Sunday, January 31, 2010

RETROSPEKTIF - PMs, AKHLAKEN...

Image from: murasame5.wordpress.com


1. Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, dan Tun Hussein Onn - ketiga-tiganya bekas Perdana Menteri - memiliki personaliti yang tersendiri yang sekaligus membezakan ketiga-tiganya dari segi kepemimpinan politik. Teori Sifat atau Teori Personaliti memberikan landasan yang kelihatannya menyebelahi Tunku Abdul Rahman manakala Teori Situasi memberi kelebihan kepada Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Apa yang berlaku sewaktu sesi pagi dan petang tadi menjelaskan betapa kepemimpinan dan etika tidak boleh diasingkan walau sedikit pun. Kes-kes yang dikaji menunjukkan pada awalnya bahawa sebarang taakulan (reasoning) yang menyalahi peraturan dan tanggungjawab yang difahami dan diterima bersama akan menjadi kesalahan moral di mana-mana. Motif kemudiannya akan menjadi suatu unsur yang sangat diutamakan yang akan menjelaskan tindakan atau keputusan.

2. "Kosong", begitu reaksi Akhlaken selepas ditanyakan khabar dirinya pada pertemuan lewat petang tadi.

Kami berbicara sambil menikmati beberapa gelas teh panas di Syed. Tengah malam tadi kami bersembang di FB, bertukar-tukar pandangan dan fikiran mengenai pelbagai isu. Bagaimana pun, ia tidak berakhir di situ. Kami terfikir ada banyak lagi perkara yang perlu diungkapkan, namun jaringan sosial elektronik bukanlah platformnya. Emosi khususnya amat sukar untuk diluahkan secara maya. Di samping itu, agak sukar bagi seseorang untuk menulis - atau menggunakan papan kunci untuk menaip - sebebas dan sepanjang mungkin apa-apa sahaja yang dihajati lantaran beberapa halangan dan batasan. Berjumpa secara langsung masih lagi merupakan cara terbaik untuk berhubung dan berinterkasi. Cara bagaimana seseorang meluahkan perasaannya, sebagaimana terpancar melalui riak wajahnya, nada suaranya, kemarahan yang ditunjukkannya melalui banyak cara - misalnya bahasa yang digunakan sama ada secara verbal dan bukan verbal - boleh diperhatikan dengan mudah.

Sudah agak lama kami tidak berjumpa sejak kali terakhir dulu - kira-kira beberapa bulan lepas - di Damansara. Pertemuan petang tadi mengembalikan semula perspektif sebenar kami mengenai apa makna persahabatan yang tulen. Kami bersetuju - sesudah mempertimbang beberapa insiden kurang menyenangkan yang melibatkan rakan-rakan kami beberapa minggu kebelakangan - bahawa ia hanya memerlukan suatu isu yang sangat kecil untuk meletakkan nilai persahabatan di penghujung hubungan. Takdir kemudiannya menjadi penentu yang membawa makna kepada setiap perkara dalam apa yang dipanggil 'persahabatan'.

Lingkaran 'persahabatan' itu - dalam bentuk-bentuk Akhlaken, FinFin, ShiShi, WaWa, Alex dan Purple Stockings - pernah suatu ketika dulu merupakan rantaian perasaan dan kasih-sayang yang sangat hebat dan mistikal.

Kami sangkakan ia akan berakhir jauh lebih lama; namun ia tidak berlaku sedemikian.

Hidup perlu diteruskan.

Saturday, January 30, 2010

SELA-SELA WAKTU SENGGANG



Image, nasrudin, 29january2010, desa aman



Memancing - satu daripada banyak acara waktu senggang sejak zaman anak-anak. Seingat saya, sebelum menjejakkan kaki di dunia persekolahan, saya sudah ke sana sini bersama-sama abang atau rakan-rakan sebaya mencari tempat-tempat menangkap ikan. Ikan lawan (ikan laga) mungkin antara ikan-ikan terawal yang saya kenal. Setiap lubang (sebesar penumbuk, kerana ia bekas tapak kaki kerbau) di kawasan berair menjadi perhatian kami; warna dan rupa air (sama ada berbuih, gelap dan berkarat) menjadi perhatian kami kerana semua maklumat itu membolehkan kami mengetahui sama ada ikan di dalam lubang itu jantan atau betina dan sebagainya. 

Kemudian saya mengenal ikan-ikan keli, fatty (dikenal juga sebagai ikan beras), haruan, tilapia, lampam, sebarau, sepat, puyu, dan banyak lagi. Sedikit demi sedikit saya mula mengetahui fakta-fakta bahawa teknik yang berlainan diperlukan untuk menangkap jenis-jenis ikan yang tertentu.   

