Friday, February 06, 2009

sembah derhaka

1. Melihat semula kontrak sosial yang dipersetujui antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba, semua pihak yang bersetia pada waktu itu memahami tanggungjawab masing-masing: Raja atau pemerintah melindungi rakyat manakala rakyat pula bersetia untuk tidak mengingkari arahan dan perintah Raja. Semudah itu. Tidak ada sebarang klausa yang tersembunyi atau disorok di sana sini.

2. Bagaimana pun, hanya MB Perak sahaja yang sepatutnya memahami hal tersebut kerana yang lainnya - Speaker dan exco lain - tidak tahu apa-apa dan tidak terlibat apa-apa kerana dengan memikirkan persetiaan klasik itu di fikiran, soal pemerintahan dan pentadbiran alam ini - negara ini - hanya melibatkan keturunan Melayu sahaja (itulah sebabnya timbul soal 'ketuanan'). Yang lain itu hanya sekadar pengikut layaknya.

2. Jika media hari ini dipercayai dan disahkan kebenaran sumber berita mereka - seperti dalam isu MB Perak yang dikatakan menyampai sembah derhaka kerana enggan meletakkan jawatan - maka kesannya kepada hubungan antara MB serta exco dengan pemerintah (Raja) mudah sahaja dan sangat langsung (straight forward): semua yang menderhaka akan dihukum bunuh.

3. Soalnya, persetiaan Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun itu hanya disebut dalam teks klasik Melayu dan tidak dilembagakan sebagai undang-undang yang mentadbir sistem politi dan politik negara ini.

4. Hari ini - selepas 51 tahun merdeka & negara ini dilembagakan menurut Perlembagaan Persekutuan - senarionya tentu sahaja dianggap berubah.

5. Benarkah begitu? Apakah kesannya ke atas sistem politi negara ini yang sehingga hari ini pun masih diresap kuat dengan keramat amalan ke'Raja'an dan keSultan'an tradisional?

6. Mungkin semua orang terpaksa menunggu pemberitaan media selanjutnya.

Daulat Tuanku!