Kementerian Pengajian Tinggi dilaporkan menyasarkan 60 peratus pensyarah berkelulusan doktor falsafah (PhD) mengajar di setiap 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), menjelang 2010. Kata menteri berkenaan,
"Kita mahu pensyarah yang lebih pandai daripada pelajar dan mempunyai personaliti yang baik bagi menghasilkan IPTA bertaraf dunia."
Boleh dikatakan semua pensyarah - terutamanya berkelulusan PhD - digolongkan sebagai 'pandai' kerana kelulusan kertas yang mereka berjaya sudahkan. Bagaimanapun, terfikir juga, benarkah kepandaian itu yang diperlukan oleh pelajar atau sebaliknya kepandaian itu yang menyusahkan pelajar dalam melengkapkan proses pembelajaran mereka.
Di universiti, aspek pengajaran adalah sesuatu yang sangat berbeza-beza cara dan sifatnya berdasarkan orientasi tenaga pengajar. Namun, ada satu elemen - ihsan - yang melengkapkan kepandaian itu.
Malangnya, PhD tidak menjamin "ihsan" tertancap secara semulajadi dalam orientasi dan kandungan pembelajaran PhD itu sendiri. Sudahnya, kepandaian hanya milik peribadi pensyarah semata-mata. Dan kepandaian itu diperagakan untuk menimbulkan rasa bangga dan gila puja dan puji semata-mata.