Setelah agak lama meninggalkan dunia itu, saya berpeluang untuk kembali mendekati kegiatan yang pernah mewarnai kehidupan saya ketika kecil dahulu. Bezanya, pada kali ini saya melihat senario yang sangat berlainan. Memancing di kolam buatan, duduk berkeliling, sambil menghirup kopi o pekat dan mengunyah-ngunyah kacang tanah, saya berasa seolah-olah ia lebih kepada acara untuk duduk bersendirian, memikir dan merenung. Sama ada ikan memakan mata pancing atau tidak, tidak pernah menjadi isu kepada saya dalam keadaan seperti itu.

Agaknya, apakah kepuasan memancing kepada orang lain, yang berada di kiri-kanan saya, di seberang sana, atau di mana-mana dalam kawasan kolam berbentuk lonjong seperti itu?

Thursday, January 28, 2010

KLASIFIKASI ILMU



Image from: samotalis.blogspot.com






1. Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang isu 'kepala babi di masjid-masjid'. Agak terlalu awal untuk menyatakan apa-apa mengenai kejadian itu. Apa yang saya fikir lebih penting adalah sudut pandang yang perlu digunakan untuk mendekati isu tersebut dengan cermat dan berhikmah. Ada beberapa kemungkinan yang mesti dipertimbang. Setakat ini, perkara terbaik yang mesti dilakukan adalah membiarkan pasukan polis negara kita melaksanakan tugas mereka dengan cepat, betul dan cermat. Andaian adalah ibu segala kekalutan; jadi simpan dahulu segala andaian sekiranya ada.



Image, nasrudin, 28 January 2010






2. Sekarang ini musim pilihan raya kampus. Pengundian pada siri pilihan raya kali ini dilakukan secara e-undi. Sepanjang kempen pilihan raya, saya berpeluang mengumpul beberapa risalah yang digunakan oleh pelajar-pelajar yang terlibat dalam proses 'politik mahasiswa' untuk berkempen di universiti.

3. Satu daripada beberapa kesimpulan yang saya boleh luahkan adalah kenyataan bahawa kebebalan dan ketidakpedulian mengenai maklumat dan ilmu tidak akan membawa sesiapa ke mana-mana. Betul, memang ada beberapa kemungkinan dalam soal risalah yang ditulis secara tidak beradab itu. Namun, walau apa pun alasannya, sesiapa sahaja yang berbuat demikian - yang saya tidak fikir calon itu sendiri yang menulisnya -  tentu sahaja merupakan individu yang menyerlahkan tingkat akalnya sendiri yang mengkhianati peluang dan amanah yang telah diberikan kepadanya untuk berada sebentar di universiti. Dia seharusnya mengasihani dirinya sendiri.   

Wednesday, January 27, 2010

TITIPAN YANG TIDAK DIHARAPKAN






Titipan daripada Zura yang diterima semalam bukanlah sesuatu yang dinantikan atau diharapkan. Ia cuma sekadar alasan untuk menjadikan sesuatu. Apa pun, ia sudah tidak memberi makna apa-apa. Kekeliruan dan tanda tanya kadang-kala mengundang andaian sama ada apa yang dibekalkan di balik titipan itu berupa dendam, atau mungkin juga sekadar suka-suka. Kezaliman datang dalam pelbagai rupa, itu mungkin salah satu daripadanya. Soalan sama ada kezaliman itu wajar atau tidak bukanlah sesuatu yang penting. Kezaliman dalam apa bentuk dan rupa sekali pun tidak pernah diwajarkan oleh apa-apa pun. "Sekeping gambar memberi makna yang lebih berbanding seribu perkataan", begitu kata pepatah. Terima kasih kesabaran, bersyukur atas keredhaan.

Tuesday, January 26, 2010

SEDIKIT, NAMUN BERTERUSAN



Image, from: www.thenutgraph.com



1. Saya bertemu dan mendengar hujah-hujah langsung secara berhadapan dengan YB Zulkifli Nordin, seorang peguam, ahli PKR, buat pertama kali di Al I'tisam, TTDI Jaya, kurang lebih 4 tahun dahulu. Peguam yang kerap bermotorsikal kuasa besar untuk ke sana sini itu seorang yang bercakap agak jelas, langsung, sedikit keras dari segi penghujahan, tegas dan tidak berselindung. Kupasan beliau mengenai isu yang sangat hangat ketika itu - mungkin sehingga kini pun masih panas - sangat menyakinkan kerana disokong dengan fakta dan bukti penyelidikan.

