Tuesday, May 15, 2007

"Holier-than-thou"

Ada banyak sebab menjadikan seseorang mabuk untuk menunjukkan bahawa dirinya lebih mulia dan baik daripada orang lain (holier-than-thou). Manusia seperti itu biasanya memperagakan sifat-sifat yang inginkan orang-orang lain melihatnya lebih hebat dan bergaya atas kelebihan yang ada pada dirinya sendiri, yang disangkanya kekal dan berpanjangan sepanjang atau sependek usianya, misalnya: kaya, berpangkat, bergelar, berbakat dalam sesuatu atau lebih kemahiran, dan sebagainya. Pendek kata, dia terlalu ingin orang lain melihat dirinya mulia dan dihormati. Dengan kata lain, dia sehingga memaksa dirinya memikir pelbagai cara untuk menjadi mulia dan dihormati. Oleh itu, dia terpaksa sering menyebut-nyebut pelbagai hal yang disangkanya menunjukkan kehebatan dirinya, malah terpaksa pula dia mengulang-ngulang hal tersebut semata-mata mahu memaklumkan kepada orang lain mengenai kehebatan itu. Kenapa ini berlaku? Sekurang-kurangnya ada dua perkara: pertama, orang-orang lain, atau masyarakat sekitarnya 'memandang kulit lebih daripada isi'; dan kedua, dia terdidik dalam keluarga yang tempang dan sumbang yang menancapkan nilai-nilai membesar dan membanggakan diri.

Seseorang memetik kata Harith al-Muhasibi (R.A),

”Seseorang yang benar tidak akan peduli sama ada keseluruhan nilai dirinya musnah daripada hati-hati manusia semata-mata atas niat untuk memperbaiki hatinya sendiri. Dia tidak ingin manusia melihat walau sekecil manapun kebaikan dirinya, dan dia tidak kisah sekiranya keburukan atau kekurangannya diketahui oleh orang lain, kerana sekiranya sebaliknya, ia akan dilihat meninggikan dirinya di mata orang lain, dan itu adalah terkeluar daripada sifat-sifat orang yang siddiqin.”

Ada kisah yang agak menarik mengenai Gunung Everest (Nepal), gunung tertinggi di dunia, yang juga digelar ”Bumbung Dunia”. Dilaporkan dalam sejarah bahawa orang terawal yang sampai ke kemuncak Everest adalah Sherpa Tenzing Norgay, seorang Gurkha (rakyat Nepal) dan Edmund Hillary (seorang rakyat New Zealand). Kejayaan bersejarah itu direkodkan pada 29 Mei 1953. Selepas kejayaan mereka, kebanyakan gambar yang disiarkan di surat-suratkhabar di merata dunia adalah gambar Tenzing Norgay di kemuncak Everest. Namun, agak menghairankan ramai orang kerana tidak ada gambar Edmund Hillary sama sekali.

Apabila ditanya, Hillary sekadar mengaitkan hal itu dengan ketidakupayaan Norgay untuk menggunakan kamera dengan betul. Hillary sekadar mengatakan:

”Sepanjang pengetahuan saya, Tenzing tidak pernah mengambil gambar, lagi pun puncak Everest bukanlah tempat yang sesuai untuk saya mengajar Tenzing cara mengendalikan kamera.”

Akhirnya, mereka berdua saling menuding jari, menunjukkan antara satu sama lain apabila ditanya siapa sebenarnya yang sampai ke kemuncak terlebih dahulu, sambil kedua-duanya dillaporkan berkata,

”Penaklukan akhir gunung tersebut adalah usaha bersama yang tulen antara kami berdua.”