Sistem politi & pemerintahan tradisional Tanah Melayu telah mendominasi pandangan serta lanskap sosiopolitik masyarakat alam Melayu ini sejak tidak kurang 600 tahun yang lampau. Sistem-sistem tradisional itu – khususnya sistem beraja dan bersultan – merupakan cerminan kepada latar belakang sejarah Tanah Melayu yang telah menerima dan mengadun pelbagai nilai dan asas sistem hidup hasil daripada bauran Hinduisme, Islam, Eropah serta pelbagai imigran yang berhijrah ke Tanah Melayu sebagai buruh akibat daripada dasar pengambilan pekerja asing oleh penjajah.
Di bawah sistem kesultanan – yang dipengaruhi oleh tradisi Arab – masyarakat Melayu hidup dalam persekitaran sistem yang dipusatkan dengan tonggak kekuasaan ditumpukan kepada sistem kesultanan yang dibantu dari segi keberkesanan pentadbirannya oleh kelas-kelas pembesar sama ada di peringkat istana mahupun di peringkat daerah, khususnya melalui institusi kepenghuluan. Oleh itu, sistem pentadbiran yang diamalkan oleh negara ini - sebaik sahaja menerima status merdeka dan berpeluang untuk berkerajaan sendiri - merupakan antara lainnya menggambarkan kesinambungan amalan pentadbiran yang telah diubahsuai dan dikembangkan asas-asasnya itu oleh warisan pemikiran dan amalan penjajah terutamanya British.
Apabila kemerdekaan tercapai dengan rasmi, sistem kerajaan negara ini yang didasarkan atas prinsip demokrasi memperlihatkan strukturnya yang asas sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Konsep pemisahan kuasa yang agak longgar telah dipilih untuk diamalkan di negara ini. Ini sesuai dengan keperluan dan realiti sistem politi negara ini yang unik, terutamanya dari segi komposisi kaum. Dengan itu, prinsip pemisahan kuasa yang mengasingkan Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman secara total tidak dijelmakan secara bulat-bulat di dalam sistem pemerintahan negara.
Konsep pengasingan kuasa (separation of powers) dikaitkan dengan ahli falsafah kurun ke 18M., iaitu Montesquieu yang mengemukakan pemikiran bahawa untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya pemerintahan secara kuku besi, tiga cabang kerajaan – iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman – mestilah diasingkan sejauh yang boleh dan pertalian antara ketiga-tiga cabang itu ditadbir oleh amalan-amalan semak dan timbang (checks and balances).
Prinsip ini antara lain menyerupai sistem yang diamalkan di dalam institusi Parlimen di United Kingdom; di United Kingdom – seperti di Malaysia - ketua-ketua eksekutif (yakni menteri-menteri kerajaan) juga bertindak selaku ahli badan perundangan yang menggubal dasar.
Institusi Parlimen menjadi tonggak pemerintahan dan pentadbiran negara terutamanya dari segi penggubalan dan pelaksanaan dasar yang melibatkan peranan ahli-ahli eksekutif (menteri-menteri) yang menyediakan arahan-arahan dan garis-garis panduan bagi pentadbiran negara secara umum dan khusus, terutamanya dalam soal pembangunan negara. Segala arahan dan dasar-dasar yang telah diluluskan oleh eksekutif dan perundangan kemudiannya dilaksanakan pada peringkat operatif oleh jentera pentadbiran kerajaan – dalam bentuk birokrasi pentadbiran – yang melibatkan pelbagai komponen kerajaan. Ini termasuklah dalam hal perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan kajian semula keberkesanan segala dasar yang diputuskan oleh eksekutif.

Dengan melihat kepada realiti seringkas itu - dan khusus menjawab soalan-soalan Suliana, Kadir dan Eja - saya yakin setidak-tidaknya kita sudah dapat menggambarkan mengapa insiden-insiden yang agak bersamaan antara satu sama lain, terutamanya berkaitan penyalahgunaan kuasa yang membawa kepada perilaku memberi dan menerima rasuah selalunya tidak diiringi oleh isyarat-isyarat mengaku kesalahan yang disusul dengan tindakan-tindakan yang boleh menunjukkan kekesalan atas perilaku keji mereka.