1. Dalam suasana politik tanahair yang serba menduga akhir-akhir ini, diasak pula oleh igauan prestasi ekonomi yang tidak molek kebelakangan ini selalu benar diungkapkan mengenai idealisma dan realisma dalam politik. Bersepah-sepah blog menyebut mengenainya. Sehingga di kaca-kaca TV hal itu disebut-sebut seolah-oleh ia merupakan penawar bisa racun politik yang tidak berketentuan sekarang ini, semudah itu! 2. Kata Plato, realisma adalah apa yang sewajarnya terjadi. Machiavelli pula menegaskan realisme adalah doktrin atau kepercayaan mengenai kesegeraan. 3. Mereka yang menyokong dan menerima fahaman realis melihat politik sebagai dihidupkan oleh punca-punca keselamatan dan kuasa. Oleh itu politik dianggap sebagai komponen penting yang meneruskan kehidupan masyarakat. 4. Kepada orang-orang yang menganut fahaman realis, kedua-dua faktor itu – keselamatan & kuasa – merupakan kunci kepada keamanan dan penerusan hidup sesebuah negara. 5. Dengan memikirkan itu, rasa takut dan bimbang merupakan dilema yang sering menghantui. Ketakutan itu diterjemah kepada andaian yang hampir-hampir menjadi kepercayaan bahawa ada pihak-pihak tertentu sentiasa mencari-cari jalan untuk saling memusnahkan. Ketakutan tersebut kemudiannya menjadi sebab untuk mereka sentiasa mempersiap diri untuk ‘membunuh’ pihak yang dilihat mengancam sebelum mereka sendiri ‘dibunuh’ atau terbunuh. 6. Dari sudut ini, doktrin realisma percaya bahawa yang patut diutamakan oleh negara adalah untuk menjamin kuasa yang dipunyai untuk melindungi negara daripada sebarang ancaman. Untuk melakukan demikian, ada kalanya banyak yang perlu dikorbankan tanpa rasa sesal. 7. Bagaimana pula idealisma politik? 8. Idealisma politik tidak menganggap isu keselamatan dan dilema kuasa sebagai punca masalah. Malah, secara sinis, kerajaan atau pihak yang mempercayai fahaman ini mungkin tidak akan memiliki senjata di dalam negara mereka sama sekali. 9. Alasannya? Mungkin jika mereka menyimpan senjata dan memperkuat ketenteraan, tindakan tersebut akan disusul oleh pihak-pihak atau negara-negara lain. Bermakna, kemungkinan konflik yang lebih besar akan timbul dan mencetuskan kemusnahan total. 10. Kebanyakan pemikir dan sarjana kemudiannya tidak bersepakat untuk mengutamakan salah satu daripada kedua-dua fahaman tersebut. Seringkali perbezaan antara kedua-duanya terlalu sukar untuk ditunjukkan secara amali. Gambarannya adalah seumpama suatu garisan yang sangat halus sifatnya hingga menyukarkan penglihatan untuk menentukan sama ada lurus atau berbengkang-bengkok. 11. Untuk sekadar memuaskan hati, lalu kebanyakan pemikir dan sarjana kemudiannya menyimpulkan bahawa kedua-dua fahaman itu perlu dimanfaatkan bersama-sama. Realisma tanpa idealisma tidak mewujudkan keseimbangan, sebagaimana analogi yang mereka gunakan bahawa: seseorang tidak sewajarnya bersifat terlalu idealistik kerana keselamatan sesebuah negara akan terjejas; sebaliknya seseorang itu tidak sepatutnya juga terlalu realistik kerana perang atomik berkemungkinan tercetus. 12. Kesimpulannya, secara sinis, mereka memetik kata-kata Pasqal bahawa “Keadilan tanpa paksaan adalah kemandulan. Paksaan tanpa keadilan adalah huru-hara. Oleh itu, sangatlah perlu untuk menyatukan keadilan dan paksaan dan menjadikannya mantap semantap-mantapnya sekaligus menjadikannya adil seadil-adilnya.”