2. Saya menyentuh kisah Zulkifli kerana seharian ini saya memikirkan mengenai isu yang berkaitan dengan beliau. Pendirian beliau yang konsisten selama saya mula mengikuti perkembangan peguam itu membuatkan saya terfikir betapa seburuk mana pun sistem dan tata cara politik tahap rendah dicorakkan oleh ahli-ahli politik, personaliti dan pendirian seperti yang dipamerkan Zulkifli memungkinkan harapan untuk terus menguntum walau pun barangkali cuma sedikit.

3. Penghayatan dan pelaksanaan secara zahir adalah refleksi perjuangan murni dan tulen yang sukar ditemui secara kerap. Dalam bidang kepemimpinan, keadaan seperti itu menggambarkan paduan nilai-nilai tinggi yang mengukuhkan personaliti dan kematangan pemimpin dalam semua keadaan secara konsisten. Dengan kata lain, walau isu apa pun yang diperbahas, soalan akhirnya berkemungkinan besar menjurus kepada "Apa sebenarnya yang kita mahukan?"

Monday, January 25, 2010

SELUAS & SEBANYAKNYA


Image from, horsesli.com


Perbualan saya dengan teman, DSA, menimbulkan satu persoalan pada penghujungnya: "Untuk apakah semuanya?"

Kisah ini segera menerpa di fikiran. Pada suatu masa dahulu, entah bila, seorang raja memperkenan untuk menganugerahkan kepada seorang perwira berkuda istana dengan suatu hadiah sebagai menghargai jasa perwira tersebut. Raja tersebut menitahkan bahawa perwira itu boleh memiliki sebanyak mungkin tanah di negara tersebut, bergantung kepada sejauh dan seluas mana kawasan tanah negara itu mampu diliputi oleh larian kudanya itu.


Tanpa bertangguh-tangguh, perwira itu pun menyesah-nyesah cemetinya ke tubuh kudanya, memerintahkan kuda itu berlari sederas dan sekencang yang boleh untuk meliputi seluas mungkin kawasan. Selama perjalanan itu, perwira itu tidak mengendahkan keadaan tubuhnya sama ada letih, lapar mahupun dahaga. Sebaliknya, dia meneruskan perjalanan berkudanya untuk meliputi lebih banyak kawasan lagi. Keadaan itu berterusan sehinggalah dia tiba-tiba kepenatan dan kian nazak.

Dalam nafasnya yang tersangkut-sangkut, perwira berkuda itu menanyakan soalan kepada dirinya sendiri, “Kenapakah aku memaksa diriku secara keterlaluan untuk mendapatkan sebanyak-banyak tanah? Kini aku menunggu saat-saat kematian. Sebenarnya, aku hanya perlukan suatu kawasan tanah yang amat kecil sahaja. Itu pun hanya untuk dijadikan kuburku.”

Pada setiap masa, kebanyakan manusia menghabiskan tenaga dan masa mereka untuk mencari dan mengumpul kekayaan. Manusia mendesak diri mereka, ada kalanya sehingga melampaui batas dan keupayaan diri. Sebahagian daripada mereka melakukan itu semua demi untuk memperoleh kedudukan, kuasa, wang dan kemegahan. Selama berada dalam kesibukan dan keutamaan mencari kesenangan itu, banyak perkara lain terabai dan dilupakan. Kesihatan, kegemaran masa lapang dan masa terluang untuk kebahagiaan berkeluarga dan menghayati keagungan Tuhan tidak diberikan keutamaan.

Suatu hari, apabila menoleh sejenak ke belakang, kita tersedar bahawa sebenarnya kita tidaklah memerlukan sebegitu banyak harta-benda dan kesenangan. Bagaimanapun, untuk mendapatkan semula apa yang kita telah terlepas itu – menghargai apa yang ada di hadapan mata – sudah pun terlalu mustahil untuk diharapkan semula. Pada saat itu, ada yang sampai menyalahkan unsur-unsur lain kerana menyebabkan mereka ‘terpaksa’ mengabaikan perkara-perkara yang asas. Dalam hal ini, mereka seolah-olah menyalahkan Tuhan dengan apa yang mereka lalui dan kesali itu.
“Maka nikmat yang mana satukah daripada Tuhanmu yang engkau mahu dustakan?” (Al-Qur’an, 55:13)

Thursday, January 21, 2010

SOSIOLOGI BANDAR 2



Image, nasrudin - Sarawak Golf & Resort, Kota Samarahan
21012010 (1230hrs)





