Image, nasrudin, 29january2010, desa aman
Memancing - satu daripada banyak acara waktu senggang sejak zaman anak-anak. Seingat saya, sebelum menjejakkan kaki di dunia persekolahan, saya sudah ke sana sini bersama-sama abang atau rakan-rakan sebaya mencari tempat-tempat menangkap ikan. Ikan lawan (ikan laga) mungkin antara ikan-ikan terawal yang saya kenal. Setiap lubang (sebesar penumbuk, kerana ia bekas tapak kaki kerbau) di kawasan berair menjadi perhatian kami; warna dan rupa air (sama ada berbuih, gelap dan berkarat) menjadi perhatian kami kerana semua maklumat itu membolehkan kami mengetahui sama ada ikan di dalam lubang itu jantan atau betina dan sebagainya.
Kemudian saya mengenal ikan-ikan keli, fatty (dikenal juga sebagai ikan beras), haruan, tilapia, lampam, sebarau, sepat, puyu, dan banyak lagi. Sedikit demi sedikit saya mula mengetahui fakta-fakta bahawa teknik yang berlainan diperlukan untuk menangkap jenis-jenis ikan yang tertentu.
Setelah agak lama meninggalkan dunia itu, saya berpeluang untuk kembali mendekati kegiatan yang pernah mewarnai kehidupan saya ketika kecil dahulu. Bezanya, pada kali ini saya melihat senario yang sangat berlainan. Memancing di kolam buatan, duduk berkeliling, sambil menghirup kopi o pekat dan mengunyah-ngunyah kacang tanah, saya berasa seolah-olah ia lebih kepada acara untuk duduk bersendirian, memikir dan merenung. Sama ada ikan memakan mata pancing atau tidak, tidak pernah menjadi isu kepada saya dalam keadaan seperti itu.
Agaknya, apakah kepuasan memancing kepada orang lain, yang berada di kiri-kanan saya, di seberang sana, atau di mana-mana dalam kawasan kolam berbentuk lonjong seperti itu?