Pendirian serta wibawa pemimpin-pemimpin politik selalu terserlah pada setiap kali mereka membuat keputusan politik. Hal ini sering kelihatan pada setiap kali mereka memberi kenyataan rasmi khususnya kepada media. Pada saat-saat seperti inilah baru terlihat wibawa diri mereka yang tercemar kerana mempamerkan tanda-tanda tidak berpengetahuan dan kecetekan ilmu. Antara sebabnya adalah kerana mereka tidak melihat apa yang sebenarnya menjadi isu lantaran mereka hanya mentafsir semua hal sebagai 'masalah'. Dengan kata lain, mereka tidak berupaya membezakan antara 'isu' dan 'masalah'. Sebaliknya semua hal yang dihadapi - lebih-lebih lagi yang kontroversi - ditanggap sebagai 'masalah' belaka. Mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka ucapkan atau tinggalkan sekarang menjadi bahan sejarah pada masa depan.
Ambil iktibar kisah Lincoln. Beliau ialah Presiden Amerika Syarikat yang ke 16. Beliau digelar pemberi kebebasan. Alasannya? Beliau digelar sedemikian atas kegigihannya berjuang menghapuskan perhambaan terutamanya yang melibatkan peperangan saudara dengan negeri-negeri Selatan di Amerika Syarikat. Pada 1 Januari 1863, dokumen Perisytiharan Kebebasan yang akan membebaskan semua hamba di negeri-negeri Selatan sudah tersedia di meja Lincoln, menunggu untuk ditandatanganinya. Setiausaha Negara dan beberapa pegawai lain sudah mengelilingi Lincoln, menunggu untuk menyaksikan Lincoln menurunkan tandatangan. Lincoln terdiam. Agak lama. Lalu beliau memegang pena dan kemudian meletakkan semula pena itu di meja. Keadaan ini berulang sebanyak dua kali. Selepas bertafakur agak lama, Lincoln mengangkat mukanya, sambil berkata,
”Sejak pukul 9 pagi tadi saya berjabat tangan, dan tangan kanan saya hampir-hampir lumpuh. Jika nama saya tercatat dalam sejarah, ia akan berlaku akibat daripada perisytiharan ini, dan seluruh jiwa saya telah saya serahkan untuk ini. Jika tangan saya terketar sewaktu menandatangani perisytiharan, semua yang memeriksa dokumen ini selepas ini akan berkata, ’Dia ragu-ragu untuk menandatangani perisytiharan’.”
Lincoln kemudiannya mengangkat penanya untuk kali ketiga dan dengan perlahan-lahan, dia menurunkan tandatangannya.