Dinie menyebut mengenai karut-marut dalam dunia orang Melayu. Banyak jenaka yang disampaikannya. Tidak tergamak pula saya menurunkannya di sini, walaupun sepotong jenaka sekalipun! Terima kasih atas hiburan sebegitu.
Tidak mengapalah. Balik ke cerita asal. Dalam dunia Melayu, 'karut-marut' sememangnya ada cerita yang menarik. Ada kaitan dengan kisah kenabian dan kerasulan. Secara umum karut-marut berkait dengan soal-soal ahli sihir dan kesihiran. Dikhabarkan bahawa Harut dan Marut adalah dua malaikat yang diturunkan di babylon untuk mengajar sihir kepada orang jahat. menurut Ghazali, kesihiran adalah "sejenis pembelajaran yang diperoleh daripada ilmu mengenai jisim dan aritmetik mengenai kedudukan bintang dan sebagainya dan selalunya melibatkan bantuan syaitan".
Jadi, berbalik kepada dunia Melayu, 'karut-marut' selalunya merujuk kepada kepercayaan atau pegangan yang tidak diasaskan kepada ajaran sebenar agama. Ada banyak contoh, misalnya percaya kepada keupayaan bomoh yang mendakwa boleh menenung dan melihat dengan pasti nasib seseorang.