Saturday, February 14, 2009

BUKIT GANTANG, BUKIT SELAMBAU

BUKIT GANTANG

1. Sejak kecil, selain Changkat Jering, Bukit Gantang menjadi salah satu daripada kawasan-kawasan yang kami akan kunjungi untuk menikmati durian.

2. Dari segi lokasi, Bukit Gantang agak terpinggir kedudukannya dari bandar Taiping. Tidak seperti Changkat Jering, Bukit Gantang bukanlah tempat persinggahan atau destinasi popular untuk berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan. Selalunya, simpang masuk ke Bukit Gantang hanya sekadar dilewati kalau destinasi kami adalah ke daerah Beruas/Pantai Remis/Manjung.

3. Oleh itu, Bukit Gantang adalah kawasan yang agak tertutup lokalitinya. Orang-orang luar yang memiliki tanah dusun di situ menjadikannya sebagai lokasi yang dilawati pada hujung minggu. Mereka yang sememangnya menetap di situ pula tidak ramai yang berhijrah keluar kerana tidak banyak alasan bagi mereka untuk berbuat demikian.

4. Setahu saya, berdasarkan pengalaman sewaktu persekolahan, rakan-rakan dari Bukit Gantang memiliki ciri-ciri personaliti yang agak serupa: agak merendah diri, sedikit pemalu, mesra, baik hati, berbudi tinggi dan sangat pintar.

5. Personaliti seperti itu sangat sesuai dengan pemikiran mengenai model kepemimpinan jenis Teori Sifat (Traits Theories).

6. Mana-mana calon yang akan diturunkan di situ oleh parti masing-masing mungkin boleh menggunakan aspek ini sebagai kriteria utama pemilihan.

7. Calon yang memiliki kelebihan adalah: (a) dikenali di situ; (b) tidak sombong;(c) tidak menonjol sifat-sifat sekularnya; (d) dihormati masyarakat tempatan; (e) tidak dilihat terlalu muda.

8. Peluang calon-calon untuk menang kurang-lebihnya sama banyak.


BUKIT SELAMBAU

1. Bukit Selambau bukanlah terlalu sukar untuk digambarkan. Kedudukannya tidak jauh dari Sungai Petani. Ia hanyalah sebuah kawasan biasa, banyak tanah lapang, sedikit sebanyak kawasan rancangan pertanian dan sebahagian kecil kebun-kebun yang tidak besar skalanya.

2. Komposisi penduduknya tidak menampakkan mana-mana etnik yang dominon dari segi bilangannya. Bagaimanapun, bagi penduduk-penduduk di kawasan itu dan berdekatan, Bukit Selambau selalunya dirujuk sebagai kawasan etnik India.

3. Siapa yang berpotensi menang? Calonnya tidak semestinya India walaupun PKR berkepercayaan calon India sahaja yang berpeluang menang di situ. Ada juga suara-suara yang berpandangan BN patut meletakkan calon Melayu (dengan syarat di kalangan orang-orang Melayu di situ tidak wujud kepuakan melampau atas dasar perbezaan fahaman politik dan penzahiran agama).

4. Melihat kepada aliran, ada kemungkinan calon India yang vokal akan dipilih oleh kebanyakan pengundi India (atas alasan itulah Hindraf kelihatannya sangat yakin untuk mencalonkan orang mereka). Pengundi Melayu yang berorientasikan parti pula tidak banyak soal (bagaimanapun, bilangan mereka tidak diyakini mencukupi untuk memenangkan seseorang calon).

5. Tidak banyak yang boleh diharapkan oleh BN di Bukit Selambau selagi peratusan Melayu yang sebanyak itu tidak dapat menyatukan pendirian dan suara mereka dalam pilihanraya kecil itu kelak.