Saturday, January 09, 2010

SKALA KUASA POLITIK

SIAPA sebenarnya yang berkuasa di dalam skala kuasa politik? Banyak yang mengatakan rakyat. Alasannya, oleh kerana rakyat yang menentukan siapa yang akan menjadi wakil mereka pada setiap kali pilihanraya diadakan, maka rakyat yang berkuasa.

Ada juga yang beranggapan bahawa ahli-ahli parti politik-lah yang lebih berkuasa kerana mereka memilih perwakilan pada setiap kali Konvensyen parti diadakan. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan parti politik yang dominan dalam pemerintahan negara.


Dalam pengajian Sains Politik, hal seumpama ini dikatakan sebagai pengagihan skala kuasa politik. Ia melibatkan pengkajian mengenai kepercayaan individu samada kuasa politik diagihkan berdasarkan beberapa aliran orientasi yang tertentu.

Aliran-aliran yang besar itu termasuklah yang dianggap sebagai pluralisme politik (penglibatan banyak pihak dalam mengagihkan kuasa politik), elit politik (kuasa diagihkan oleh kumpulan kecil namun amat ’istimewa’); atau Marxis (kuasa politik dikawal oleh perniagaan gergasi).

Pluralistik

Tidak ada satu kumpulan pun yang benar-benar dianggap mentadbir kerajaan di negara ini. Sebaliknya, keputusan-keputusan penting mengenai polisi negara dibuat oleh pelbagai kumpulan yang berbeza-beza yang terdiri daripada kalangan misalnya Pak-Pak Menteri tertentu, NGO, perwakilan parti, golongan ulama, profesional muda yang menjadi kumpulan pemikir, pendidik dan sebagainya.

Kumpulan-kumpulan tersebut mempengaruhi parti-parti politik, tetapi tidak ada satu kumpulan pun yang benar-benar menonjol yang berupaya boleh mengarah orang lain. Dalam keadaan sebenar, setiap kumpulan dianggap cukup berupaya untuk melindungi kepentingan masing-masing.

Dalam temubual antara seprang bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi dengan Mingguan Malaysia (Ahad 17 Julai 2005), Perdana Menteri diajukan dengan pertanyaan berikut:

”ORANG ada persepsi kononnya menantu Datuk Seri, Khairy Jamaluddin, ada peranan dan pengaruh tersendiri dalam pentadbiran dan keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri?”

Lalu bekas Perdana Menteri itu membalas,
”BOLEH jadi kerana dia pernah bekerja dengan saya (sebagai bekas Timbalan Ketua Setiausaha Sulit 2). Apabila bekerja dengan Perdana Menteri ini maklumlah banyak perkara yang dia bantu, beri pandangan dan analisis. Mereka ini semua pun pembantu saya (menunjuk kepada pegawai-pegawainya)”

Perwakilan UMNO dikira menyumbang kepada kaedah pengagihan kuasa seperti ini pada setiap kali Perhimpuan Agung diadakan. Mereka mengusulkan – dan memilih untuk tidak mengusulkan! – isu-isu yang patut dijadikan bahan perbincangan pada setiap kali perhimpunan berlangsung.

Isu-isu seperti Agenda Melayu dalam konteks pendidikan tinggi dan profesional akan diungkapkan pada platform seperti Perhimpunan Agung. Pada masa yang sama, isu-isu lain yang dianggap mempunyai scoop juga akan dipertimbangkan seperti soal pemberian AP yang dikatakan tidak telus ataupun soal disiplin ahli parti yang dipersoalkan.

Elitis

Terdapat satu kumpulan yang kecil – yang berada betul-betul di bawah dagu Perdana Menteri – yang turut ’mengendali’ dan ’mentadbir’ kerajaan. Kumpulan ini terdiri daripada ketua-ketua syarikat-syarikat perniagaan yang besar, termasuk perbadanan negara, individu-individu tertentu pegawai-pegawai tertinggi kerajaan dan sektor pertahanan, serta beberapa ahli politik kanan dan bekas ahli politik yang masih berpengaruh.

Kumpulan ini biasanya menguasai atau pun setidak-tidaknya mempunyai kepentingan dalam parti-parti kerajaan. Mereka adalah kumpulan istimewa. Mereka mempunyai laluan langsung kepada pemimpin tertinggi kerajaan. Urusan rasmi mereka tidak berakhir sekadar di pejabat, tetapi dilangsungkan hingga ke kediaman pemimpin-pemuimpin tertinggi semata-mata untuk menyudahkan kerja-kerja rasmi yang masih tertangguh.

Pendominasi Ekonomi

Kumpulan yang ketiga, kumpulan yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan dan syarikat-syarikat korporat yang yang berkuasa, yang benar-benar menguasai negara. Ketua-ketua pentadbir syarikat berkenaan menguasai parti-parti dominan dalam kerajaan. Ini bermakna banyak urusan dalam pemerintahan negara dikendalikan dan ditangani dalam cara yang agak sehala dengan cara dan strategi perniagaan dilaksanakan.

Mereka ini dianggap sebagai kumpulan terkuat yang menentukan hala-tuju corak pemerintahan negara pada peringkat eksekutif, atau pembuat keputusan. Bagaimanapun, pengaruh kumpulan ini bergantung kepada hayat politik Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Kebiasaannya, hanya individu-individu yang tertentu dan bijaksana sahaja yang mempu melepasi tindakan cantasan politik semasa apabila kepemimpinan tertinggi negara bertukar orang.

Apa yang jelas, siapa pun yang akhirnya ’berkuasa’ secara politik biasanya tidak dipersoalkan. Sistem politik mempunyai budaya, peraturan dan undang-undang tersendiri yang sehingga kini diyakini rakyat. Malah, ahli-ahli parti politik sendiri pun menerima secara dasarnya bahawa siapa yang patut berkuasa dan siapa yang patut sekadar mengikut. Begitulah seterusnya, mereka juga yang menentukan misalnya, samada Agenda Melayu itu releven atau tidak pada sesuatu masa dalam konteks siapa sebenarnya yang berkuasa.

Dengan kata lain, ini adalah soal kematangan politik. Ia mungkin melibatkan beberapa unsur asas, antaranya: pertama, ciri-ciri profesional yang ditunjukkan antara ahli-ahli politik dan pentadbir kerajaan yang sama-sama menyokong sistem semasa, meskipun ada kemungkinan mereka sendiri tidak memahami mengenai sistem itu secara menyeluruh. Apa yang penting adalah sokongan penuh mereka terhadap parti dan kerajaan.

Kedua, keupayaan untuk menjiwai prinsip demokrasi asas di kalangan semua pengamal dan peserta dalam sistem politik.

Ketiga, menerima faktor kepelbagaian dalam sistem politik (pandangan, pendekatan dan kepercayaan).

Dan keempat, keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan kepemimpinan dan sistem semasa secara sepenuhnya. Ini yang sentiasa perlu dipastikan.