Lyn, saya fikir tidak banyak faedah yang diperolehi untuk bercakap mengenai hal ini berulang-ulang kali. Cuma, sebagaimana pernah disentuh sebelum ini, hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Kita tahu ada yang gemar mendapat perhatian orang dan suka pula dipuji melangit. Kita serahkan kepada mereka sendiri. Namun ada seperkara yang barangkali baik untuk dijadikan modal berfikir. Selalunya ramai yang keliru antara 'intelektual' (yang berilmu) dengan yang 'berpengetahuan' (atau inteligensia). Dr Nordin Kardi menyentuh hal ini dalam suratkhabar semalam.

Inteligensia adalah orang yang dianggap pakar dan tahu dalam bidang masing-masing. Namun jarang sekali kita kerap berjumpa inteligensia yang sekjaligus berupa intelektual misalnya Pak Ungku Aziz atau mungkin Tun Dr Mahathir Mohamad. Mereka adalah terkecuali daripada inteligensi yang tipikal.

Intelektualisme lebih merupakan budaya. Inteligensia lebih kepada kepandaian teknikaldan sering sisalahtafsir sebagai mereka yang 'berilmu'. Berilmu tidak terletak kepada sijil dan kertas!

Berbalik kepada isu yang Lyn kemukakan, saya rasa hal seumpama ini sudah nyata lagi terang. Mereka yang dari golongan inteligensia dan membuta tuli adalah pemandangan biasa pada bila-bila zaman. Ciri-cirinya banyak dan menjadi umum - antaranya, gemar publisiti, khayal dengan pujian melangit, asyik dan riak dengan pencapaian, sikap 'tahu dan pandai dalam semua perkara' terdorong untuk membiasakan diri memaklumkan orang-orang lain mengenai kelebihan, kebaikan dan budi yang ditaburkan bukan sahaja oleh diri sendiri malah oleh kaum kerabat dan keluarga sendiri, berkira-kira dalam menabur budi, memilih-milih dalam membuat tindakan berdasarkan kepentingan peribadi, dan rakus dalam serba-serbi.

Dalam hal ini, Junjungan Besar menyebut bahawa "Sesiapa yang mencari ilmu kewahyuan untuk bersoal-jawab dengan orang yang bebal, menyanggah ulama, atau mendapatkan perhatian orang lain kepada dirinya, akan mendapat tempatnya di neraka."

Friday, June 01, 2007

Jauh dari pejabat!


Sedang bersantai-santai di pulau...