Park GC, Cardiff, 1998
Saya dikunjungi sahabat lama lewat petang semalam. Kali terakhir kami berjumpa adalah sewaktu menjamu selera - pretzels dan jus oren - di bandaraya Cardiff ketika salji sedang gugur bercucuran. Kebetulan pula, lewat pagi semalam, Adi menelefon dan mengajak bermain sehari dua ini. Malangnya saya tidak dapat memenuhi jemputan itu.
Kembali kepada rakan lama tadi. Selepas bercerita mengenai rakan-rakan lain, kami akhirnya bercakap-cakap mengenai kegiatan masa lapang selama berada di sana. Kegiatan masa lapang kami bermusim; ketika musim sejuk (terutamanya ketika bersalji), kami bermain badminton, skuasy dan memukul bola kriket di dalam dewan; manakala di luar musim sejuk, kami berada di padang golf hampir-hampir setiap malam (pukul 11 malam masih terang benderang!).
Bagaimanapun, perbualan kami akhirnya sampai ke penghujung apabila dia mengajak saya untuk menikmati sepusingan golf di sg long. Sambil ketawa, saya cuma membalas, "Dah berhenti sementara bermain golf. Musim malas dah tiba!"
Dia akur. Dia memahami fiil saya yang sentiasa ada musim untuk segalanya. Apa pun, saya masih terus mengingat memori-memori silam yang ada masanya tidak akan padam-padam selama ia releven dan mempunyai tempat yang istimewa dalam kehidupan.
Terima kasih Sham.