Thursday, November 22, 2007

Berkomunikasi

Saya terima banyak maklumbalas dan keluhan khususnya daripada staf dan pelajar mengenai sekatan yang dibuat oleh pihak pentadbiran universiti ke atas liputan Internet menggunakan pelayan (server) universiti. Antaranya termasuklah sekatan terhadap laman-laman yang dikategori di bawah 'social relationships' dan sebagainya. Antara banyak laman tersebut, termasuklah laman-laman serta blog-blog yang mempunyai banyak kandungan maklumat dan pengetahuan mengenai hal ehwal semasa.
Jika di dunia swasta, perkara itu merupakan suatu kebiasaan. Ia mekanisme untuk mengawal perilaku pekerja sewaktu bekerja. Dalam sektor kerajaan, ini perkara yang baru hendak dibiasakan, juga sebagai mekanisme untuk memastikan kakitangan tidak melayari laman-laman yang dianggap tidak berkaitan. Oleh kerana hampir-hampir mustahil untuk menyaring setiap laman, maka dibahagi-bahagikan laman-laman berdasarkan kategori tertentu. Oleh itu, sesetengah laman yang tidak berbahaya pun turut disekat daripada capaian menggunakan pelayan jabatan.
Tidak perlu bimbang. Ia hanya melibatkan pelayan jabatan/dalaman. Tiada isu. Ini bukan perkara yang berkaitan dengan teknologi atau sistem. Ini isu yang bersangkutan dengan manusia - perumus dan pelaksana polisi.
Moral: Masakan maklumat boleh disekat-sekat. Sekeras-keras junta tentera Myanmar, tidak terdaya mereka menyekat sebaran maklumat daripada mengalir ke luar. Yang boleh disekat, cuma alat penyampai maklumat. Oleh itu, mekanisme kawalan yang cekap sentiasa diperlukan jika maklumat ingin disaring dengan berkesan.