Malam kelmarin, televisyen - melalui rancangan berita pada pukul 8 - menayangkan sedutan wawancara (atau sidang akhbar) antara Perdana Menteri dengan para jurnalis sesudah suatu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.
Satu daripada soalan yang dikemukakan adalah kurang lebih, sama ada Pak Lah bersedia untuk melaksanakan pilihanraya umum lebih awal. Apabila ditanya oleh Pak Lah, "Untuk apa?", jurnalis berkenaan menjawab, "Untuk mendapat mandat?"
Soalan seperti itu mungkin amat melukakan hati perdana menteri. Saya fikir seperti ada riak-riak kejutan dan kesedihan yang terpamer di wajah perdana menteri waktu itu. Sama ada soalan seperti itu beretika atau apa, saya tidak pasti. Cuma tertanya-tanya bagaimana agaknya sentimen umum di kalangan para jurnalis mengenai hal itu kerana ia menyangkut juga soal-soal keikhlasan hati dan kesantunan dalam mencari reaksi dan berita, terutamanya daripada perdana menteri, ketua kerajaan.