Kes Azlina Jelani (media terseret oleh propaganda terancang yang lebih menggalakkan guna nama Lina Joy) diputuskan di mahkamah semalam. Sentimen umum yang ditunjukkan berkaitan isu ini memberikan tanda-tanda keputusan semalam bukanlah penghujung. Hal seumpama ini tidak pernah berpenghujung kerana tunasnya sentiasa disuburkan dengan agak banyak dan berterusan oleh pelbagai orang, sesetengahnya memang namanya berbunyi Islam dan gaya cakap serta perwatakan juga seperti seorang Muslim.
Bagaimanapun, atas ungkapan hak-hak asasi dan kebebasan manusia, kes ini dijadikan mereka sebagai suatu peperangan yang boleh menonjolkan kehebatan ideologi dan pegangan.
Tahniah dan sekalung budi kepada barisan peguam (yang tidak seramai mana!) yang mewakili pihak 'kerajaan' dan umat Islam. Mereka (peguam-peguam) tabah menghadapi segala desakan psikologi dari pelbagai sudut, bukan sahaja daripada pihak luar, termasuk pemerhati antarabangsa, malah daripada segelintir orang Islam (yang berprinsip bebas dan terbuka) di sini sendiri yang menyalahkan mahkamah syariah!