Friday, February 19, 2010

SEJAUH PERJALANAN


Image, http://www.featurepics.com/FI/Thumb/20070705/Highway-Heaven-371595.jpg


Banyak yang boleh difikirkan sewaktu dalam pemanduan untuk perjalanan yang agak panjang. Bercakap mengenai ilham, tentu sahaja ia boleh datang dalam pelbagai bentuk. Saya gambarkan, sekiranya saya seorang pencipta lagu, perjalanan berkereta antara 3 dan 4 jam di lebuh raya mungkin mencukupi untuk melagukan irama yang paling asas sebelum melengkapkan sebuah lagu. Sekiranya saya penulis lirik, saya agak pasti tidak kurang 3 lagu akan dapat disudahi lirik-liriknya sepanjang perjalanan sejauh itu.

Memandu bersendirian di lebuh raya masih lagi menjadi sesuatu yang saya sangat senangi. Dengan kelajuan antara 100 - 110km/j, pemanduan santai seperti itu lebih daripada mencukupi untuk saya mendapat banyak faedah. Paling tidak, waktu selama pemanduan itu sangat dimanfaatkan untuk berfikir semata-mata - tidak semestinya berisi - namun cukup untuk mengharmonikan paduan hati dan cetusan akal.

Hari itu - Rabu, 16 Februari - masih lagi cuti umum Perayaan Tahun Baru Cina. Awal petang, mak tiba dari Kuantan bersama-sama adik. Adik bekerja pada hari itu, lalu saya menyambung tugas adik untuk menghantar mak dan abah ke kampung. Kami menetap di utara, di Kamunting. Jika Kamunting jarang disebut orang, mungkin Taiping lebih agak masyhur. Ya, kamunting letaknya di Taiping.

Kami memulakan perjalanan pada kira-kira pukul 6 suku petang. Menyusuri lebuh raya Guthrie, langsung ke Rawang, dan menyambung ke lebuh raya PLUS menghala Utara, kenderaan dari Selatan boleh dibilang dengan mudah. namun jika ditoleh ke lorong bertentangan - dari Utara ke Selatan pada waktu itu - kenderaan semuanya merangkak-rangkak.

Hati saya berbisik, "Agak pasti malam nanti, perjalanan balik dari Taiping ke Shah Alam tentu mengambil lebih daripada 6 jam!"

Kami tiba di Taiping kira-kira pada pukul 9.15 malam. Dalam perjalanan, kami berhenti seketika - kira-kira selama 30 minit - di Rehat & Rawat Tapah kerana menguruskan mak yang sudah pun tidak berupaya menguruskan dirinya sendiri. Oleh kerana kami bertiga - bersama-sama ayah dan saya sendiri - timbul sedikit kesulitan untuk melepaskan mak bersendirian ke tandas. Dalam dilema - sambil saya melayan serba salah ayah dengan gurauan dan senyuman - kami disapa tiga perempuan yang berhenti sebentar antara sela perjalanan mereka ke Pulau Pinang - saya yakin ketiga-tiganya anak beranak - yang menawarkan bantuan untuk memimpin mak masuk ke tandas. Syukur!

Agak ralat kerana saya tidak sempat berterima kasih secara peribadi kepada mereka walau pun abah sempat berbuat demikian. Saya terlalu kalut terkejar-kejar antara tandas dan kereta saya yang diletakkan agak jauh sedangkan saya perlu mendapatkan pakaian salinan untuk mak.

"Tidak mengapalah", hati saya memujuk, "Abah pun dah berterima kasih kepada mereka".

Waktu selebihnya, dari Tapah ke Taiping, saya peruntukkan seluruhnya memikir macam-macam. Abah dan mak kelihatannya melelapkan mata pada sepanjang perjalanan.

"Bagaimana agaknya aku pada usia seperti abah dan mak kelak?", hati saya menyoal meski pun gambaran yang ada hampir-hampir polos sama sekali.

Selepas 10 minit di rumah, aku pun bersegera untuk kembali memandu pulang ke Shah Alam pada malam itu juga memandangkan awal pagi esoknya harus berada di pejabat. Wajah mak dan abah tidak mampu ku tatap lama. Rasanya, perjalanan sendirian selama 3 jam dari Taiping ke Shah Alam pada tengah-tengah malam itu aku telah manfaatkan nilainya menjadi 8 jam.