Saturday, February 27, 2010

PUCUK DICITA






Namanya agak masyhur dan penting di suatu kawasan di Kota Kinabalu




Dibesarkan dalam persekitaran yang begitu, saya berpeluang mengenal dan memahami beberapa sumber makanan segar yang boleh diperoleh terus daripada muka bumi. Pemelajaran sosial sebegitu sentiasa berlaku. Arwah datuk misalnya, yang sepanjang hayatnya mengukur sempadan-sempadan tanah di mana-mana sentiasa memberi peluang - sekiranya ada - kepada saya untuk mengenal tumbuh-tumbuhan atau haiwan-haiwan bukan peliharaan. Sekecil mana hutan atau belukar yang ada, besar kemungkinannya akan terdapat satu-dua tumbuh-tumbuhan  atau seekor-dua haiwan tertentu yang sukar dilihat di persekitaran biasa yang dihuni orang. Pucuk-pucuk kayu - sama ada untuk tujuan perubatan menurut perspektif tradisional atau semata-mata dimakan tanpa mengetahui khasiat pemakanan kerana sememangnya ia sudah dibuktikan boleh dimakan oleh orang-orang terdahulu - sentiasa ada di mana-mana selagi ada tanah atau belukar sama ada yang terbiar atau pun yang diusahakan secara sedar oleh seseorang.

Sewaktu bersantai si sebuah tempat, saya terlihat pohon ini, yang agak rendah dan rendang, namun agak lebat dengan buahnya. Saya senyum sendirian, puas dan gembira kerana ada sumber makanan segar, percuma, namun sangat mengasyikkan untuk menikmatinya dengan cara khusus. Saya petik sebiji buahnya berserta setangkai pucuk mudanya, lalu diunjukkan kepada rakan-rakan setugas setelah kembali ke tempat berbengkel yang agak jauh jaraknya dari kawasan belukar itu. Dalam kurang-lebih 30 orang membelek-belek buah dan pucuk muda itu, cuma seorang sahaja yang kenal nama dan rupa tumbuhan itu. Saya terfikir bagaimana situasi sosial hari ini dapat menawarkan sesuatu kepada generasi sekarang dan akan datang.

Perkumpulan seumpama yang dianjurkan ini sememangnya memberi banyak manfaat. Penyatuan fikiran antara beberapa minda menjadikan pandangan serta gagasan yang dilahirkan tinggal sebagai pilihan atau alternatif yang boleh diulang kaji pada bila-bila masa. Selain tempat acara yang sesuai - seperti di di situ - bukan sahaja tumpuan dapat diarahkan langsung ke setiap gerak cara, malahan boleh pula menggunakan masa yang ada antara sela-sela kelapangan itu untuk riadah atau apa sahaja.