Friday, March 02, 2007

Akal Budi 87 - "Cerita Buku"

"Ya, saya juga membaca novel", jawaban saya kepada pertanyaan Ami awal petang semalam yang ingin tahu sama ada saya membaca novel.

"Novel apa, ya?, soalnya lagi.

"Sebarang, terutamanya hasil karya sasterawan-sasterawan negara."

Tidak berpuas hati, diasaknya lagi dengan soalan ini, "Contoh novelnya?"

Saya tidak mengambil masa yang lama, lalu menyebut beberapa judul, antaranya hasil kepengarangan Shahnon Ahmad dan A. Samad Said. Saya juga menyebutkan - malah lebih banyak bilangannya - judul-judul novel Inggeris rekaan-rekaan John Grisham, Tom Clancy, Wilbur Smith, Danielle Steel, Elizabeth Kostova dan malahan Dan Brown.

"Apa yang membezakan tulisan-tulisan mereka antara sesama?" Ami terus menyoal. Saya yakin itu bukanlah soalan yang bertujuan menguji pengetahuan saya mengenai hal-hal kepengarangan secara umum.

Saya berdiam agak lama kali ini. Soalan itu tidaklah sesukar mana. Ingin sahaja saya terus menjawab "Harganya!", namun saya tidak pula mahu dikatakan terlalu berkira terutamanya dalam soal-soal memperuntukkan sejumlah wang kepada minat membeli bahan-bahan bacaan.

Saya selalu berasa 'lega dan lapang' sebaik sahaja sesebuah buku - novel juga - dapat disudahkan pembacaannya hingga ke halaman akhir. Saya kerap juga berasa memperoleh sesuatu yang baru - maklumat, pengetahuan, teladan, motif dan kisah-kisah baru - setiap kali sesebuah buku itu saya baca keseluruhan kandungannya.

"Ah! Saya tahu!" jerit hati saya yang sudah membesar tatkala secara tiba-tiba saya yakin bahawa memang ada perbezaan antara buku-buku yang disebut sebelum ini tadi, sepertimana disoal Ami.

"Apa?"

"Aromanya!"

""Aroma?"

"Ya. Aromanya. Aroma dakwat buku-buku itu sentiasa berbeza-beza hinggakan saya tahu buku-buku yang manakah yang sepatutnya saya beli dan baca terlebih dahulu!"

Saya tahu Ami menyangkakan saya berjenaka. Nada tulisannya memang berbau seperti itu. Mungkin Ami belum begitu memahami cara-cara dan gaya-gaya saya sewaktu memilih-milih buku. Ada masanya saya mencari-cari judulnya. Atau kadang-kala pada kisah dan ceritanya. Pada suatu masa yang lain, saya didorong oleh nama pengarangnya.

Namun pada sepanjang masa saya sentiasa didesak oleh naluri pancaindera saya yang ingin memanfaatkan semua elemen fizikal dan roh saya untuk memilih. Saya sentiasa berharap untuk terus diberi peluang memilih sesuka saya.