1. Sebaik menyudahkan sarapan awal pagi (0640hrs), Sakawi sudah siap menunggu di ruang lobi hotel. Langsung ke Samarahan. Sepanjang perjalanan dari Bandaraya Kuching ke Kota Samarahan, saya berpeluang mencatat beberapa pemandangan yang menarik. Saya fikir, yang paling menonjol adalah pada sistem perhubungan jalan raya yang semakin dipertingkat. Ada sedikit kesesakan sewaktu mengarah ke Samarahan kerana pembinaan jalan tambahan untuk tujuan pelebaran. Adanya UiTM dan UNIMAS di tempat yang sama menjadikan kawasan ini tumpuan ramai. Deretan kedai-kedai dan rumah-rumah kedai, sambil diselang seli dengan pembinaan kompleks membeli belah dan taman-taman perumahan menjelmakan konsep perbandaran eko dengan jelas di mana-mana. Saya jangka, dalam masa kurang dari lima tahun akan datang, pelbagai elemen rekreasi dan hiburan awam mungkin akan dibangunkan dengan lebih pesat di sini. Hypermarkets sudah tentunya akan memberikan pandangan yang khusus yang akan mencorakkan tata atur perbandaran di kawasan ini, sekaligus mengurangkan tumpuan berlebihan di sekitar bandaraya Kuching.

2.  Selesai urusan-urusan rasmi, saya dan teman-teman lama - Wan Akil, Rashidee dan Halimahton - menikmati jamuan tengahari di kelab golf di Samarahan. Sudah hampir 5 tahun tidak bertemu Wan Akil, rakan se-universiti sejak penghujung 1980an. Topik perbualan semuanya menjurus kepada hal-hal peribadi dan sosial. Kesempatan seperti ini terlalu berharga untuk dihabiskan kepada hal-hal pekerjaan dan seumpamanya. Wan Akil masih seperti dahulu, periang, rendah diri dan baik hati. 

3. Saya masih meneliti sudut pandangan Emily mengenai pengembangan dan pembangunan bandar. Dalam minda saya, saya membayangkan sifat-sifat bandar bermula dari Kota Samarahan langsung ke Bandaraya dan melewati kawasan menghala ke lapangan terbang antarabangsa Kuching. Itu akan saya sudahkan malam nanti, insyaAllah.    


SOSIOLOGI BANDAR






Image, nasrudin 20012010, riverside, kuching (1330hrs)








Image, nasrudin 21012010, tebingan, kuching (0700hrs)





Memandang ke luar jendela kamar Riverside Majestic, Kuching, ingatan saya segera menumpu kepada memori lebih 17 tahun lampau. Sudah agak terlalu lama rupanya saya mengenali Sarawak; memadai untuk memahami aspek sosiologi bandar-nya yang saya fikir sangat istimewa dan menarik, berbanding dengan tempat-tempat tumpuan di kota-kota Bangkok, Manila, Singapura ataupun Jakarta umpamanya. Saya lebih gemar memerhatikan sifat-sifat warga di kota-kota berkenaan. Bagaimana susun atur kota direka bentuk menggambarkan dengan jelas pergerakan dan kegiatan harian warga di tempat-tempat tersebut. Elemen-elemen masa (awal pagi, tengahari, petang hingga ke malam misalnya), keluasan ruang (berapa banyak tanah yang masih tinggal untuk dibangunkan), corak budaya (gender dan kegiatan harian umpamanya), serta aspek pentadbiran politi dan politik tempatan, semuanya merupakan antara komponen-komponen yang menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan bandar. Yang pasti, saya masih membuat penelitian lanjut. Saya harus menyudahkan urusan-urusan rasmi terlebih dahulu!

Wednesday, January 20, 2010

KATARSIS


Image from: frozenwinds.com

1. Panggilan telefon awal pagi - seawal pukul 7 - memulai urusan hari Rabu ini. Masih mengenai hal-hal rasmi yang perlu dilaksanakan segera, selain daripada janji temu, perjumpaan khas dengan pihak industri, serta hal-hal peribadi yang tidak upaya ditangguhkan lagi. Dalam sebanyak itu hal-hal pada pagi ini, barangkali cuma satu yang menarik perhatian: nota tiga baris yang tertulis pada papan putih di luar pejabat saya. Sukar saya pastikan emosi yang bagaimana melatarbelakangi apa yang tertera di situ. Lalu saya pilih untuk berdiam diri sahaja.

2. Dalam keserabutan jadual pagi, sempat juga di sela-sela itu berhubungan sms dengan Zura dan Finaz. Saya terleka seketika.

3. Saya memikirkan mengenai dua manuskrip buku yang perlu diberikan sentuhan akhir. Ada tarikh akhir yang saya perlu tepati.

Dalam fikiran, "Ya, mungkin boleh disudahkan sewaktu di kota Bangkok dua minggu lagi sambil menghirup teh tarik di Pratunam, atau memesrai secawan kopi pekat di Mak Yah?" Saya hampir boleh tersenyum.

