Image, nasrudin - Sarawak Golf & Resort, Kota Samarahan
21012010 (1230hrs)
1. Sebaik menyudahkan sarapan awal pagi (0640hrs), Sakawi sudah siap menunggu di ruang lobi hotel. Langsung ke Samarahan. Sepanjang perjalanan dari Bandaraya Kuching ke Kota Samarahan, saya berpeluang mencatat beberapa pemandangan yang menarik. Saya fikir, yang paling menonjol adalah pada sistem perhubungan jalan raya yang semakin dipertingkat. Ada sedikit kesesakan sewaktu mengarah ke Samarahan kerana pembinaan jalan tambahan untuk tujuan pelebaran. Adanya UiTM dan UNIMAS di tempat yang sama menjadikan kawasan ini tumpuan ramai. Deretan kedai-kedai dan rumah-rumah kedai, sambil diselang seli dengan pembinaan kompleks membeli belah dan taman-taman perumahan menjelmakan konsep perbandaran eko dengan jelas di mana-mana. Saya jangka, dalam masa kurang dari lima tahun akan datang, pelbagai elemen rekreasi dan hiburan awam mungkin akan dibangunkan dengan lebih pesat di sini. Hypermarkets sudah tentunya akan memberikan pandangan yang khusus yang akan mencorakkan tata atur perbandaran di kawasan ini, sekaligus mengurangkan tumpuan berlebihan di sekitar bandaraya Kuching.
2. Selesai urusan-urusan rasmi, saya dan teman-teman lama - Wan Akil, Rashidee dan Halimahton - menikmati jamuan tengahari di kelab golf di Samarahan. Sudah hampir 5 tahun tidak bertemu Wan Akil, rakan se-universiti sejak penghujung 1980an. Topik perbualan semuanya menjurus kepada hal-hal peribadi dan sosial. Kesempatan seperti ini terlalu berharga untuk dihabiskan kepada hal-hal pekerjaan dan seumpamanya. Wan Akil masih seperti dahulu, periang, rendah diri dan baik hati.
3. Saya masih meneliti sudut pandangan Emily mengenai pengembangan dan pembangunan bandar. Dalam minda saya, saya membayangkan sifat-sifat bandar bermula dari Kota Samarahan langsung ke Bandaraya dan melewati kawasan menghala ke lapangan terbang antarabangsa Kuching. Itu akan saya sudahkan malam nanti, insyaAllah.