Wednesday, May 30, 2007
Selamat Hari Lahir, Zuhair
Sewaktu berusia kurang lebih 6 tahun, dalam perbualan biasa kami mengenai anggota tubuh manusia, Zuhair pernah bertanya, "Kita ada ibu jari, anak jari. Kenapa tiada 'bapa jari'?"
Lama dahulu, pada suatu pagi, sewaktu dia menjawab pertanyaan saya - menggunakan bahasa Inggeris - "Got newspaper or not outside?" , Zuhair menjawab, "No got!"
Kelmarin, Zuhair berusia 7 tahun. Setelah menerima hadiah yang agak banyak daripada pelbagai orang, Zuhair memutuskan untuk (i) tidur dengan baju baru yang diterimanya daripada Mak Cu; dan (ii) tidur dengan memakai jam baru - B.U.M - yang diterimanya malam itu. Kedua-duanya tidak tercapai atas alasan-alasan yang dia sendrii persetujui dan akui kebenarannya.
Memikirkan itu, ada baiknya menilai semula pendekatan banyak manusia terutamanya sewaktu memutuskan untuk berkata-kata. Jika silap perkiraan, martabat manusia dewasa tidak jauh bezanya dengan darjat dan keupayaan anak sekecil 6 atau 7 tahun.
Imam Shafi’e (r.a.) menyebut,
”Bila seseorang ingin bercakap, dia mestilah berfikir, dan jika jelas baginya ada faedah untuk dia bercakap, maka bercakaplah. Sebaliknya jika dia ragu-ragu, maka eloklah dia senyap sehingga dia benar-benar pasti akan kemanfaatannya.
Selamat hari lahir Zuhair. Peganglah dunia dan letakkan di tanganmu, bukannya di hatimu.