4. Tema kejujuran dan kesetiaan masih lagi melekat kuat di minda. Biarlah saya pinggirkan dahulu soal itu. Barangkali saya dapat menyudahkan sesuatu sewaktu berlapang dada di kamar hotel di Kuching pada malam ini. Tugasan menanti awal-awal pagi esok. Saya perlu mengejar flight!

Tuesday, January 19, 2010

PERIHAL TOPENG









Image, from: axe_vin flickr.com


1. "Dr. Nash ceria sahaja akhir-akhir ini? Ada apa-apa ke?" Nurul menyoal saya awal petang tadi sewaktu saya melewati pejabat pentadbiran. Zu dan Nisa, yang kedua-dua mereka berada di ruang kerja masing-masing turut mencelah di mana boleh. 

2. Seharian di pejabat memberikan kesempatan kepada saya untuk memikir dan kemudian mencatat apa-apa sahaja yang barangkali saya boleh jadikan renungan pada masa hadapan. Dari sudut pengurusan, ini dipanggil impersonification, apabila seorang pengurus menggunakan sifat-sifat peribadinya yang sebenar dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang-orang lain. Ada juga beberapa perspektif lain yang mengaitkan dengan perilaku memakai pelbagai 'topi' atau 'topeng' untuk menyesuaikan diri dengan situasi dan keperluan lain. Lalu timbullah 'thinking cap' dan seumpamanya.

3. Saya fikir semuanya semestinya ada masa yang sesuai dan wajar untuk berbuat demikian. Apa pun, senyuman adalah sedekah.

HUJAN PAGI









Image: nasrudin mohammed, shah alam 19januari2010

seindah mana
memori menghampar
di depan mata
kembang lalu memudar
     seperti gelembungan air itu
melekat seketika pada cermin
lenyap satu persatu
tatkala berkereta diselimut hujan.

nasrudin mohammed
seksyen 13 - sekseyen 1, shah alam
19 januari 2010

Monday, January 18, 2010

MELANKOLIK II











Image: nasrudin mohammed, Regency, Port Dickson
17 Okt 2008

biasan itu
yang melunjur di permukaan air setenang itu
rupa-rupanya
cermat menyimpan geliat arus kecil di bawahnya
dengan sifatnya yang lembut mesra
mencuit rindu perenung laut
yang tekun mencuba baca bisik angin dari pantai putihnya.

nasrudin mohammed
Port Dickson, 17 Oktober 2008

MELANKOLIK I




Image, from: Rob Ameerun flickr.com






jauhnya
tidak bisa diukur
dekatnya
mustahil disentuh
dalamnya
sesukar melihat dasarnya
ceteknya
semudah ditipu biasan
dinginnya
segigil genggaman salju
sepinya
sesulit siapa pun yang tidak pernah tahu.

nasrudin mohammed
ttdij

TOPENG II




Image, from: somewhereinblog.net




perjalanan ini
jauhnya tidak termampu dijejak
tanpa topengan ini
yang bijak menutup
lelah dan parah
wajah di baliknya.

nasrudin mohammed
ttdij

TOPENG I



Image, from: GDALLIS flickr.com




di fikirannya

kata tetap juga kata selagi faham makna
seperti orang lain yang terus percaya bahawa di balik topeng
siapa-siapa pun boleh menjadi sesiapa selagi faham akan bicara bahasa dan maknanya.

namun soal dan jawab seakan-akan pencarian yang tidak akrab dengan penemuan

kerana pada fikiran topeng
jawaban-jawaban yang direka pada setiap kali disoal
semuanya sudah memadai dan tidak penting ditanya berulang kali
asal saja senang di hatinya atau mereka

kerana
tatkala senang dia tidak memikir bagaimana susah mereka
dan tatkala susah mereka juga tidak pula begitu memikir mengenai kesenangan ia
maka siapa-siapa tidaklah perlu menghargai apa-apa atau sesiapa.

nasrudin mohammed
seksyen 1 shah alam - ttdij

CERMIN II



Image, from: trekearth.com




Cermin tidak mudah lupa
bukan asalnya daripada jenis leka

sebijak topeng yang pepat di luar rencong di dalam
di depan cermin ia kelu kehabisan bisa

lalu
topeng lena di dalam lupa

bahawa angin tak dapat ditangkap dan asap tak mungkin digenggam.

di hadapan cermin
hilang kilat topeng di celah kilau.

nasrudin mohammed
seksyen 1 shah alam - ttdij

CERMIN I







Image, from: DaveStef flickr.com



Di mana-mana
pada bila-bila masa
cermin sentiasa menjadi apa-apa dan siapa-siapa
yang orang paling hormat.

