Tuesday, May 22, 2007

Kemantapan Kerajaan

Dalam sejarah kenegaraan, ada dua elemen terbesar yang sangat-sangat digeruni oleh mana-mana kerajaan; pertama, golongan pelajar universiti dan kedua, kakitangan awam.

Tradisi kenegaraan dan kerajaan, khususnya yang ditinggalkan oleh pihak Inggeris menjadikan perkhidmatan awam sebagai komponen paling penting dalam negara. Sejak beberapa abad ini, golongan pelajar universiti negara ini tidak mencetuskan sebarang kebimbangan yang ketara kepada kerajaan melainkan sedikit-sedikit insiden kecil-kecilan, itu pun secara terasing-asing, dan bukannya tindakan rantaian yang berasaskan rangkaian (network) bersistematik.

Namun, perkhidmatan awam sentiasa memberikan tanda-tanda yang ia tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja oleh pihak kerajaan.

Kenaikan gaji kakitangan perkhidmatan awam yang diumumkan kemarin memberikan tanda-tanda bahawa perkhidmatan awam akan terus dengan sifatnya yang dianggap sebagai bom jangka yang suisnya perlu dijaga dengan baik oleh kerajaan. Yang kritikal dalam keadaan sekarang bukanlah pada jumlah kenaikan atau berapa ramai yang bermanfaat dengan keputusan menaikkan gaji itu, sebaliknya persoalan yang lebih penting adalah sama ada keputusan menaikkan gaji itu akan disusul dengan komitmen dan kesetiaan kakitangan perkhdiam awam secara berpanjangan kepada pihak kerajaan. Konsep neutraliti perkhidmatan awam dengan tiba-tiba menjadi sangat kritikal ketika ini.