Images, nasrudin, February 8th 2010
Dari sudut Sosiologi Bandar, ada beberapa perkara yang agak menarik untuk diperhatikan di bandaraya Bangkok.
Pertama, Pengawal lalu lintas sentiasa berada di setiap lokasi yang melibatkan pejalan kaki. Ini dapat dilihat terutamanya di kawasan-kawasan perniagaan utama seperti di pusat-pusat membeli belah seperti Pratunam (imej di sebelah) khususnya, dan Chinatown.
Pratunam - dengan mall seperti Platinum, Pantip Plaza dan hotel-hotel seperti First dan Amari - sentiasa padat dengan pejalan kaki. Lorong-lorong ke arah bangunan untuk meletak kenderaan sentiasa dijaga oleh pengawal lalu lintas. Sama ada kenderaan mahu pun pejalan kaki, semuanya bergerak dengan lancar dan selamat. Secara am, tidak ada konsep 'waktu sesak' di kawasan ini kerana apa yang saya perhatikan, kesesakan sentiasa berlaku seawal pukul 9 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia).
Setiap kenderaan yang menggunakan jalan utama di kawasan ini amat patuh kepada pengawal lalu lintas kerana saman akan terus dikeluarkan tanpa bersoal-jawab. Sebagai contoh, bas yang berhenti di tempat yang tidak sepatutnya akan terus disaman, begitu juga dengan teksi dan kereta persendirian.
Kedua, teksi-teksi di kawasan ini sentiasa sedia menunggu pelanggan. Kadar kenaan juga tidaklah semahal di Kuala Lumpur. Nota: Kebanyakan warga Thailand yang saya temu bual mengatakan kerajaan Malaysia sangat bagus, jauh bezanya dengan kerajaan Thailand sekarang ini (Thaksin lebih disayangi oleh kebanyakan warga Thailand berbanding Abhisit; alasannya Thaksin lebih bijak mendatangkan pendapatan kepada rakyat Thailand). Semua pemandu teksi yang saya berpeluang temui dan berbual, ramah-tamah belaka dan sentiasa menjadi pemandu pelancong yang sangat berpengetahuan mengenai sejarah tempatan.