sesiapa tidak perlu bertanya lantaran ia adalah penunjuk isyarat segala
ia teman perahsia paling tenang lagi setia
membujur lalu melintang patah cermin tidak gusar

dihempas ia pecah
diseranah ia pegun
hitam tahan tempa, putih tahan sesah
dia umpama tukang yang mustahil membuang kayu.

kata cermin
kebenaran umpama pedang Pencipta
apa sahaja yang dihiris
pasti melukakan.

atas sifatnya yang hadir di mana-mana
dia menyimpan pelbagai fikir manusia
seperti kelir yang menduga pendek akal tok dalang
atau gendang yang sesekali bertingkah mencabar sumbang langkah hulubalang

kuat burung kerana sayap, kuat ketam kerana sepit
dia malah kekal unggul
bijak menyinggung sedar
kerana jauhari jua mengenal manikam

nasrudin mohammed
seksyen 1 shah alam - ttdij

ISNIN

Pagi Isnin ini tadi dihabiskan kepada semua urusan siswazah - surat-menyurat, panggilan telefon, menandatangani kertas itu-ini, membaca draf, dan menyapa orang itu dan ini.

Pada masa sama, hal-hal penyelidikan menunggu di meja. Norlidah dari ipsis menjadi rakan seinstitusi yang baik pada setiap masa; banyak urusan disempurnakan dengan ringkas dan mudah tanpa perlu menggunakan saluran rasmi. Lalu, janji mulut untuk bersembang pagi di meja kopi masih juga belum tertunai hingga ke hari ini.

Saya cuma berupaya nyatakan pada Norlidah, "Nantilah..."

Selainnya, Fazni masih juga tidak henti-henti menghulurkan itu dan ini, semuanya perlu disegerakan, katanya.

Terfikir dalam hati, "Ah! Sudah agak lama benar aku tidak sesibuk ini!

Diam-diam, jauh di dasar, ada sesuatu berdetik dalam hati.

SELEPAS SEMINGGU

1. Seminggu saya diisi dengan mesyuarat yang tidak henti-henti: kadang-kadang saya terfikir, perlukah mesyuarat apabila tindakan atau keputusan boleh dilaksanakan tanpa konsensus. Namun, faktanya, inilah apa yang dipanggil 'bandwagon'; mengheret semua sekali dalam satu komitmen yang sama tanpa banyak pilihan.

2. Ada ketikanya, berada dalam situasi yang tersepit menjadikan seseorang itu kelihatannya bersalah dalam semua perkara, tanpa kemahuan atau pilihannya. Tidak perlu menyebut mengenai ketulusan, kejujuran atau keikhlasan kerana semua itu hanya bernilai di mata yang mahu merenung dan di hati yang memilih untuk memikir. lalu, dalam keadaan begitu, perjalanan yang bukan sahaja panjang tetapi menyakitkan itu juga terpaksa disudahi berseorangan. Inilah yang saya kongsi seminggu ini beberapa kali. Niena menyebut mengenai hal ini sewaktu berpeluang tempoh hari. Alia tekun dengan kesabarannnya sedangkan semua itu pastinya amat menyakitkan. Saya tidak mampu memohon maaf dalam keadaan sebegitu dan saya yakin semua memahaminya. Saya fikir diam adalah pilihan terbaik pada bila-bila masa sekali pun.

3. Kesabaran dan keikhlasan Zura, Finaz dan Shidi menjadikan saya berasa begitu mengecil dan terpencil. Terima kasih atas semuanya. Putaran 'Hitam Putih Kehidupan' di udara Shah Alam - sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja pada awal pagi - meredakan saya secara tiba-tiba.

Sunday, January 17, 2010

INGKAR

Tradisi keilmuan mengaitkan intelek dengan tiga cabang: intelek aktif, intelek perolehan, dan intelek pasif.

Daripada beberapa perspektif inilah munculnya konsep-konsep makrifat dan hikmah.

Saya bangkitkan hal ini kerana beberapa perkembangan akhir-akhir ini membawa saya kepada memikirkan soal janji dan sumpah. Benar, selalunya janji yang diingkari, sumpah yang dilanggari mencetuskan rasa tidak puas hati dan getus marah berpanjangan. Namun akhirnya, apa yang saya fikir lebih baik untuk direnung adalah kenyataan bahawa terimalah pengingkaran dan sumpahan sebarang janji dan ikrar itu sebagai hikmah yang didatangkan khusus untuk membahagiakan. Berterima kasihlah dan terima seadanya.

