Membaca tulisan (di sini) seorang ahli akademik tempatan yang sedang bertugas di sebuah negara luar, ada beberapa perkara yang perlu difikirkan dengan lebih dalam. Pertama, kegiatan penyelidikan yang diberi banyak tafsiran dan keutamaan; kedua, governans akademik di universiti-universiti; ketiga, budaya keilmuan di kalangan ahli akademik tempatan yang dikatakan tidak menyokong kegiatan-kegiatan keilmuan; keempat, strategi penyelidikan dan pengembangan disiplin di kalangan ahli akademik; dan kelima, pendekatan dan pemikiran perdana khususnya di Barat mengenai usaha-usaha keilmuan baru.
Apa yang barangkali tidak disentuh oleh penulis itu adalah soal teras dan kefalsafahan keilmuan yang menjadi persoalan penting dalam pembangunan mana-mana masyarakat. Tanggapan dan andaian bahawa seseorang akan terus terpelajar, dan kemudian 'berilmu' sebaik sahaja menyertai arus perdana usaha-usaha keilmuan Barat (atau resapan kapitalisme) - khususnya melalui penyelidikan-penyelidikan besar - adalah penyakit sebenar yang ditanggung oleh masyarakat dewasa ini. Pusat-pusat pengajian tinggi dan aspek-aspek governansnya tidak terkecuali. Ini tentunya perlukan pemikiran dan renungan semula.