Pandangan Profesor Khoo Kay Kim dan Tan Sri Murad mengenai penarafan universiti versi The Times Higher Education Supplement (THES) yang disiarkan media cetak (NST Malaysia) kelmarin (16 Oktober) memberi beberapa segi pemikiran yang berguna. Prof Khoo melihat keadaan itu sebagai sesuatu yang antara lain bersifat perseptif, relatif dan selektif. Ia tidak lebih daripada sekadar pandangan khusus agensi; tidak lebih daripada sekadar perbandingan umum dan bersegmen agensi; dan tidak lebih daripada kaedah terpilih-pilih disebabkan oleh beberapa batasan yang menyukarkan agensi penarafan itu untuk mengambil kira semua kriteria secara berimbang, misalnya dalam soal nisbah pengajar-pelajar dan soal bahasa. Kesimpulannya, Prof Khoo berasa semuanya bermula dengan semangat dan falsafah industri yang sememangnya menguasai iklim akademik universiti sedangkan sebelum ini dunia ilmiah universiti itulah yang memberi corak dan rupa kepada industri.