Monday, January 11, 2010

MENGENAI NEGARA YANG TUA & MERAPUH

Daripada beberapa pandangan yang saya terima, saya lebih menyetujui untuk percaya bahawa soal pembangunan - terutamanya dalam situasi kalut seperti hari ini yang diasak dengan cabaran-cabaran kepercayaan khususnya - pembangunan dan kemantapan sesebuah negara bukanlah berlaku secara kebetulan. Semua perkara dilatarbelakangi sebab dan menghasilkan akibat.

Ambil misalnya pandangan Ibn Khaldun dan Shah Wali Allah. Ibn Khaldun mengemukakan pemikirannya yang penting mengeni sains sosial baru yang antara intipati pemikirannya adalah kenyataan bahawa masyarakat merupakan organisme yang tumbuh berkembang, matang dan menjadi tua, bukan kerana kebetulan atau kerana perintah suci tetapi kerana punca-punca sebenarnya yang menyebabknnya. Menurut beliau, tidak ada kebetulan dalam sejarah sosial tetapi semata-mata sebab dan akibat. Beliau percaya sebab utama pembentukan masyarakat adalah keperluan.

Shah Wali Allah pula antara lain, beliau melihat pembangunan dari sudut perkembangan yang dilalui oleh masyarakat khususnya dari segi ketamadunan, budaya dan institusi-institusi sosial. Beliau juga menyentuh mengenai perbezaan antara negara Islam dan negara muslim. Beliau turut menerima pengaruh perubahan sebagai sesuatu yang memberi kesan besar kepada pembangunan manusia dan negara. Antara tulisannya yang dianggap hebat adalah "Hujjat-Ullah-il-Baalighah", yang menangani pelbagai persoalan Islam di kalangan masyarakat-masyarakat beragama Islam.

Nota: Ibn Khaldun (m.808/1406), ahli falsafah sejarah, hidup semasa keruntuhan empayar Islam di Barat.Shah Wali Ullah (1703-1763), antara pemikir Islam terulung, dilahirkan pada tahun 1703 sewaktu agama Islam menerima cabaran terhebat di India ekoran kematian Aurangzeb.

Saturday, January 09, 2010

KEWAJARAN

aku manusia
mahu menjadi tuhan
aku adik
mahu menjadi abang
aku anak
mahu menjadi bapa
aku muda
namun aku ingin benar lekas-lekas menjadi dewasa.

SKALA KUASA POLITIK

SIAPA sebenarnya yang berkuasa di dalam skala kuasa politik? Banyak yang mengatakan rakyat. Alasannya, oleh kerana rakyat yang menentukan siapa yang akan menjadi wakil mereka pada setiap kali pilihanraya diadakan, maka rakyat yang berkuasa.

Ada juga yang beranggapan bahawa ahli-ahli parti politik-lah yang lebih berkuasa kerana mereka memilih perwakilan pada setiap kali Konvensyen parti diadakan. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan parti politik yang dominan dalam pemerintahan negara.


Dalam pengajian Sains Politik, hal seumpama ini dikatakan sebagai pengagihan skala kuasa politik. Ia melibatkan pengkajian mengenai kepercayaan individu samada kuasa politik diagihkan berdasarkan beberapa aliran orientasi yang tertentu.

Aliran-aliran yang besar itu termasuklah yang dianggap sebagai pluralisme politik (penglibatan banyak pihak dalam mengagihkan kuasa politik), elit politik (kuasa diagihkan oleh kumpulan kecil namun amat ’istimewa’); atau Marxis (kuasa politik dikawal oleh perniagaan gergasi).

Pluralistik

Tidak ada satu kumpulan pun yang benar-benar dianggap mentadbir kerajaan di negara ini. Sebaliknya, keputusan-keputusan penting mengenai polisi negara dibuat oleh pelbagai kumpulan yang berbeza-beza yang terdiri daripada kalangan misalnya Pak-Pak Menteri tertentu, NGO, perwakilan parti, golongan ulama, profesional muda yang menjadi kumpulan pemikir, pendidik dan sebagainya.

Kumpulan-kumpulan tersebut mempengaruhi parti-parti politik, tetapi tidak ada satu kumpulan pun yang benar-benar menonjol yang berupaya boleh mengarah orang lain. Dalam keadaan sebenar, setiap kumpulan dianggap cukup berupaya untuk melindungi kepentingan masing-masing.

Dalam temubual antara seprang bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi dengan Mingguan Malaysia (Ahad 17 Julai 2005), Perdana Menteri diajukan dengan pertanyaan berikut:

”ORANG ada persepsi kononnya menantu Datuk Seri, Khairy Jamaluddin, ada peranan dan pengaruh tersendiri dalam pentadbiran dan keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri?”

