Lanjutan daripada kenyataan memohon maaf Mirzan Mahathir, Dr. Lim Teck Ghee, sarjana ekonomi, membuat keputusan meletakkan jawatan. Tindakan itu khabarnya sebagai tanda pendirian Dr. Lim yang mempertahan hasil penemuan kajian ASLI yang diheboh-hebohkan itu. Keputusan Dr. Lim memang baik dan kena pada tempat dan masanya. Sekurang-kurangnya pendirian beliau itu dapat memaklumkan secara nyata perkara yang dipertahankannya. Tindakan ini amat sukar dilihat berlaku dalam masyarakat negara ini. Ada beberapa kemungkinan. Pertama, individu-individu takut hilang kuasa atas desakan hedonisme dalam diri mereka; dua, mereka gusar hilang perhatian penaung-penaung politik dan orang-orang besar; ketiga, mereka mengelakkan kesusahan kerana mengundur bermakna mereka terpaksa memanjat tangga kejayaan sekali lagi. Tesis teori Maslow mengenai hirarki keperluan manusia nampak agak jelas juga di sini. Sekurang-kurangnya umum mengetahui apa pendirian sesetengah pihak berhubung pemilikan ekuiti Bumiputera.