Thursday, February 11, 2010

SEKIRANYA DIBERI PILIHAN


Image, http://i972.photobucket.com/albums/ae209/PepWol/Alone.jpg



Sedang asyik duduk sambil menyingkap-nyingkap lembaran pada sebuah buku yang ada di Aspirasi Sarjana petang tadi, mata saya tertumpu langsung kepada sepotong ayat yang saya fikir sangat memintas fikiran secara tiba-tiba,

"Sekiranya kita tidak boleh menghilangkan kegelapan, kenapa kita tidak fikirkan cara untuk mencerahkan suasana?”

Saya terfikir, dalam banyak keadaan atau situasi yang saya berpeluang saksikan, pilihan seperti di dalam kata-kata di atas itu jarang sekali diberikan kesempatan untuk mendominasi. Mungkin, sekadar tekaan, pilihan seperti itu bukanlah sebenarnya pilihan. Alasannya, mungkin disebabkan kegelapan adalah sifat yang sememangnya menjadikan semua pilihan tidak releven. Dengan kata lain, gelap adalah sifat yang mematikan segala pilihan. Saya ingin berfikir begitu, namun jauh di dasar, hati saya percaya tidak semua benda perlu dipadankan. Saya tidak memilih untuk mempercaya dualisma. Kepercayaan bukanlah semudah memilih antara gelap dan terang, hitam dan putih. Kepercayaan menyangkut soal keikhlasan dan ketulusan hati. Dalam pada itu, selalu juga saya mendengar, "Anda boleh memilih untuk percaya atau tidak!"

Apa pun, dalam banyak keadaan, hal seperti ini sangat berkait dengan persepsi dan stereotaip. Ada masanya, ia seperti menduga kekuatan akal dan hati seseorang. Bukan selalu kita berpeluang untuk menyatakan kebenaran semudah itu. Ada banyak halangan yang mesti difikirkan sedalam-dalamnya. Namun ada kata-kata bermutiara yang berbunyi, "Kebenaran seumpama pedang, ia sentiasa melukakan".