Lalu bekas Perdana Menteri itu membalas,
”BOLEH jadi kerana dia pernah bekerja dengan saya (sebagai bekas Timbalan Ketua Setiausaha Sulit 2). Apabila bekerja dengan Perdana Menteri ini maklumlah banyak perkara yang dia bantu, beri pandangan dan analisis. Mereka ini semua pun pembantu saya (menunjuk kepada pegawai-pegawainya)”

Perwakilan UMNO dikira menyumbang kepada kaedah pengagihan kuasa seperti ini pada setiap kali Perhimpuan Agung diadakan. Mereka mengusulkan – dan memilih untuk tidak mengusulkan! – isu-isu yang patut dijadikan bahan perbincangan pada setiap kali perhimpunan berlangsung.

Isu-isu seperti Agenda Melayu dalam konteks pendidikan tinggi dan profesional akan diungkapkan pada platform seperti Perhimpunan Agung. Pada masa yang sama, isu-isu lain yang dianggap mempunyai scoop juga akan dipertimbangkan seperti soal pemberian AP yang dikatakan tidak telus ataupun soal disiplin ahli parti yang dipersoalkan.

Elitis

Terdapat satu kumpulan yang kecil – yang berada betul-betul di bawah dagu Perdana Menteri – yang turut ’mengendali’ dan ’mentadbir’ kerajaan. Kumpulan ini terdiri daripada ketua-ketua syarikat-syarikat perniagaan yang besar, termasuk perbadanan negara, individu-individu tertentu pegawai-pegawai tertinggi kerajaan dan sektor pertahanan, serta beberapa ahli politik kanan dan bekas ahli politik yang masih berpengaruh.

Kumpulan ini biasanya menguasai atau pun setidak-tidaknya mempunyai kepentingan dalam parti-parti kerajaan. Mereka adalah kumpulan istimewa. Mereka mempunyai laluan langsung kepada pemimpin tertinggi kerajaan. Urusan rasmi mereka tidak berakhir sekadar di pejabat, tetapi dilangsungkan hingga ke kediaman pemimpin-pemuimpin tertinggi semata-mata untuk menyudahkan kerja-kerja rasmi yang masih tertangguh.

Pendominasi Ekonomi

Kumpulan yang ketiga, kumpulan yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan dan syarikat-syarikat korporat yang yang berkuasa, yang benar-benar menguasai negara. Ketua-ketua pentadbir syarikat berkenaan menguasai parti-parti dominan dalam kerajaan. Ini bermakna banyak urusan dalam pemerintahan negara dikendalikan dan ditangani dalam cara yang agak sehala dengan cara dan strategi perniagaan dilaksanakan.

Mereka ini dianggap sebagai kumpulan terkuat yang menentukan hala-tuju corak pemerintahan negara pada peringkat eksekutif, atau pembuat keputusan. Bagaimanapun, pengaruh kumpulan ini bergantung kepada hayat politik Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Kebiasaannya, hanya individu-individu yang tertentu dan bijaksana sahaja yang mempu melepasi tindakan cantasan politik semasa apabila kepemimpinan tertinggi negara bertukar orang.

Apa yang jelas, siapa pun yang akhirnya ’berkuasa’ secara politik biasanya tidak dipersoalkan. Sistem politik mempunyai budaya, peraturan dan undang-undang tersendiri yang sehingga kini diyakini rakyat. Malah, ahli-ahli parti politik sendiri pun menerima secara dasarnya bahawa siapa yang patut berkuasa dan siapa yang patut sekadar mengikut. Begitulah seterusnya, mereka juga yang menentukan misalnya, samada Agenda Melayu itu releven atau tidak pada sesuatu masa dalam konteks siapa sebenarnya yang berkuasa.

Dengan kata lain, ini adalah soal kematangan politik. Ia mungkin melibatkan beberapa unsur asas, antaranya: pertama, ciri-ciri profesional yang ditunjukkan antara ahli-ahli politik dan pentadbir kerajaan yang sama-sama menyokong sistem semasa, meskipun ada kemungkinan mereka sendiri tidak memahami mengenai sistem itu secara menyeluruh. Apa yang penting adalah sokongan penuh mereka terhadap parti dan kerajaan.

Kedua, keupayaan untuk menjiwai prinsip demokrasi asas di kalangan semua pengamal dan peserta dalam sistem politik.

Ketiga, menerima faktor kepelbagaian dalam sistem politik (pandangan, pendekatan dan kepercayaan).

Dan keempat, keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan kepemimpinan dan sistem semasa secara sepenuhnya. Ini yang sentiasa perlu dipastikan.