Tuesday, February 16, 2010

MENGINGSUT SENJA




http://www.turnbacktogod.com/poe...fortune/


Agak menyedihkan kerana secara tiba-tiba sudah sampai rupa-rupanya masa saya - atau mungkin juga kita - mula menerima secara redha kesedaran bahawa ibubapa sudah kian mengingsut ke senja. Di luar sedar, selama ini saya masih dibuai memori silam - kembali berpuluh-puluh tahun lampau - bahawa ibubapa masih seperti yang dulu; segar dan sihat sebagaimana adanya. 

Kelmarin saya membaca catatan sahabat karib - Al-Baishah - di facebook-nya yang menyebut mengenai ibunya yang menerima rawatan di Pulau Pinang. Begitu juga dengan beberapa ibu atau bapa teman-teman lain, termasuk Hajjah Saenah yang pada setiap kali saya temui kelihatannya kian uzur meski riak keibuan di wajahnya menyejukkan hati pada setiap masa; atau Haji Md Kodry, yang sifat kebapaanya sentiasa saya kagumi. Kali terakhir saya dengar khabarnya tidak begitu baik keadaannya beberapa minggu lalu. Saya mendoakan yang terbaik segalanya untuk mereka. 

Lewat petang nanti saya akan membawa ibu pulang ke Taiping. Ibu sudah terlalu uzur penglihatannya. Segalanya terpaksa dipandu dan dipimpin untuk apa juga pergerakannya. Abah masih bagus kesihatannya meski usianya sudah mencecah penghujung 70an tahun. Kelmarin ibu sempat dibawa pulang ke kampung halamannya di Negeri Sembilan. Kegembiraanya dapat bertemu dengan sanak saudara jelas tergambar di wajahnya.   

Sekiranya semudah itu boleh dilakukan, saya sanggup kehilangan mata saya ini untuk ibu. Namun saya memikul banyak tanggungjawab yang saya fikir sama beratnya. Malam ini saya harus kembali semula ke Shah Alam sebaik sahaja menghantar ibu pulang ke kampung. Saya tidak dapat bercuti panjang kerana komitmen kerja membataskan saya kali ini.

Itulah, pengorbanan sentiasa ada harganya di mana-mana dan pada bila-bila masa.